BEN ASHAARI

Thursday, May 31, 2012

BUBUR KACANG DURIAN....YANG BIASA2..

rsz_dsc_1063
Kadang2 apa yang kita masak, itu lah yang kita masukkan ke blog sebagai entri. Orang jemu atau tidak, itu hak mereka, pada mat, tiada paksaan. Macam entri bubur kacang durian ni, ia satu masakan yang semua lapisan masyarakat tau membuatnya. Ini mat buat atas permintaan, semalam masa keluar, balik tu singgah di pasar Kiptmart di Johor. Ada jual durian, durian kampung katanya. Jadi mat beli lah dalam 3 biji = RM 10. Tapi kan berbaloi lah isi durian elok, manis, harum dan tebal isinya, kira boleh lah kalau nak buat bubur atau tempoyak. Bubur kacang macam ni kalau mat suka makan dengan biskut osborne, tapi ada juga yang suka cicah roti. Yang tu terpulang. Selalunya kalau hidang bubur kacang, kita minum dengan air teh kurang manis atau teh tawar (kalau mat air sejuk lagi elok). Ok tu saja...resipi seperti berikut (mat guna resipi sama macam yang pernah buat dulu..)

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 cawan kacang hijau, cuci dan rendam 4 - 5 jam (kalau guna pressure cooker tak perlu rendam)
1/2 ketul gula melaka, potong kecil*
3/4 cawan gula pasir*
2 cawan air*(*disatukan dan masak hingga larut, tapis)
1 helai daun pandan, disimpul
1 biji durian, ambil isinya
1/2 camca teh garam
1 liter santan
Gula (jika kurang manis)
Air jika perlu

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Rebus kacang hijau hingga empuk dan kembang. Masukkan air gula dan daun pandan. Masak hingga mendidih. Tuang santan dan kacau rata. Tamba durian dan biar mendidih. Masukkan garam dan jika kurang manis tambah sedikit lagi gula. Dan jika suka bubur kacang cair, tambah air secukupnya. Masak sekejap.
  2. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama roti atau biskut tawar. Sedap juga dimakan sejuk. Kalau tak habis, boleh dijadikan aiskrim malaysia.
CATATAN MAT GEBU :- Kalau anda gunakan pressure cooker atau periuk tekanan, masa yang diambil untuk merebus kacang hijau sekitar 6 - 7 minit dan tak perlu direndam dahulu.


SELAMAT HARI RAYA...JEMPUT MAKAN.

rsz_dsc_1110
Salam petang Khamis semua, dah makan?. Hmmm, penat hari ni, awal pagi tadi kawasan kejiranan kami mengalami ganguan bekalan elektrik, hingga jam 10+ pagi kurang lebih. Jadi banyak benda kena lakukan secara manual, benda yang perlu dikisar kena tumbuk hingga halus, style macam zaman tok nenek kita dulu dah, tapi bila elektrik kembali pulih, terus kisar guna blender. Hari ni sebab bonda berpuasa mat cadang nak masak sup ayam, lepas tu ada rebus ketupat segera dan buat kuah kacang. Dan ada juga buat bubur kacang durian, tu semua nanti2 lah yea mat masukkan ke entri. Untuk entri pertama cuma satu hidangan simple dan mudah. Sebab dah rebus ketupat segera, sedap juga kalau kita makan dengan kuah kacang. Jadi mat buat lah, malas kata banyak dah, cuma nak kata Selamat Hari Raya....tu saja...Jomm kita buat kuah kacang...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 1/2 cawan kacang tanah
2 batang serai, dititik
1 senduk nasi cili kisar
Jus asam jawa secukupnya
Garam dan gula secukup rasa
2 cawan air

BAHAN KISAR HALUS :-)
1 camca besar udang kering, rendam 10 minit dan toskan
1 camca besar ketumbar biji
1/2 camca teh jintan manis
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci lengkuas
1 batang serai, hiris halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kacang digoreng tanpa minyak hingga perang dan rangup. Sejukkan, ramas untuk membuang selaputnya. Kemudian kisar tapi jangan halus sangat (mat kisar guna food processor). Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, masukkan serai titik dan juga cili kisar. Tumis hingga cili garing. Tambah bahan kisar halus dan masak hingga garing dan terbit minyak. Masukkan kacang kisar, kacau dan tuang air. Kacau rata. 
  3. Bila mendidih, tambah jus asam jawa secukup rasa. Masukkan sedikit garam dan gula. Selalunya kuah kacang agak manis, jadi tambah gula ikut citarasa anda. Masak hingga sedikit pekat dan jika kurang terasa garam, tambah sedikit lagi. Rasa dan boleh matikan api. Kuah kacang akan pekat sendiri nanti..Boleh hidangkan bersama ketupat atau sate...


Wednesday, May 30, 2012

AKU STRESS...JADI AKU BUAT ROTI KISMIS...

rsz_dsc_0902
Malam semua, baru sempat nak update entri baru. Stresslah...sabar sajalah kan. Jadi nak hilangkan stress mat gebu buat roti...yeaaa..roti!. Macam tu lah style dia, kalau stress, rasa macam nak "period", mesti dia buat kerja bukan2. Tapi idok leer kerja2 yang tak mendatangkan faedah. Roti memang ada kat rumah ni, tapi sebab tergerak nak buat roti sendiri, mat buat lah juga. Betul juga kan kata orang, kalau hati kita tak tenteram, jiwa kacau nak ambik gambar pun macam yea tak yea saja. Nampak gambar roti kat atas tu?.. Grrr, tah macam apa, dah lah potong roti tak lurus, lepas tu sapu jem pun macam nak tak nak je...setoet. Tapi kan lepas bakar saja, lesap dah 1 batch roti ni, aduhh nyaman banget dimakan begitu sahaja. Dengan rangup permukaan kulitnya dan rasa kismis yang manis2 lemak. Resipi asal mat dapat dari blog ini, dan mat gantikan mentega dengan lemak sayur atau shortening. Masih sedap, walaupun guna mentega akan memberi rasa lebih lemak dan harum. Ok kita lihat resipi pulak...jommm...

BAHAN-BAHAN DOH ROTI :-)
285 gram tepung roti
15 gram susu tepung
54 gram gula kastor
4 gram garam halus
5 gram instant yeast (mauripan)
30 gram telur (pukul sebiji telur dan timbang)
1/2 camca teh esen vanilla (mat tambah)
81 gram air (mat letak 80 ml)
60 gram kismis
30 gram mentega (mat guna lemak sayur @ shortening)
90 gram "water-roux"

BAHAN "WATER-ROUX":-)
25 gram tepung roti
125 ml air

CARA MEMBUTANYA :-)
  1. UNTUK "WATER-ROUX" :- Satukan tepung dan air ke dalam periuk, kacau rata dengan whisk hingga licin dan tidak berbintil2. Masak atas api sederhana sambil terus mengacau selama 1 - 2 minit hingga bancuhan kelihata pekat dan bertali. Padamkan api, alihkan ke dalam bekas lain. Tutup permukaannya dengan plastik cling dan biarkan sejuk...
  2. UNTUK DOH ROTI :- Satukan semua bahan2 untuk doh roti, kecuali kismis, ke dalam bread maker, pilih setting untuk doh dan tekan ON. Biar penutup breadmaker anda terbuka semasa proses menguli. Bila cukup 30 minit, turunkan penutup breadmaker dan biar hingga siap (pemerapan berlaku selama 1 jam). Tunggu hingga siap.
  3. UNTUK ROTI KISMIS :- Keluarkan doh, tabur sedikit tepung pada meja kerja. Tumbuk doh untuk membuang udara. Kemudian rehatkan 10 minit. Bahagi doh kepada 2 atau 3 bahagian sama besar. Ambil satu bahagian canai sikit biar leper, tabur sebahagian kismis tadi dan gulung seperti swissroll. Kemudian anda bentukkan ia menjadi bulat. Buat kaedah sama untuk baki doh dan kismis. 
  4. Lenser loaf tin berukuran 9 inci x 4 inci x 4 inci dengan mentega. Susun ketiga2 doh tadi, perap lagi selama 50 minit atau hingga naik memenuhi loaf tin. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 180C selama 30 minit. Jika permukaan roti cepat gelap, tutup dengan aluminium foil. Bila masa, longgarkan roti dari tin, keluarkan dan biar sejuk sebelum dihiris. Simpan baki roti dalam bekas kedap udara...


ASAM PEDAS KEPALA IKAN....

rsz_dsc_0851
Salam Rabu, hari ni masak asam pedas lagi...atas permintaan dan kali ini guna kepala ikan, jenis ikan apa tu mat tak berapa pasti lah, tapi kalau tak silap kepala ikan jenahak kalau tak pun kepala ikan unga. Kali ni mat letak sawi jeruk. Yang tu kalau tak nak pun takpe, anda boleh ganti dengan terung, bendi atau tomato. Ikan segar memberi pengaruh besar pada masakan asam pedas kita selain rencah2 yang kita gunakan, pelbagai jenis ikan boleh digunakan, paling biasa ikan tenggiri, ikan kembong, ikan merah, ikan sembilang, ikan mayong dan juga ikan pari. Di Johor, asam pedas yang dicampur sawi jeruk boleh dikatakan agak biasa. Asam pedas juga menjadi salah satu hidangan utama orang2 Bugis ketika hari raya, dengar cerita mereka makan burasak dan lepat loi, dicicah dengan asam pedas ikan parang. Kita lihat resipi pulak, yang mat rasa2 dah terlalu kerap muncul di DTS ni, takpe.....yang ni baru masak tadi bukan tahun lepas punya...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg kepala ikan jenahak atau ikan merah, dicuci bersih dan toskan
1 pokok sawi jeruk, hiris dan rendam
2 senduk nasi penuh cili kisar
3/4 cawan jus asam jawa
Beberapa biji tomato ceri (optional)
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya
4 biji bawang merah, hiris
1 ulas bawang putih, hiris

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
3/4 inci kunyit hidup
1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam periuk, tumis hirisan bawang merah dan putih hingga harum. Masukkan bahan kisar halus dan masak hingga sedikit garing. Tambah cili kisar dan terus memasak hingga cili garing dan terbit minyak. Guna api sederhana dan kacau selalu.
  2. Tuang air secukupnya, kacau dan bila mendidih, masukkan kepala ikan dan sawi jeruk (perah dulu). Kacau perlahan dan tambah jus asam jawa. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. 
  3. Biar mendidih perlahan hingga ikan masak. Tambah tomato ceri (jika guna), masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain.... Selamat menjamu selera..


Tuesday, May 29, 2012

KEK PISANG COKLAT URAI....LAGI..

rsz_dsc_0682

Assalammualaikum, entri kali ni mat share satu resipi yang pernah mat buat dulu. Kek pisang coklat urai pertama kali mat buat awal tahun dulu, mat ambik resipi dari blog Puan Azlita dan beliau dapat dari blog Kak Ummi Kuantan dan Kak Ummi dapat dari sapa, yang tu kena check sendiri lah yea. Oh yea, nak sentuh sikit lah pasal isu BL atau Backlink ni. Memang wajib sebenarnya kita sebagai blogger memberi kredit dari mana sumber satu2 resipi atau artikel tu, cuma pada mat lah kan, kalau resipi, sekadar BL pada blog yang kita ambik resipi pun sudah memadai, dan blog itu pun sudah pasti meletakkan BL juga dari mana dia dapat. Tapi atas dasar hormat menghormati, boleh lah kalau nak letak sumber asal dari mana (mungkin 1 atau 2 BL), untuk menghargai mereka2 yang telah bersusah payah mengetengahkan satu2 resipi itu. 

rsz_dsc_0730
Kek pisang coklat urai ini mudah dibuat, dan kebetulan mat ada baki pisang masak dirumah. Jadi boleh lah buat kek, dari pisang tu rosak. Kek macam ni, bila dimakan keesokkan hari, ianya lagi lembap dan enak. Tak manis sangat dan keknya juga lembut. Style anda menghias ikut kreativiti masing.  Kalau anda bakar dalam loaf tin, boleh ditabur cincangan kekacang atas kek tadi sebelum dibakar. Sebab mat bakar dalam acuan bunt pan, kecik2 jenis silicone, maka mat hias dengan coklat ganache kemudian ditabur kepingan badam yang telah dibakar terlebih dahulu. Kalau bakar dalam bunt pan bersaiz besar pun boleh juga dicurah coklat ganache. Resipi seperti dibawah...

BAHAN-BAHANNYA :-)
150 gram margarine atau mentega
200 gram tepung kek (mat guna self-raising flour)*
1/4 camca teh soda bicarbonate*(*gaul rata dan ayak)
3 biji telur gred A
100 gram gula perang @ soft brown sugar
100 gram pisang masak, dilecek halus (mat guna pisang emas)
100 ml susu segar
Beberapa titik esen pisang
1/3 cawan pisang yang didadu
50 gram coklat urai (chocolate rice)
Colat cair, untuk hiasan
Badan keping untuk hiasan
CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan oven pada suhu 170C, lenser tin berukurn 8 inci x 3 inci x 3 inci dengan mentega, alas dasar tin dengan kertas minyak, lenser juga kertas tadi (mat guna bunt pan silicone jenis kecil bersaiz 4 inci sertiap satu, dan untuk resipi ini anda perlu 6 biji acuan, mat lenser dengan sedikit mentega). Ketepikan.
  2. Putar mentega dengan gula perang hingga gula hancur. Masukkan telur satu persatu sambil terus memutar hingga kembang dan berkirm. Perlahankan kelajuan, masukkan tepung dan susu berselang seli hingga habis, putar rata.
  3. Masukkan pisang lecek dan gaul rata dengan spatula. Tambah coklat urai, pisang yang didadu dan esen pisang. Gaul lagi hingga semua rata. Tuang dalam tin yang telah disediakan. Tabur cincangan kekacang jika guna.
  4. Bakar 40 - 50 minit atau hingga masak, uji dengan mencucuk lidi sate bersih dibahagian tengah kek, jika keluar bersih, tanda kek telah masak. Sejukkan atas jaringan sebelum dipotong untuk hidangan.
CATATAN MAT GEBU :- Jika guna acuan bunt pan, keluarkan dari oven, biar sekejap, longgarkan dan keluarkan kek, sejukkan sepenuhnya sebelum dihias dengan coklat ganache dan kepingan badam..Selamat mencuba!

GULAI KETAM DENGAN TIMUN...

rsz_dsc_0648
Gulai ketam okeh...memang pitam lah, semalam gulai, ni hari gulai..santan manjang...grrr, apa nak buat dah itu yang orang nak makan. Masak kan sajalah. Semalam masa pi MyDin, nampak ada jual ketam, nampak segar2 dan berat, kata orang kalau ketam berat2 ni isi dia banyak. Saiz dia pun boleh dikatakan besar, 3 ekor mat beli = 1 kg lebih beratnya dan dalam harga RM 22+....Berapa eks sekilo, kalau tak silap mat RM 18 sekilo macam tu. Tapi memang berbaloi lah beli, isinya penuh dan padat, cuma pada mat kalau ketam saiz sederhana ia lebih muai untuk keluarga yang punya penduduk ramai. Kalau masak gulai, mat suka letak timun, gulai udang juga sesuai digandingakn dengan timun, kalau ada nenas lagi sedap. Seperti biasa, serai dan daun kunyit kena ada. Satu lagi, kalau nak dapat rasa gulai yang sedap, selain bahan2 yang kita guna segar, santan tu sendiri memainkan peranan utama. Kalau diperah dari kelapa yang baru diparut, insya Allah gulai jadi lagi enak. Resipi seperti dibawah..

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 ekor ketam bersaiz besar (kurang leih 1.3 kg)
2 batang serai, dititik
2 helai daun kunyit, disiat
2 biji timun
1 keping asam gelugor
1 liter santan cair
400 ml pati santan
Air jika perlu
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR HALUS :-)
4 biji cili merah
5 biji cili padi (optional)
1 biji bawang besar (kalau kecik guna 2 biji)
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
3/4 inci kunyit hidup
1 camca besar ikan bilis, rendam dan toskan
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ketam dibersihkan, kerat dua jika besar, dan ketuk sedikit bahagian penyepitnya untuk memudahkan isinya keluar bila masak nanti. Cuci dan masukkan ke dalam periuk, bersama serai titik dan bahan kisar halus. Gaul rata dan masak hingga mendidih.
  2. Tuang santan cair, kacau rata. Bila mendidih, masukkan asam gelugor. Tambah santan pekat dan juga daun kunyit. Biar mendidih dengan api sederhana dan kacau selalu. Tambah garam secukup rasa dan sedikit gula.
  3. Akhir sekali masukkan timun, masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain...


KITA SARAPAN LEMPENG...BOLEHHH?...

rsz_dsc_0580
Pagi semua, assalammualaikum. Kat kampung mat, awal2 pagi mendung dah, tapi tak hujan, cuma cuaca jadi berangin dan redup. Pagi ni mat buat lempeng biasa. Memandangkan baki kuah gulai kacang panjang tu masih ada, boleh lah dibuat sebagai pencicih. Hari ni mat campur serbuk bawang dalam bancuhan lempeng tu. Kalau tak nak pun takpe, tapi mat memang suka. Kalau takde serbuk bawang, boleh campur cincangan halus bawang besar. Mat ada tambah baking powder dan juga 2 camca besar mentega cair, tapi telur mat omit, sebab ada yang tak berapa suka bau telur tu terutama bila lempeng sejuk. Selain kiah gulai atau kari, anda boleh makan dengan sambal tumis, kuah asam pedas, seri kaya (kalau nak makan dengan benda2 manis, tak payah letak bawang). Ini makanan paling mudah dan kanak2 pun suka. Resipi kalau tak sertakan pun mesti ramai dah tau buat, main campur2 dan agak2 pun insya Allah jadi. Resipi seperti dibawah ini, takpe lah, mat rajin ni, jadi tulis juga yea...Jommm...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 1/2 cawan tepung gandum
2 cawan air atau secukupnya
1/2 camca teh baking powder
2 camca besar mentega, cair dan sejukkan
Garam secukup rasa
1 camca teh serbuk bawang besar(optional)
Sos atau kuah gulai sebagai pencicih

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satukan tepung, baking powder, serbuk bawang besar dan sedikit garam. Tuang air dan kacau rata hingga tidak berbintil2. Tuang mentega cair, kacau rata dan rasa, jika perlu tambah sedikit lagi garam. Kacau hingga rata dan ketepikan sekejap.
  2. Panaskan non-stick pan bersaiz 8 inci, lenser dengan sedikit minyak. Tuang 1/3 cawan adunan lempeng tadi dan ratakan. Bila permukaan lepeng nampak pucat. Titikkan beberapa titik minyak dan terbalikkan. 
  3. Masak dengan api kecil hingga sedikit garing. Angat dan buat kaedah sama untuk baki adunan hingga siap. Hidangkan bersama sos atau kuah gulai pilihan anda....


Monday, May 28, 2012

AGAR-AGAR CENDOL....KESAH HARI INI.

rsz_dsc_0535
Salam semua, sehat?..Mat ok saja, cuma selsema sikit, tapi dah makin pulih. Hmm, hari ni kan bukan macam hari ku saja. Ntah lah, rasa macam buat apa2 serba tak kena, tadi pergi beli barang dapur dan pagi lagi mat dah siap masak lauk, cadangnya sebelum pergi tu (dalam jam 10 pagi) baru masak nasi. Tapi kan mat boleh terlupa langsung pasal nasi tu. Cukup time mat dan abang mat terus je pi, huhu hal nasi tu langsung tak ingat dah.. Mula2 pi MyDin, dan hari ni ok sikit, eskalator (jenis yang rata tu bukan tangga) dia dah berfungsi balik, elok lah macam tu, kalau tak jenuh nak menghangkut barang2 kita beli, yelah tak leh nak bawak troli sampai kat kenderaan masing2. Di Tesco semua ok2 saja. Lepas siap semua kami balik dan mat terus masak nasi. Lepas santap tu, mat plan nak buat agar2 cendol, tapi tak berapa nak puas hati lah. Rasa ok, tapi gula melaka tu mat tak suka, sebab banyak kotoran, dah tapis 2-3 kali masih ada bendasing halus2, mood pun macam kelaut saja, gerammm....grrr...Walaupun begitu ia masih boleh dimakan, sedap dihidangkan sejuk. Resipi seperti dibawah ini dan anda juga mungkin meminati yang ini....Terima kasih..

BAHAN-BAHAN "A" :-)
5 gram agar2 serbuk (mat guna cap burng layang2)
60 gram gula melaka, potong kecil*
3 camca besar gula
1 helai daun pandan, disimpul
650 ml air
Sedikit pewarna coklat
Gula (extra)

BAHAN-BAHAN "B" :-)
5 gram agar2 serbuk
250 ml pati santan
400 ml air
1 camca besar gula
1 helai daun pandan, disimpul
Garam secukup rasa (nak bagi rasa lemak sahaja)

BAHAN LAIN :-)
Cendol secukupnya.

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK AGAR2 GULA MERAH (A) :- Satukan gula melaka, gula pasir, daun pandan dan 200 ml air , masak hingga gula larut, tapis dan ketepikan. Satukan baki air dengan serbuk agar2. Kacau rata dan masak hingga mendidih dan agar2 larut. Tuang gula merah dan masukkan sedikit pewarna coklat. Biar mendidih perlahan dan jika kurang manis, tambah gula lagi, ikut manis mana yang anda suka. Tuang ke dalam loyang berukuran 7 inci x 7 inci x 3 inci...ketepikan sebentar.
  2. UNTUK AGAR2 SANTAN (B) :- Satukan serbuk agar2, air, daun pandan dan gula, kacau rata dan masak hingga mendidih. Tambah santan, dan kacau rata. Masukkan sedikit garam biar rasa lemak2, kacau rata dan biar suam.
  3. UNTUK AGAR2 CENDOL :- Bila agar2 gula merah hampir keras, cakar2 permukaannya dengan garfu, kemudian tabur cendol secukupnya atas agar2 gula merah tadi. Ratakan. Tuang pula agar2 santan atasnya hingga habis. Biar hingga hilang wap panas, kemudian simpan dalam peti sejuk hingga agar2 keras. Potong dan hidangkan sejuk..


TABUNG AHMAD SUFI, BANTUAN KITA DIPERLUKAN..


Sebelum kita lihat entri masakan, kita lihat dulu entri ini. Kalau sudi anda boleh lah panjang2kan ke blog masing2 yea... Terima kasih..
Sumber dari - Ben Ashaari..


Nama baby ni AHMAD SUFI BIN ROMI AGUS SYUMADI
Ahmad Sufi 6.4.2012.
Assalamualaikum....Ini adalah gambar Ahmad Sufi Bin Romi Agus Syumadi...Ahmad Sufi dilahirkan pada 12 mac 2012 dan sejak lahir dia menghadapi masalah paru2 yang kritikal.
Kos perubatan Ahmad Sufi di Children Westmead Hospital, Sydney adalah tidak kurang dr AUD 3000 (RM9000)SEHARI.UNTUK MAKLUMAN,AHMAD SUFI TELAH BERADA DI RAWAT DI SANA MULAI DR 13 MAC SEHINGGA 26 APR.
Dan kini Ahmad Sufi telah ditransferkan semula ke Canberra Hospital sehingga kini.Dan kos di Canberra Hospital pula tidak kurang dari AUD 1500 sehari.Di sini dengan rendah dirinya saya memohon sekiranya ada diantara anda yang sudi memberikan sumbangan kepada Ahmad Sufi bagi menampung kos perbelanjaan rawatan dia di sana. 
BSN: 14133-41-00000395-4 :JULI YANTI LIDIA BINTI SUHAIMI(Ibu Saudara Ahmad Sufi)
MAYBANK: 152107010378 : JULI YANTI LIDIA BINTI SUHAIMI
Maya Syuhada Binti Suhaimi(Ibu saudara Ahmad Sufi)
CIMB: 14100000462201
Name : Romi Agus Shumadi Romi Suhaimi(ayah Ahmad Sufi)
Bank: St George Bank
Branch: 112 908
Account No: 411178305

GULAI KACANG PANJANG.

rsz_dsc_0489
Selamat tengah hari semua, dah siap masak?...tu pertanyaan untuk suri rumahtangga dan mereka2 yang melibatkan diri dalam dunia masakkan. Nampak macam kenal je kan menu tu.. Huhu, apa nak buat mat masakkan sahaja, bila orang nak. Pagi tadi bonda tanya, tulang ikan masin kurau ada lagi?.. Dan bila mat kata ada, terus bonda bagi cadangan masak lemak dengan kacang panjang. Kacang tu memang ada kat belakang rumah, bonda tanam. Lagi pun masakan macam ni bak suka, sebab tak pedas. Mat perhatikan, sayur2 segar yang baru dipetik ni, rasa dia amat berbeza, manis dan rangup. Kalau masak lemak macam ni seperti biasa serai dan daun kunyit kena lah ada. Cuma satu mat nak pesan apa2 masakan yang ada ikan masin dalam dia, garam harus berhati2, ini kerana ikan masin itu sendiri lama kelamaan akan mengeluarkan garamnya walaupun kita dah rendam sebelum itu. Ok kita semak resipi dan terima kasih pada mereka2 yang sudi singgah...

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 - 5 kepingan tulang ikan kurau masin yang masih berdaging, cuci dan rendam
1 cekak kacang panjang atau secukupnya, dikerat pendek, cuci dan toskan
2 batang serai, dititik
2 helai daun kunyit, disiat
1 liter santan cair
300 ml pati santan
1 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
3/4 inci kunyit hidup
3 biji cili merah
1/2 genggam ikan bilis, rendam dan toskan
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan bahan kisar halus dan serai titik ke dalam periuk. Tuang santan cair, kacau dan masak hingga mendidih. Masukkan tulang ikan masin kurau (toskan) dan juga asam gelugor. Kacau dan biar masak sekejap.
  2. Tambah kacang panjang dan tuang pati santan, kacau perlahan dan biar mendidih dengan api sederhana, kacau selalu. Masukkan daun kunyit. Tambah sedikit garam jika perlu dan sedikit gula. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi hangat dan lauk2 lain...

Sunday, May 27, 2012

EHH.....MACAM KENAL JEE BLOG TU.....

Segan lah bila tengok gambar atas tu..hehe, tempoh hari Puan Lily Haslina, pesan kat FB seperti berikut - "Oh....untuk Adnan Ibrahim aka chematgebu.... tadi TV3 NONA ada captured jugak blog mat dari skrin lappy akak tau...tengok ye Nona TV3 hujung minggu ni... sebab masa team Nona mintak akak klik satu blog lain, akak spontan klik blog mat". Tuuu dia Kak Lily, segan ai..haha, apa2 pun ribuan kasih saya ucapkan untuk Kak Lily. Kebetulan hari ni mat ada tetamu dan ngam2 jam 2 petang mereka sampai. Hmm, rasa macam tak de peluang je nak menonton TV. Jadi mat cepat2 siapkan benda2 makan, hidang semua, dan bila mat masuk bilik, tengok TV, ngam2 dia tayang itu part yang ada gambar sebahagian blog DTS...wahh teruja sudah. Tapi tak leh buat apa2, sebab dah hujung2. Yang ni mat ambik dari tonton.my. Teman blog yang post pasal ni kat wall mat Puan Izah Daut dan teman2 yang lain, terima kasih yea....Jangan lupa bulan depan, jiran mat Ben Ashaari akan muncul di NONA sempena hari bapa (kalau tak silap 10 hb Jun 2012, Ahad, apa2 nanti mat update)....kita saksikan sama2 nanti...Ok tu saja, assalammualaikum...

MASAK-MASAK DI DAPUR MAT GEBU...

rsz_dsc_0434

Salam Ahad, selamat petang semua. Mula2 mat ingat nak cuti masak hari ni, tapi tu lah kan, macam risau pulak bila tak masak. Lagi pun orang lain nak juga makan, kalau kita saja takpe lah, biskut pun boleh. Jadi mat lakukan operasi selongkar peti sejuk. Sepatutnya Jumaat lepas masa untuk beli  dah barang2 dapur, tapi atas sebab2 tertentu, kena tunda ke Isnin ini (insya Allah).  Mat masak ikut apa yang ada. Cuaca mendung2 ni kira makan apa saja pun ok, tapi takmo kari atau masak lemak. Jadi ini semua masakan ringkas, mudah dan cepat, rasa2nya boleh siapkan dalam masa yang agak singkat juga lah.Kalau anda perhatikan semua yang senang2 saja kan. Pasti anda boleh masak juga. Bahan2 pun yang mudah didapati. Kita lihat yea apa mat masak hari ni...Jommm......

rsz_dsc_0440rsz_dsc_0462
Mula tadi mat masak ikan tongkol, cuma goreng kunyit biasa sahaja, tapi lepas goreng tu nampak togel je, jadi mat tumiskan bawang besar, bawang putih, sedikit serbuk kunyit, sedikit asam jawa, garam dan gula secukup rasa. Masukkan ikan tongkol goreng dan gaul rata. Masak hingga kering, rasa dan jika ok boleh angkat. Lepas tu mat dadar telur pulak, yang ni cuma bahan2 biasa sahaja, telur, bawang besar didadu, bawang putih cincang, cili hijau dan merah, buang biji dan dadu kecil serta sedikit baking powder, garam dan serbuk lada hitam. Kacau rata dan dadarkan seperti biasa. Mat letak baking powder  nak kasi telur lagi gebu. Masa goreng tutup kuali atau pan dengan tudung periuk. Guna api kecil ok....


rsz_dsc_0447rsz_dsc_0457
Lepas ni, mat tumbuk pulak sambal belacan buah bachang, serius yang ni sungguh meleleh air liur ok. Bahan pun mudah saja, cili padi, sedikit garam, 3/4 inci belacan dibakar harum dan buah bachang, hiris. Tumbuk semua kecuali buah bachang, hingga halus, masukkan buah bachang, tumbuk sekejap tapi tak payah lumat sanngat buah tu. Gaul rata dan bolehlah hidangkan. Untuk  masakan berkuah pulak mat cuma tumis air kobis dengan udang kertas. Letak soo hoon juga. Mudah saja tumis air tu, nak bess tabur sedikit serbuk lada hitam bagi berangin sikit. Kalau makan macam tu saja pun sedap, sebelum dihidangkan, kalau suka tabur hirisan daun bawang dan bawang goreng kasi lagi wangi...

rsz_dsc_0446
Dan terakhir mat goreng ikan masin, yang ni ikan masin terubuk pemberian seorang teman dari Sarawak, dia pos sekali dengan beras baru, pes laksa dan tak lupa lada hitam sarawak, the best black pepper in the world!. Ikan masin terubuk yang ni rasa dia taklah masin sangat, lemak2. Dan paling best sisik dia tu, rasa kacang2 sikit. Satu lagi kalau nak goreng, guna minyak yang baru, jangan goreng guna minyak yang dah digunakan. Tu saja untuk kali ini....jadi boleh lah kan apa mat masak hari ni.. Ok. sampai sini dulu yea...Jemput makan semua.....Terima kasih pada mereka yang sudi singgah ke DTS....

Saturday, May 26, 2012

NAK MEREPEK KEJAP....SUDI KE BACA?

rsz_dsc_0096
Malam semua, ketat ni, hidung macam takde lobang sudah, selsema. Musim panas selsema, hujan pun selsema, takpelah cuma dugaan kecil. Sebenarnya mat takde entri masak2 untuk malam ni, jadi nak merepek sikit lah. Tiba2 ada gambar anak dara kecik dan anak dara besar dalam entri ni. Yang tu anak2 dara waris2 muda kami. Anak buah mat, mereka bersepupu, saja lah kan letak gambar, entri kat DTS ni wajib ada gambar walaupun ada yang kata, gambar tak selari dengan entri.. Dah nama entri merepek, betul tak. Jomm kita bercerita pasal blog pulak, sekadar pendapat seorang blogger cap ayam... 

Blog kita diperhatikan orang?..memang betul dan ada yang kata, tak perlu femes atau popular, sebab mereka menilai melalui penulisan kita, yang tu mat setuju tapi harus ingat, dalam konteks femes dan popular ni bukan lah perlu jadi blog no 1 di Malaysia (tapi jika Allah dan tentukan, takde sapa boleh menyangkalnya), tidak, cuma nak bagi orang tau perihal kewujudan blog yang kita ada. Kalau satu2 blog itu tidak menjadi buah mulut orang ramai atau nama disebut2, dan link blog anda terdapat di merata2 blog lain, anda fikir ada ke pihak2 yang berkenaan nak bukak mata, singgah dan baca tulisan anda? Sebab ia menjadi buah mulut lah yang mengundang tanda tanya dan ingin tau, apa yang hebat sangat mengenai blog itu, setuju?. Jadi popular itu penting sebenarnya (dari sudut positif ), walaupun kita menafikannya, tetapi dalam diam ia telah pun berlaku, jadi tak perlu lah kan menafikannya.

Sebelum mat akhirkan entri ini, nak ucap terima kasih pada blogger2 masakan yang kekal menjadi penyumbang traffic utama ke blog DTS-MAT GEBU, tak lupa blog Ben Ashaari dan semua juga. Terima kasih sekali lagi, dan minta maaf jika tulisan merepek ini buat sapa2 terasa, jangan ambik endah ok, mat gebu takde bakat menulis benda2 serius, anggap jelah ia satu cerita dongeng dari ku... Assalammualaikum... 

VANILLA CUPCAKE....SIAPA YANG PUNYA?..

rsz_dsc_0316

Petang semua, hujan sini tadi, jadi rasa lembap saja. Tadi kat FB mat kata tak masak hari ni sebab dah masak sarapan yang berat pagi tadi, "nasi lemak". Tapi petang tadi rasa bosan teramat sangat sudah. Serba tak kena, ke hulu ke hilir pun tetap rasa tak bess, tiba2 teringat kat FB tu hari ada sorang teman FB dan geng blog masak2, tag mat vanilla cupcake, nampak macam bess, je, budak tu sengajakan, dah tau aku ni gebu masih goda2 lagi dengan cup cake bagai. Jadi tadi mat laksakanlah bagi memenuhi ruang kebosanan. Maka jadi lah seperti yang anda lihat ni, ok juga kan, sweet je, sesuai untuk anak2 dara dan mak2 dara. Kalau datin2 nak hi-tea pun sesuai juga cupcake ni, yelah nak hi-tea takkan nak makan cekodok pisang atau cok badak, cok keria yea dak, paling koman pun cupcake, scone atau tiramisu....sori datin, gurau2 saja...

rsz_dsc_0399
Mat buat 1/2 dari resipi asal, oh yea lupa nak bagi tau resipi siapa. Mat ambik dari blog sorang anak muda..yea anak muda ok, bukan anak dara. Bujang lagi, kacak orang nya, jadi kalau akak2 nak pinangkan untuk anak dara mereka, memang sesuai sangatlah....jadi jangan lupa riki2 ok, haha, sori Ryo, pcm gurau2. Resipi asal guna gula kastor tapi mat ganti dengan gula perang. Mat buat 1/2 dari adunan asal menghasilkan 18 biji cupcake bersaiz sederhana, banyak mana anda dapat bergantung pada saiz acuan yang anda gunakan. Rasanya lembut dan sedap, dah makan tadi sebiji share dengan bonda...erkk, hehe, kan mat dah kata, aku ni dapat baking pun jadi, tak makan takpe, cannot tahan ok, giann woo kalau lama tak baking2 ni. Ok kita semak resipi, dan sebelum mat terlupa, resipi asal ( di sini ) guna sukatan "gelas" tapi mat dah ganti guna "cawan"....

BAHAN-BAHANNYA :-)
125 gram mentega
3/4 cawan gula perang @ soft brown sugar (ini pun mat rasa manis dah, boleh kurang skit lagi)
2 biji telur (satu ambil kuning sahaja)
1 cawan tepung gandum*
1 camca teh baking powder*(*satukan dan diayak)
1 camca teh serbuk vanillin (mat ganti dengan butter vanilla)
75 ml susu segar

BAHAN-BAHAN BUTTER CREAM :-)
100 gram mentega
75 gram shortening atau krimwell
125 gram gula aising, diayak

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 180C, alas acuan cup cake dengan paper cup atau guna cup yang keras. Ketepikan.
  2. Putat mentega dengan gula perang hingga gula hancur, masukkan telur dan terus memutar hingga berkrim. Perlahankan kelajuan, masukkan tepung yang telah diayak berselang seli dengan susu segar hingga habis, kacau rata.
  3. Akhir sekali masukkan esen vanilla, gaul rata dengan spatula. Isi dalam acuan 3/4 penuh. Bakar 25 minit atau hingga masak. Keluar dan sejukkan. Hias dengan buttercream atasnya mengikut kreativit anda. Boleh hidangkan...
  4. UNTUK BUTTERCREAM :- Putar mentega dan shortening/creamwell hingga sebati. Masukkan gula aising dan terus memutar hingga kembang. Boleh digunakan. Simpan baki buttercream dalam peti sejuk untuk kegunaan kemudian. 


NASI LEMAK BUAH BIDARA.....

rsz_dsc_0212

Assalammualaikum, salam Sabtu. Dah sarapan?. Mat pagi ni masak nasi lemak, untuk mereka2 yang nak nasi lemak, dan mat gebu makan quaker oat (tapi jamah jugalah sikit nasi lemak...gulp...telan air liur okeh..huhu). Nasi lemak satu masakan biasa bagi orang2 Malaysia. Walaupun dari segi kesihatan memakan nasi lemak kerap adalah kurang elok, tapi ia tetap menjadi pilihan. Apa2 jua makanan sekali pun beragak2 lah kan. Mat suka masak nasi lemak, lagi2 guna beras basmathi. Banyak gaya masakan nasi lemak di Malaysia ni, tapi bahan asas untuk nasi lemak sudah pasti beras berkualiti, santan segar, garam dan daun pandan (wajib ada). Dan sebagai bahan penambah aroma, ada yang letak halia, bawang putih, serai, belahan bawang besar dan halba. Itu mungkin mengikut negeri masing2. Satu lagi saranan mat, beras basmathi adalah pilihan terbaik, dan ia lebih mudah untuk menyukat cecairnya, terutama bagi mereka2 yang kurang biasa memasak nasi lemak.

rsz_dsc_0257

Bahan sampingan untuk dimakan bersama nasi lemak ini sudah semesti sambal tumis, timun, telur (samada direbus atau digoreng) dan ada juga yang meletakkan kacang tanah goreng, ikan bilis goreng, ayam goreng rempah dan sebagainya. Zaman sekarang ni mat lihat nasi lemak hampir hilang identitinya bila ia di letak dengan pelbagai lauk pauk lain, dengan rendang dan macam2 lagi. Bila makan kenikmatan nasi lemak itu sendiri tenggelam dek rasa lauk-pauk yang dimakan bersama. Tapi itu hanya pandangan mat saja lah, mungkin orang lain lebih suka menikamti nasi lemak dengan gaya macam tu. Untuk resipi ini mat guna ayam yang mat panggang, resipi dari sini, mat memang perap lebih tu hari dan simpan dalam freezer, jadi bila nak guna, mat keluarkan awal2 biar lembut, tinggal bakar sahaja. Ok kita semak resipi mudah ni, jommm..

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 cawan beras basmathi (mat guna basmathi Moghul)
6 cawan santan kelapa segar
1 helai daun pandan, disimpul
2 batang serai
1 biji bawang besar, belah 4
3 ulas bawang putih, diketuk
1 inci halia, diketuk
Garam secukup rasa

BAHAN SAMPINGAN :-)
Sambal tumis
Hirisan timun
Telur rebus
Ayam goreng @ panggang
Ikan bilis goreng (optional)
Kacang tanah goreng (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Cuci beras, dan rendam 30 minit, kemudian toskan. Masukkan beras tadi ke dalam rice cooker. Tuang santan, masukkan serai, bawang besar, bawang putih, daun pandan, halia dan garam secukup rasa. Kacau rata dan masak seperti biasa.
  2. Bila nasi masak. Gemburkan dengan chostick, tapi jangan lama2, cukup 3 - 4 kali gaul saja. Kemudian off kan suis rice cooker. Biar 10 minit lagi. Cedok nasi lemak tadi secukupnya dan letak dalam pinggan sesuai. Letak bahan2 sampingan dan hidangkan.....Selamat mencuba semua!

Friday, May 25, 2012

IKAN KUAH LADA...

rsz_dsc_9949
Selamat tengah hari, assalammualaikum. Dah siap masak, tu untuk surirumah lah, kalau yang bekerja tu mat pun faham. Hari ni mat masak ikan kuah lada, alah nama saja lain tapi serupa asam pedas saja. Kali ni guna ikan tenggiri, yang fresh ni, segar dari sampan. Yelah kalau segar dari laut, kita tangkap sendiri kat laut, yea dak?. Mat masak 4 keping macam tu, memandangkan bonda berpuasa, jadi mat masak awal sikit. Masakan gulai2 macam ni kalau kita masak awal lagi bagus. Mat campur terung dan tomato, kalau nak letak bendi pun ok. Daun kesom dan bunga kantan mat tambah sebagai penambah keharumannya. Asam pedas perlu rasa sedikit masam, pedas, manis dan harum, wajib lah kan dah nama pun asam pedas. Apa2 pun gaya anda masak, janji ia menepati selera keluarga anda. Air tangan dan keikhlasan itu penting dalam apa jua benda yang kita lakukan. Sebab untuk jangka panjang kebaikkan itu akan berbalik pada kita juga....kann, insya Allah.... Ok kita semak resipi yea...Jommmm...

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 kepingan ikan tenggiri
1 biji terung biru
2 biji tomato
1/2 cawan jus asam jawa
2 senduk nasi cili kisar
1 genggam daun kesom
2 kuntum bunga kantan, belah dua setiap satu
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci lenguas
3/4 inci kunyit hidup
1/2 inci belacan
2 biji buah keras

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan tumis hingga terbit minyak. Tuang air secukupnya, kacau dan biar mendidih. Masukkan ikan dan jus asam jawa, kacau perlahan.
  2. Masukkan terung, bunga kantan dan daun kesom, biar mendidih, tambah garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak sekejap dan akhir sekali masukkaan tomato, kacau dan rasa, jika ok boleh matikan api. Biar tomato lembut dengan wap panas. Hidangkan bersama nasi dan lauk-pauk lain.

MANGO CRYSTAL JELLY

rsz_dsc_0162
Selsema ni mula lah tekak rasa payau, nak makan yang masam2..erkk bukan ngandung ok..Semalam abang mat ada beli buah mangga, jadi tadi ambik sebiji dan mat belek2, hmm apa nak buat yea, yang sejuk, yang nyaman dan yang cepat disediakan. Nampak ada serbuk jelly konnyaku. Buat jelly pun sedap gak ni. Fikir lagi nak buat style macam mana pulak. Jadi mat kupas mangga tadi, hiris nipis2 dan kemudian hiris memanjang halus2 dan mat susun dalam acuan yang comel (bukan susun, cuma campak2kan dan tepek2 sikit kat bahagian dindang nya, setiap satu berisipadu 100 ml kurang lebih. Dapat lah dalam 7 biji jelly. Sedap dimakan sejuk dan jelly tu pun just nice, lembut dan gedik2 saja, nak telan pun senang, yang mana gigi tak cukup tu pun takde masalah, gerenti tak tercekik, tapi makan selow2 ok, jangan pelahap....Jommm semak resipi pulak

BAHAN-BAHANNYA :-)
Isi mangga masak secukupnya, belah nipis dan hiris memanjang
1 camca teh serbuk jelly Konnyaku
550 ml air
1/4 cawan gula (boleh tambah kalau nak manis lagi)
Beberapa titik esen mangga

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Sediakan acuan agar2 pilihan anda, mat guna yang comel2. Ambil kurang lebih 1/2 camca besar hirisan buah mangga tadi, letak dalam setiap acuan, lekat2kan sedikit dibahagian dindingnya. Buat hingga siap dan ketepikan.
  2. Satukan serbuk jelly, gula dan air ke dalam periuk, kacau rata dan masak hingga mendidih dan semua bahan larut. Masukkan esen mangga, kacau rata dan matikan api. Biar suam.
  3. Sudukan ke dalam setiap acuan yang berisi hirisan mangga tadi, sudukan dengan berhati2 hingga penuh. Buat hingga siap dan biarkan hingga hilang wap panas. Sejukkan dalam peti sejuk hingga betul2 keras. Hidangkan....

AYAM PANGGANG LADA HITAM.

rsz_dsc_9971
Salam, kali ni kongsi resipi ayam. Tapi ayam panggang lada hitam. Konon lah kan hidangan sihat. Tapi boleh dikatakan macam tu lah, sebab tak guna minyak, dan bakar dalam kuali ajaib. Nasib baik bakar ikan tak tukar jadi ayam. Ini mat buat semalam, tapi semalam masa tidak mengizinkan sunguh untuk mat masukkan ke DTS. Untuk resipi ini mat guna 4 keping ayam bahagian peha yang agak besar. Mat kelar2 sedikit dan perap dengan rempah ratus 5 - 6 jam dalam peti sejuk. Resipi macam ni anda boleh buat awal, dan simpan, bila nak guna keluarkan dan bila lembut, boleh bakar atau panggang dan kalau nak senang guna kuali ajaib macam mat selalu guna tu, seriuss berbaloi, alah apa lah sangat setakat 100+ untuk kuali tu kalau nak banding dengan kemudahan yang akan anda nikmatinya masa memasak. Sedap dimakan begitu sahaja atau dengan nasi ayam dan sebagainya. Resipi seperti dibawah..

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 - 5 kepingan peha ayam yang lebar
4 camca besar sos lada hitam
1 camca besar madu
1 camca besar kicap cair (atau secukup rasa)
Daun salad untuk hiasan
Tomato didadu besar, untuk hiasan

BAHAN KISAR HALUS :-)
1 inci halia
2 batang serai, hiris halus
1/2 inci lengkuas
4 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 camca besar ketumbar
1 camca teh jintan manis
1/2 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ayam dicuci bersih, buang kulit dan kelar sedikit atau anda boleh cucuk ayam tadi dengan garfu. Toskan dan masukkan ke dalam bekas, tambah bahan kisar halus sos lada hitam, madu dan kicap cair secukup rasa. Gaul rata dan perap dalam peti sejuk 5 - 6 jam.
  2. Panggang hingga ayam masak (mat guna kuali ajaib tu saja). Balik2kan ayam dan oleskan dengan bahan2 pemerap tadi semasa proses memanggang. Bila ayam masak boleh lah dikerat2. Susun dalam pinggan yang telah dialas dengan daun salad. Hias dengan tomato yang didadu dan hidangkan...


NASI GORENG BUNGA KANTAN....

rsz_dsc_0055
Assalammualaikum, selamat pagi Jumaat. Dah sarapan?. Mat pagi ni goreng nasi. Resipi biasa kan, hmm itu lah mat gebu, memang masak yang biasa2. Pada mat nasi goreng satu menu ringkas yang mudah dan menjimatkan. Boleh masukkan apa saja, ada baki ikan goreng, ayam goreng, daging atau ikan bilis semua boleh, waima sambal ikan bilis pun sesuai. Boleh letak sayuran yang anda suka, kacang, lobak merah dan sebagainya. Untuk kali ni mat ada sekuntum baki bunga kantan, jadi nak buat nasi goreng bunga kantan, mat pernah nampak kak ida 1001 resipi buat dulu diblog beliau. Tapi yang ni mat buat guna style mat sendiri sajalah. Main campak2 dan baling2, ikut apa yang ada. Mat tambah juga 1 camca besar pes tomyam dan juga  baki sambal tumis yang mat telah mat bekukan. Hirisan bunga kantan kita letak akhir dan digaul rata. Resipi seperti dibawah, dan sebelum tu kita lihat entri pilihan DTS di sini.... terima kasih..

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 cawan nasi sejuk, dileraikan
1 camca besar pes tomyam (sebarang jenama)
2 camca besar sambal tumis (resipi di sini)
1 keping dada ayam, hiris memanjang
1 biji bawang besar, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1 kuntum bunga kantan, hiris halus, tinggalkan sedikit untuk hiasan
1 batang serai, ambil bahagian putih dan hiris halus
2 biji telur, pukul sedikit
1/2 cawan mix vege (karot, jagung, kacang pis)
Sos ikan secukup rasa
Hirisan cili padi untuk hiasan
Hirisan daun bawang untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali, tumis hirisan bawang besar dan bawang putih hingga layu, masukkan sambal tumis, serai hiris dan pes tomyam, kacau rata, Tambah mix vege dan daging ayam gaul rata. Tolak ke tepi kuali, masukkan telur, biar mengeras sikit, dan kacau. Gaul rata.
  2. Masukkan nasi, dan gaul, tambah sos ikan secukup rasa dan tambah hirisan bunga kantan, kacau hingga rata. Masak sekejap dengan api besar. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun bawang, hirisan cili padi dan baki bunga kantan tadi. Hidangkan panas..

Thursday, May 24, 2012

PAU SAMBAL @ BURGER MALAYSIA @ BATU BELAH

rsz_dsc_9901

Petang semua, assalammualaikum, huhu, baru balik ni, terus mat on9 dan update blog. Masak dah siap awal tadi, cuma tak dann nak update blog, bz sikit hari ni, dan anda pun faham kan, kami blogger masakan kalau nak update perlukan masa, Nak edit gambar (crop mana yang tak perlu) kemudian nak karang juga intro sebelum boleh tulis resipi. Pau sambal mat buat pagi tadi untuk sarapan. Kuih ni boleh dikatakan popular juga di Malaysia dan negara jiran seperti Singapura. Ianya boleh dikatakan seakan2 donat, cuma bentuk seakan2 bun, digoreng belah dua, disapu sambal dan letak hirisan timun. Mat sajalah tambah salad sedikit bagi lagi nampak berseri2...macam mat gebu, tapi aku time sengeh kurang seri sudah...adehh segan lah..kenapa, hanya mereka2 saja yang tau...

rsz_dsc_9933
Resipi ini akan menghasilkan 10 biji pau sambal bersaiz sederhana, takde lah besar sangat. Mat guna kaedah cepat, selalunya nak perap 35 - 40 minit hingga naik gebu, dan digoreng, tapi sebab nak cepat, mat masukkan dalam oven dan on kan, tapi suhu letak paling rendah dalam 45C dan biar dalam 20 minit macam tu atau hingga nampak naik gebu. Goreng dalam minyak sederhana panas, mat goreng 5 biji sekali, apa yang penting minyak tak boleh panas sangat, nanti cepat hangus dan dalamnya tidak berapa masak. Mat guna resipi yang pernah mat buat dulu, tapi mat lebihkan sedikit yeast. Ok kita lihat resipi seperti dibawah.....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 1/2 cawan tepung gandum
1 1/2 camca besar gula halus
2 camca besar susu tepung
1 1/2 camca besar lemak sayur (shortening)
1/4 camca teh garam halus
1 1/4 camca teh instant yeast (mauripan)
100 ml air suam
Sambal tumis secukupnya
Hirisan timun secukupnya (10 keping)
Sedikit daun salad (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Bancuh instat yeast bersama 50 ml air suam dan 1/2 camca besar gula halus (dari resipi yang sama). Kacau rata dan ketepikan sekejap hingga bancuahn berbuih2. Sementara itu masukkan tepung baki gula, susu tepung, lemak sayur dan garam ke dalam mangkuk adunan. Kacau rata.
  2. Tuang bancuhan yeast dan gaul hingga sebati. Tuang baki air sedikit demi sedikit sambil terus menguli hingga menjadi doh yang tidak melekat dimangkuk adunan, tak perlukan habiskan air jika doh telah ok.
  3. Kemudian bahagi kepada 10 bahagian sama besar, bulat2kan dan susun dalam loyang yang telah ditabur sedikit tepung, tekan biar leper sedikit. Perap 35 - 45 minit atau hingga kembang.
  4. Goreng dalam minyak sederhana panas hingga kuning keemasan pada seluruh bahagian pau, angkat dan toskan. Biar sejuk, belah 2 dan sapu dengan sedikit sambal tumis, letak sekeping hirisan timun dan selitkan sedikit daun salad, jika suka. Hidangkan untuk sarapan atau minum petang....


Wednesday, May 23, 2012

KUIH LAPIS....TAK BERAPA CUN...

rsz_dsc_9876
Malam semua, petang tadi buat kueh lapis, tapi huhu, tak menjadi denga begitu lawa pulak. Dalam apa jua masakan yang kita buat terutama kuih2 melayu, kesabaran itu penting, tak boleh nak cepat atau kata orang jalan pintas. Nampak kuih lapis mat buat tu, lawa tak?...cer tenung lama2, nampak tak permukaan dia macam tanah gersang, macam kulit yang begitu kasar...hmm, ni semua gara2 mat nak cepat. Selalunya mat sejukkan kuih dalam kukus, dengan membuka tutup kukus tadi. Ni aku angkat dan sejukkan guna kipas angin, sekali kan..kan..kan, tiba2 dia jadi retak2..grrrr.....macam tanah lama tak kena hujan...arghh tak sukanya....

rsz_dsc_9889
Mula2 mat malas dah nak buat entri, tapi fikir2, takpelah bagi orang tengok, bukan selalu apa yang kita hasilkan jadi lawa dan nampak sempurna. Satu lagi waktu kita kukus untuk setiap lapisan tu pun kena tengok juga, kalau lama sangat bila tuang lapisan seterusnya, dia takmo lekat sangat. Bila nampak permukaan dia pucat dan kering, boleh tambah lapisan baru. Waktu mengukus ikut ketebalan. Kalau lapisan nipis 4 - 5 minat sudah memadai. Cuma lapisan akhir tu kena kukus lama sikit lah. Dan yang paling utama, kena kasi kuih tu sejuk baru potong. Apa2 pun kita lihat resipi..

BAHAN - BAHAN 'A' :-)
150 gram tepung beras
30 gram tepung hong kue (warna putih)
400 ml santan pekat
160 ml air

BAHAN - BAHAN 'B' :-)
150 gram gula
150 ml air
1/4 camca teh garam
2 helai daun pandan, disimpul

BAHAN LAIN :-)
Pewarna makanan merah
Sedikit pewarna kuning

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satu kan semua bahan B dan masak hingga larut, tapis dan sejukkan. Dalam mangkuk lain, satukan bahan A, kacau rata dan ketepikan 30 minit. Kemudian masukkan bahan B tadi, kacau rata dan tapis. Ketepikan.
  2. Panaskan kukus, alah tin berukuran 7 inci x 7 inci x 3 inci dengan plastik bersih, sapu sedikit minyak pada plastik tadi. Sementara itu bagi no. 1 kepada 7 bahagian sama banyak, kurang lebih 130 ml setiap bahagian. 1 bahagian diletak warna merah dan sedikit warna kuning, kacau rata dam ketepikan. 3 bahagian diberi warna merah, kacau rata dan 3 bahagian lagi biar pada warna asal.
  3. Panaskan tin dalam kukusan sekejap. Tuang 1 bahagian warna merah, tutup tin dengan aluminum foil dan kukus 4 - 5 minit atau hingga permukaan lapisan nampak pucat. Tuang  1 bahagian warna putih dan kukus  lagi 4 - 5 minit dan seterusnya secara berselang seli.
  4. Akhir sekali tuang bahagian berwarna merah + kuning tadi. Kukus 12 - 15 minit. Dan pastikan setiap kali mengukus, permukaan tin ditutup dengan aluminium foil. Sejukkan kuih sebelum dipotong.

LEMAK REBUNG BABAT...NO KOMEN....

rsz_dsc_9823
Salam...pagi tadi goreng mi hoon, dan hari ni bonda berpuasa hingga esok. Sebab mat pun kepala macam ting tong nih, jadi sebelum aku tergolek dog bagai, baik masak awal2. Yang lain mat gorengkan sardine sahaja, sudah. Tapi untuk bonda mat masakkan lemak cili padi rebung jeruk dengan babat (perut tuala). Masakan macam ni kalau dimasak awal lagi bagus, sebab makin lama, rasa dia makin sedap dan mesra. Rebung tu guna rebung jeruk buatan sendiri, memandangkan hari dijeruk belum lama sangat, bau dia takdelah sekuat rebung yang dah lama jeruk. Ada orang tak suka bau rebung jeruk, hancing katanya, tapi memang betul, lepas makan, bau dia melekat kat celah2 kuku, jadi yang tak nak bau tu, boleh makan guna sudu dan garfu. Selain makan dengan nasi, kuah dia sedap juga dicicah lempeng atau cekodok atau makan dengan roti. Resipi mudah seperti dibawah ini...

BAHAN-BAHANANYA :-)
400 gram babat atau perut tuala
450 gram rebung jeruk atau rebung segar
4 batang serai, dititik
2 helai daun kunyit
2 keping asam gelugor
1 liter santan cair
400 ml pati santan
Air jika perlu
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR HALUS :-)
1 genggam cili padi kampung
1 inci kunyit hidup
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Perut dicuci bersih, rebus hingga lembut, tos dan potong kecil. Masukkan ke dalam periuk bersama rebung jeruk tadi (cuci dulu dan toskan, kalau guna rebung segar, celur sekejap dan toskan). Masukkan juga serai dan bahan kisar halus, gaul rata dan masak hingga mendidih. Jika kurang kuah boleh tambah sedikit air.
  2. Tuang santan cair dan masak hingga rebung lembut. Tambah asam gelugor dan pati santan. Masukkan juga daun kunyit, perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. 
  3. Masak dengan api kecil hingga mendidih dan kacau selalu.Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain. Selamat mencuba..


MI HOON JE YANG AKU MAMPU GORENG..

rsz_dsc_9811

Assalammualaikum, selamat pagi semua, bangun2 je pagi ni, kepala macam ada simen beku dalam dia, hidung pulak rasa macam terowong banjir, suara?...Ooo yang tu menten ok, walaupun semalam blogger Ayu Citarasa Rinduan kata suara CM lain, tapi ia tetap merdu, pengsan semua burung2 kalau dengar mat gebu bebel. Pagi ni dengan rasa tak berapa nak ok, mat cuma mampu goreng mi hoon sahaja untuk sarapan. Sebab mat macam tak berapa nak rajin, aku guna saja sambal tumis semalam sebagai salah satu  rencah dia. Kita yang buat dia betul dak. Lagi pun ia memudahkan. Tapi tambah lah bahan2 lain sikit, tumiskan bawang putih dan bawang merah semua baru masukkan sambal tumis tadi. Mat guna udang kecil2, sebab bak dia suka udang kecil, berasa katanya dari udang besar, ikut je lah. Yang lain2 tu seperti biasa, kalau anda nak tambah sotong pun ok. Biasa sangat kan mi hoon goreng macam ni, takpe, biar biasa dari luar biasa, takut ada yang tak tergamak nak buat nanti kalau luar biasa sangat. Apa tunggu lagi, jommm sarapan!!..

BAHAN-BAHANNYA :-)
200 gram mi hoon, rendam hingga lembut, toskan
1/3 cawan isi udang (yang ni letak lebih pun boleh)
3 camca besar sambal tumis (mat guna yang ini)
2 camca besar sos cili
3 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, cincang halus
1 pokok sawi bok choy, siang berasingan, cuci dan toskan
2 genggam taugeh, buang ekor, cuci dan toskan
1 keping tauhu, dadu dan goreng, toskan
2 biji telur, dibuat telur hancur
Sos ikan secukup rasa
Hirisan daun bawang untuk hiasan
Hirisan cili merah, untuk hiasan
Bawang goreng untuk hiasan


CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan sedikit minyak, tumis bawang merah dan bawang putih hingga harum, masukkan sambal tumis dan sos cili, kacau rata dan masak sekejap. Tambah udang, tauhu, telur hancur dan batang sawi bok choy, kacau rata dan tuang air (anggaran 3/4 cawan). Biar mendidih.
  2. Masukkan mi hoon, gaul rata dan masak hingga mi hoon lembut. Masukkan daun sawi dan taugeh, gaul hingga semua rata. Tambah sos ikan secukup rasa, masak sekejap dan rasa. Jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun bawang, cili merah dan bawang goreng sebelum dihidangkan.

Tuesday, May 22, 2012

CUCUR KELAPA.....SAMBAL TUMIS MAYONNAISE

rsz_dsc_9760

Malam semua, mana yang berpuasa, selamat dah berbuka. Mat pun tadi berbuka juga..erkk, hehe, join bonda berbuka puasa. Petang tadi sebagai kudapan lepas2 berbuka, sempat lah mat buat cucur kelapa dan juga sambal tumis ikan bilis, tapi bukan biasa2 punya sambal, ada letak mayonnaise lagi, erkk jangan tak caya ok. Cucur kelapa tu kebetulan sahaja, sebab ada stok kelapa parut muda yang mat bekukan dalam freezer. Jadi boleh lah dijadikan cucur atau cekodok atau jemput2. Pada mat kalau nak buat cucur kelapa, kelapa parut harus yang muda sedikit, seperti kelapa membuat inti. Untuk cucur kelapa ni bahan2 dia tak banyak, cuma kelapa parut, tepung gandum, baking powder, garam dan air. Tu saja, mudah bukan. Ini kira typical orang melayu nya kudapan. Kalau dikampung2, ini antara hidangan minum petang mau pun sarapan pagi. Paling ngam makan dengan sambal tumis, kalu takde dengan sos cili juga sesuai....

rsz_dsc_9783

Sebelum mat buat cucur kelapa tu, sempat juga buat sambal tumis mayonnaise, mat guna ikan bilis. Sedap ke guna mayonnaise tu?.. Kenalah cuba kalau nak tau, cuma mat sarankan, garam anda kena letak akhir, selepas mayonnaise. Ini kerana mayonnaise itu sendiri sudah ada garam. Sambal tumis selalunya perlu ada keseimbangan rasa masam, manis, pedas dan lemak2 masin, bukan masin terlampau. Ikan bilis tu terpulang pada gaya anda, samada nak goreng dulu atau tidak, kalau nak goreng, gaul ikan bilis tadi pada saat akhir. Tapi mat buat yang ikan bilis tidak bergoreng. Ok tu sajalah cerita untuk entri ini, kita semak resipi seperti dibawah ini...Terima kasih sudi singgah ke DTS.


CUCUR KELAPA.....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cawan kelapa parut putih
1 1/2 cawan tepung gandum
3/4 camca teh baking powder
1 cawan + 2 camca besar air
Garam secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Satukan semua bahan2 diatas kecuali garam, gaul rata dan tambah garam secukup rasa, jangan  letak banyak2, kasi rasa lemak2 sudah memadai. Rehatkan sekejap. 
  2. Panaskan minyak dalam kuali. Basahkan hujung jari anda, kemudian jemputkan adunan tadi, guna hujung2 jari saya untuk menjemput adunan, dan berhati2 jatuhkan ke dalam minyak sederhana panas. Buat 8 - 10 biji sekali goreng, bergantung pada saiz kuali dan kuantiti minyak yang anda guna. Goreng hingga kekuningan, angkat dan toskan. 

SAMBAL TUMIS MAYONNAISE....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 genggam ikan bilis, dibersihkan, rendam sekejap dan toskan
2 senduk nasi cili kisar
1 camca besar mayonnaise
1/3 cawan jus asam jawa
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan kisar halus hingga harum, masuk cili kisar dan tumis hingga cili garing. Tuang jus asam jawa, kacau dan masak sekejap.
  2. Tambah ikan bilis dan mayonnaise, gaul rata dan tambah garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak hingga sambal pekat sedikit. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama cucur kelapa tadi.....Selamat mencuba!.

MASAK LEMAK LABU MANIS..

rsz_dsc_9707
Seperti mat kata dalam entri lepas, kali ni mat letak menu masak lemak labu manis. Mat faham ini benda biasa2 sahaja, semua surirumah pasti boleh memasak. Tujuan mat letak ni sebagai panduan bagi mereka2 yang baru berjinak2 ke dapur. Dan setiap orang tak sama gaya masakan mereka, jadi walaupun nama masakan sama, ia tetap berlainan dari segi bahan2, itu pada pandangan mat lah. Kadang bila kita berbicara perihal dunia masakan ni, perlu berhati2 juga. Maklumlah, kita setakat blogger cap ayam, mereka yang singgah membaca ada tu chef2 profesional (hmm...ada ke yang singgah ke DTS ni eks?). Jadi ada masa pendapat mungkin agak bercanggah, tak sama, not same. Tapi ini pandanan masing2, betul tak. Apa2 pun pada mereka yang sudi membaca, dan mencuba, terima kasih. Jangan pandang remeh masakan macam ini, tau tak, masakan macam ini ada masa boleh menambat hati suami, mak/pak mertua anda. Sungguh ni, mereka bukan nak hidangan hebat seperti lima bintang, cukup sekadar masakan yang dimasak dengan keikhlasan dan penuh kasih sayang....tu saja..Resipi mudah seperti dibawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 biji labu manis saiz kecil (kurang lebih 700gram)
8 tangkai kacang panjang, potong pendek
2 batang serai, dititik
2 helai daun kunyit, disiat
1 liter santan cair
400 ml pati santan
Air jika perlu
1 camca teh lada hitam, tumbuk halus
1/3 camca teh serbuk kunyit
Garam dan gula secukup rasa
1 biji bawang, hiris halus
4 ulas bawang putih, diketuk
1 1/2 camca besar udang kering, rendam 10 minit dan tumbuk kasar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Labu dibelah, keluarkan bijinya, kupas kulit dan potong kiub pada saiz besar. Cuci, tos dan masukkan ke dalam periuk, bersama serai titik, bawang besar hiris, bawang putih dan udang kering tumbuk. Tuang santan cair, kacau perlahan dan masak hingga mendidih. Jika kurang kuah, boleh tambah sedikit air.
  2. Bila labu 1/2 empuk, tambah kacang panjang dan daun kunyit. Masak sekejap dan tuang pati santan. Perasakan dengan garam secukupnya, sedikit gula dan lada hitam. Kacau perlahn dan masak dengan api kecil hingga mendidih dan labu empuk, tapi tidak terlalu lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama sambal belacan, ikan masin @ ikan goreng....

MENU RINGKAS DI HARI SELASA..

rsz_dsc_9641
Salam Selasa semua, hari ni 1 Rejab dan ada yang berpuasa. Bonda berpuasa juga dan mat masak awal untuk mereka2 yang tidak berpuasa hari ni (termasuk aku...erkk..hehe). Tapi mat akan makan petang nanti lah. Hari ni masak yang mudah2 saja. Mula plan nak masak ayam, tapi macam jemu teramat sangat lah pulak nak makan ayam, very the boring gitu. Jadi labu manis baki buat donat tu hari dan atas permintaan, mat masak lemak dengan kacang panjang (kacang petik kat belakang rumah). Hari2 memasak ni ada kala memeningkan juga, sebab kalau masak ikut style kita, nanti ada yang takmo. Jadi langkah selamat, kena tanya dulu, apa nak makan, dan kalau ada ikan, tanya nak masak apa, itu pun bergantung pada jenis ikan. Kalau mat senang saja, kalau tak singgang, aku masak asam pedas, tak pun goreng dan nak senang lagi bakar, macam ikan tongkol tu. Anda pulak macam mana, masak yang mudah2 juga ke?..

rsz_dsc_9707rsz_dsc_9683
Mula mat masak labu manis, ini baki tu hari. Mat cuma guna 100 gram sahaja untuk dibuat donat, dan selebihnya tu cadang nak buat kuih bakar tapi kensel sudah, sebab dah jadi masak lemak. Labu sejenis sayuran/buah yang amat2 versatile, dari hidangan tradisi orang2 kita hingga ke hidangan berunsur barat, semua boleh. Pada mat kalau masak lemak, apa yang utama, rencah dia, kami di Johor selalu gunakan udang kering sebagai rencah, serai dan daun kunyit juga harus ada. Sedikit lada hitam ditambah dalam masakan, ini kerana labu berunsur sejuk dan angin, jadi bila ada lada hitam, ia lebih seimbang, lada hitam kan hangat. Kemudian mat bakar ikan tongkol, yang ni mudah cuma mat lumurkan sedikir garam, serbuk kunyit dan mat tabur serbuk bawang (boleh beli kat TESCO, ada jual dalam botol jenama TESCO juga), hidangkan bersama sambal air asam budu...perghh meleleh ok..

rsz_dsc_9677
Dan, bila ada masak lemak labu, wajib ada sambal belacan. Tapi kali ni mat buat sambal belacan buah bachang. Ada yang tanya, apa beza bachang dengan kuini, bau dia seakan2 sama saja. Buah bachang isi dia agak bersabut. Dan ada serat2 halus. Kalau buah kuini, ia lebih licin dan tidak berserat macam buah bachang dan bau buah kuini lagi kuat dan harum. Tapi kedua2 buah ini sedap dibuat sambal belacan, kerabu atau yang muda dimasak lemak cili padi dengan ikan...Itu sajalah lah untuk kali ini, resipi takpayah lah kan, cuma resipi labu tu nanti mat letak kemudian yea. Kita jumpa di lain entri...Terima kasih sudi singgah, assalammualaikum, salam sayang dari DTS-MAT GEBU.... (^___*)


Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.