BEN ASHAARI

Saturday, October 31, 2009

NYONYA SAMBAL SOTONG

P1150604
Selain masak lemak nangka (resipi dalam n3 dibawah), mat juga masak satu lagi masakan kegemaran kaum peranakan....Mesti orang pelik kan, pesal lah si mat ni asyik masak peranakan, bukan apa, masakan depa ni unik dan kaum peranakan juga cuma ada di Asia Tenggara (Malaysia, Singapore, Indonesia dan sedikit di Thailand, hasil kawin campur). Kalau kita tak menjaga dan memperkenalkan kepada generasi muda, lama2 semua terkubur macam tu saja, sapa yang rugi masa tu.....Kita ni sebagai orang2 baru harus lah ada sikap mengekalkan kebudayaan negara kita sendiri, sapa lagi nak diharapkan...betul tak apa guaa cakap?...

Nyonya Sambal Sotong
Sambal sotong ni mudah dimasak dan tak pedas sangat, sebab mat gunakan 100% cili merah, bukan cili kering, tapi sesiapa nak campur cili kering pun boleh, tak salah. Penggunaan herba seperti serai dan daun limau purut pun menampakkan kelainan sikit, mereka ni kalau masak, belacan dan buah keras memang tak boleh tinggal.. Sedap dimakan bersama nasi, roti, roti jala dan juga ubi rebus..ishh sebut2 ubi rebus bikin kecur tekak guaaa sajaa....hehehe.. Apa2 pun kita pantun dulu...

TERBANG TINGGI SI BURUNG KEDIDI,
HINGGAP BERTEDUH DI DAHAN JATI,
BUDAYA BANGSA LAMBANG PERIBADI,
JANGAN DIBIARKAN TERKUBUR MATI

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 g sotong, siang, cuci bersih dan toskan
5 biji limau kasturi, ambil jusnya
1 batang serai, dititik
3 helai daun limau purut
10 biji cili merah, ditumbuk halus
Garam dan gula secukup rasa
8 biji bawang merah*
2 ulas bawang putih*
1/2 cm lengkuas*
1 inci belacan, dibakar*
1/2 inci kunyit hidup*
2 biji buah keras*(*ditumbuk halus)
Sedikit air jika perlu

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Dalan kuali, panaskan minyak, tumis bahan tumbuk halus, serai dan daun limau purut hingga harum, masukkan cili tumbuk dan tumis hingga terbit minyak, gunakan api sederhana.
  2. Masukkan sotong, gaul rata dan tambah garam dan gula secukup rasa. Masak hingga sotong kecut dan kuah pekat. Tuang jus limau kasturi, gaul rata dan rasa. Jika perlu tambah sedikit gula untuk mengimbangkan rasa masam.
  3. Masak dengan api perlahan selama 2 - 3 minit lagi. Angkat dan boleh hidangkan. Jangan masak lama2 nanti sotong liat macam selipar jepunn!!!....

NANGKA MASAK LEMAK PUTIH

Nangka Masak Lemak Putih
Salam untuk semua, dah makan tengah hari ke u all?....Hari ni mat masak, nangka masak lemak putih. 2-3 hari lepas ada beli nangka muda, jadi hari ni kita buat lah operasi memasak nangka, resipi paling mudah selain nangka muda dicelur dan buat ulam, ialah masak lemak. Lauk ni kan, makan dengan ikan masin dan sambal belacan jee dah cukup, budget pun murah, tak membebankan. Rasa2nya macam pernah masak dan masuk kat blog tau, masakan ni, tapi tak kesah lahh, lauk ulang tayang sekali pun, janji yang ni baru masak, kalau yang lepas2 tu dah "basi".....hehehe...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kati (600 gm) nangka sayur yang muda, beli yang dah siap kupas kulit
800 ml santan cair
300 ml pati santan
2 helai daun kunyit, disiat2
1 1/2 camca besar udang kering, rendam 10 minit
1 biji bawang besar, hiris
4 ulas bawang putih, diketuk
1 camca teh lada hitam, tumbuk kasar
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Nangka dipotong sederhana kecil dan rebus hingga 1/2 lembut. Toskan. Udang kering ditumbuk kasar2. Masukkan nangka, udang kering, bawang besar, bawang putih dan santan cair. Masak hingga mendidih.
  2. Perlahankan api dan masak hingga hingga nangka lembut, tuang pati santan dan masukkan daun kunyit. Tambah garam seckup rasa dan sedikit gula. Kacau rata dan masak dengan api perlahan sambil dikacau sekali sekala.
  3. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan panas bersama nasi putih, ikan masin@ikan goreng dan sambal belacan....hmmmm....

Thursday, October 29, 2009

BANANA BUTTER CAKE.

Banana Butter Cake
As'laikum dan selamat petang Khamis semua, hari ni mat buat banana butter cake untuk minum petang, rasanya lemak2 manis. Ini sebab nak menghabiskan stok pisang yang ada kat rumah, rupa si pisang tu pun dah berubah, kulit dia dah mula gelap2 sikit tapi isinya masih elok. Sebelum di lesey (buang), elok lah kita tukarkan ia menjadi sesuatu boleh meracun tekak dan pandangan...hehehe. Keknya lembut, gebu dan lembap...kalau nak buat cup cake pun boleh, nak bakar dalam loaf pan boleh, loyang bulat boleh....kalau nak buat swiss roll pun rasa nya ok, sebab kek ni lembut...ishh awat tak terfikir tadi..tak pe, lain kali kita cuba buat swiss roll pisang pulak yeaa....

Banana Butter Cake
Yang ni mat bakar dalam muffin pan. Dapat lah dalam 20 biji, ikut besar mana acuan memasing yea.. Lepas bakar tu biar sejuk dan hias ikut suka. Nak hias macam mat tu pun ok, nak bubuh buttercream pun ok, coklat ganache pun ok atau ayak gula aising pun lawa...ala2 salji gitu....Resipi asal mat dapat dari buku "Alex Goh"...cuma cara membuatnya mat guna teknik sendiri....

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 biji telur gred "A"
100 g gula halus
1/2 camca teh ovallate
120 g tepung protein rendah (mat belasah guna tepung gandum)*
1/2 camca teh baking powder*(*digaul rata dan ayak)
85 g mentega, dicairkan dan biar sejuk
120 g pisang embun#
1/4 camca teh soda bicarbonate#
Secubit garam#(#dilecek hingga hancur)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Putar gula halus dengan ovallate hingga rata. Masukkan kesemua telur dan putar hingga kembang dan pekat. Pada kelajuan perlahan, masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga habis, gaul rata.
  2. Masukkan pisang lecek, putar lagi dan akhir sekali masukkan mentega cari dan gaul rata menggunakan spatula.
  3. Isikan ke dalam acuan muffin 3/4 penuh dan bakar pada suhu 180C selama 25 minit atau hingga masak. Biar kek sejuk dan hias ikut kreativiti masing2. Jika menggunakan loaf tin atau tin bulat panjangkan masa membakar 20 - 25 minit lagi atau hingga masak......

Tuesday, October 27, 2009

KUIH KASWI LAPIS

Kuih Kaswi Lapis
Salam petang Selasa semua, dah minum petang ke?... Nampak menarik kan kuih kaswi lapis tu, resipi asal dari rumah "Kak Rinchan" yang pakar memasak dan juga pakar menangkap gambar. Dah lama mat plan nak buat, tapi tak buat2 juga. Hari ni mat cuba juga lah buat dan hasilnya seperti dalam gambar..Sedap, kenyal2 dan lagi sedap dimakan bila kita gaulkan kuih tadi dengan kelapa. Pilih kelapa yang kulit basah, baru lah sedap, jangan kelapa tua nanti berhampas.. Tapi orang tua lain yeaaa!!!!!

Kuih Kaswi Lapis
Kuih macam ni lambat rosak sebab bahan2 dia pun tak de santan, kecuali kelapa tu. Kalau nak tahan lama, kelapa parut harus dikukus 4-5 minit. Lagi satu tips, untuk mendapat potongan yang licin, alaskan sehelai plastik bersih atas kuih, dan potong kuih dengan menekan pisau atas plastik tadi, hasil potongan kuih licin dan tak sememeh, pisau pun bersih tak melekit2. Kat FP kak rinchan, dia syorkan alas plastik pada dasar loyang kuih sebelum menuang adunan kuih kaswi, tujuan untuk mengelakkan kuih melekat. Mat guna loyang berukuran 11 inci....boleh makan ramai2 sebab jadi banyak!!!

BAHAN "A" :-)
1 1/2 cawan tepung gandum*
1/2 cawan tepung ubi*
1 camca besar tepung pulut*(*digaul rata dan ayak)
1 cawan gula merah (mat guna gula melaka)
1/2 cawan gula pasir (mat guna 1/3 cawan)
3 cawan air
2 camca teh air kapur

BAHAN "B" :-)
7 helai daun pandan, kerat kecil2*
150 ml air*(*kisar dan tapis untuk jusnya)
3/4 cawan gula pasir
400 ml air
150 g tepung beras*
70 g tepung ubi*(*digaul rata dan ayak)
1 camca teh air kapur
Beberapa titik pewarna hijau

BAHAN "C" :-)
Kelapa parut secukupnya, kukus sekejap
Sedikit garam halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan kukusan, balut tutup kukus dengan kitchen towel bersih. Sapu sedikit minyak pada dasar dan tepi loyang. Alas dasar loyang bulat dengan plastik bersih (potong ikut saiz dasar loyang). Ketepikan.
  2. Dalam alat pengisar, kisar semua bahan "A" hingga sebati dan halus, tapis ke dalam satu bekas. Kemudian kisar semua bahan "B" hingga sebati dan halus, tapis ke dalam satu lagi bekas.
  3. Sukat bancuhan "A" sebanyak 400 ml, tuang dalam loyang tadi dan kukus 10 minit. Kemudian tuang pula bancuhan "B" sebanyak 400ml, kukus 10 minit. Buat secara berselang seli hingga habis. Masa kukusan untuk setiap lapis selama 10 minit.
  4. Akan menghasilkan 3 lapisan gula merah (bancuhan "A") dan 2 lapisan pandan (bancuhan "B"). Biarkan kuih betul2 sejuk sebelum dipotong. Hidangkan bersama kelapa parut yang digaul dengan sedikit garam.
CATATAN MAT GEBU :- Kacau bancuhan tadi bila hendak menyukat dan ketika menuang ke dalam loyang.

IKAN KUAH LADA

Ikan Kuah Lada
Salam semua, apa khabar....sejak2 ni macam slow siput kan blog mat ni. Masa agak terhad dan rasa malas pun ada....ish...ish...ish..tak elok malas2 kan, kalau kurang rajin tu tak pe lah juga. Oleh sebab malas nak fikir2 pasal masak, mat masak satu masakan peranakan yang begitu senang, sedap dan sesuai untuk orang yang tengah ada sifat2 malas...Ikan kuah lada ni lebih kurang macam asam pedas (rasanya dulu dah letak tau resipi dia) tapi sedikit cair. Rasa pun kurang pedas dan sedikit lemak dengan penggunaan buah keras. Tau saja lah, kaum baba dan nyonya ni, buah keras dan belacan mana boleh dipisahkann....Jom pantun kejap sebelum memasak.

DARI JOHOR KE TANJUNG TUAN,
SINGGAH MELAKA BELI RAGI,
BABA NYONYA JEMPUTLAH MAKAN,
BILA DAH RASA, MESTI NAK LAGI.


BAHAN-BAHANNYA :-)
5 ekor ikan kembung (boleh guna ikan pari)
1 biji terung, potong serong, rendam
2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap kuntum
1 liter air (atau secukupnya)
1/2 cawan jus asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
6 biji cili merah*
3 biji buah keras*
1/2 inci belacan, dibakar*
1 camca teh lada putih biji*
3 ulas bawang putih*
8 biji bawang merah*
1/2 inci kunyit hidup*
1 hirisan lengkuas*(*ditumbuk halus atau dikisar)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan disiang, cuci berih dan ketepikan. Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan tumbuk halus hingga harum dan terbit minyak. Tuang air dan biar mendidih.
  2. Masukkan ikan dan terung, tambah jus asam jawa, masukkan bunga kantan. Biar mendidih perlahan. Perasakan dengan garam dan sedikit gula. Masak hingga terung lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api.
  3. Hidangkan segera bersama nasi hangat, sambal belacan dan ulam.....

Sunday, October 25, 2009

BUN PANDAN BERKAYA AGAINN!!!!

Bun Pandan Kaya
Salam hujung minggu untuk semua, apa khabar. Ini sepatutnya n3 semalam, tapi tak sempat nak masukkan, tak kesah lah, kalau tak masuk pun tak pe, resipi ulang tayang. Tah2 ada yg bosan dahh....Resipi ni mat dah buat banyak kali juga. Asalnya mat dapat kat fp kak "rin chan" yang femes dengan resipi2 mengancam maut juga gambar2 yang boleh membuatkan kita meleleh air liurr!!!!....Ok lah sebab hari ni macam rajin sikit, mat tulis lah resipi dia...(tapi kat n3 lepas dah ada tau resipi..hmmm)...

BAHAN-BAHANNYA :-)
350 g tepung roti (high protein flour)
200 ml air sejuk (dari peti sejuk)
50 g gula halus
1/2 camca teh garam halus
3 camca teh instant yeast
1 camca teh bread improver
20 g serbuk santan
1 camca besar susu tepung
1 biji telur kecil (mat guna telur biasa, kacau sedikit dan timbang 40g)
30 g mentega
1 camca teh pandan paste

BAHAN HIAS :-)
Kelapa kering secukupnya
Seri kaya secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK DOH :- Satukan semua bahan2 diatas kecuali mentega dan bahan hias ke dalam mangkuk adunan. Gunakan hook dan putar pada kelajuan sederhana hingga menjadi doh. Tambah mentega dan terus memutar hingga mendapat doh yang kenyal dan elastik (doh memang agak lembut), tutup dengan plastik cling dan biarkan 1 jam. KAEDAH LAIN :- Masukkan semua bahan2 diatas kecuali bahan hias ke dalam Bread Maker dan pilih setting untuk doh, tekan "on" dan tunggu hingga siap...
  2. Tumbuk dok untuk membuang udara. Bahagikan kan doh kepada 16 bahagian yang sama besar, bulat2kan doh dan susun dalam loyang (mat guna loyang bersaiz 11 x 11 x 2 inci). Tutup dengan kitchen towel bersih dan biar naik selama 45 minit - 1 jam.
  3. Spray sedikit air atas permukaan roti, tabur kelapa kering dan paipkan serikaya (masukkan seri kaya dalam plastik bersih, dan gunting sedikit muncungnya) atas roti tadi...ikut lah style memasing yeaa...
  4. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 180C selama 20 - 25 minit (mat bakar 30 minit)...Bila masak, keluar dari tin dan sejukkan sepenuhnya atas jaringan....Lepas tu boleh lah makan. Air kopi/teh jgn lupa yeaa...
CATATAN MAT GEBU :- Kalau nak buat kaya roll pun ok, canai adunan rata2, sapu kaya dan gulung macam swiss roll, pastu kerat dan susun. Bila sampai waktu membakar, spray air dan tabur kelapa kering.

Tuesday, October 20, 2009

RENDANG PEDAS HARUM

Rendang Pedas Harum
Salam untuk semua, apa khabar....Lepas2 raya ni tiba2 kan nak buat rendang ayam lah pulak, seperti biasa, kali ni rendang ala2 Negeri Sembilan tapi sedikit berbeza, tapi senang saja membuatnya. Kalau nak buat guna itik pun boleh juga (sesiapa yang makan itik lah yeaa...), tapi pada mat, rendang ni sedap guna ayam, kalau daging tu ok juga tapi kurang sikit kot. Sesuai dimakan dengan nasi, lemang, ketupat atau roti. Kalau masak lebih pun tak pe, isi dalam tupperware, boleh di dingin beku, nak makan, masuk je dalam microwave...mudah kan untuk orang2 yg bekerja...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ayam, dipotong 16
700 ml santan pekat
300 ml air kelapa
2 helai daun limau purut
2 kuntum bunga kantan, belah dua setiap kuntum
4 helai daun kunyit, mayang halus
2 keping asam gelugor
2 camca besar kerisik
Garam dan sedikit gula
80 g cili padi hijau (boleh kurang kalau tak tahan pedas)*
8 biji bawang merah*
3 ulas bawang putih*
2 inci halia*
5 batang serai, hiris halus*
1 inci kunyit hidup*(*dikisar halus)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Dalam kuali, satukan bahan kisar halus, air kelapa, santan, daun limau purut dan asam gelugor. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Masukkan ayam tadi dan masak hingga pekat.
  2. Tambah kerisik dan bunga kantan, perisakan dengan garam dan sedikit gula. Kacau sekali sekala dan tambah hirisan daun kunyit bila rendang hampir kering. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi hangat, kutupat dan lemang.
CATATAN MET GEBU :- Jika guna ayam "pencen" atau ayam "kampung", tambah air panas dan terus memasak hingga ayam lembut....

Thursday, October 15, 2009

CHOC - CHEESE ORANGE MUFFIN

Choc-Cheese Orange Muffin
Salam buat semua pengunjung blog tiffinbiru, ampon dan maaf dipinta sebab dah 2 minggu mat tak masukkan apa2 n3 baru, bukan tak sihat, cuma masa begitu ketat sejak bebelakangan ini. Bulan syawal yang masih sedikit bersisa pun masih ada lagi tetamu singgah bertandang ke rumah. Dah adat kita orang2 melayu, tetamu harus dirai, sebab mereka tu semua pembawa rezeki. Ok untuk permulaan hari ni, mat letak n3 muffin, benda yang paling mudah untuk dibuat. Sesuai untuk rumah terbuka, deepavali atau apa2 saja majlis.....

Choc-Cheese Orange Muffin
Ianya lembut dan halus, lemak2 manis dan harum dengan bau parutan kulit oren dan juga rasa mewah keju dan jus oren dengan lemak rasa mentega. Dengar macam nak pingsan kan, mesti ada ingat rasa dia muak..tapi rasa dia sedap u, tak muak, apa2 pun tekak masing, jadi citarasa tak sama. Kita kata sedap, ada orang kata "biasa2 ajeee". Resipi ni boleh dapat 25+ muffin, ikut saiz muffin cup yang digunakan. Jadi kalau nak try buat sikit, boleh lah buat 1/2 bahagian dari resipi dibawah ni yea...Selamat mencuba!!...

BAHAN-BAHANNYA :-)
130 g mentega
130 g cream cheese
4 biji telur gred A
150 g gula halus
260 g tepung gandum*
1/2 camca teh soda bikarbonate*
1/2 camca teh baking powder*
40 g serbuk koko*(*digaul rata dan diayak)
2 camca besar golden syrup (boleh ganti dengan "madu")
1 biji oren, parut kulitnya
50 ml jus oren (perah dari oren di atas)



CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satukan mentega, cream cheese dan gula, putar hingga putih dan gula hancur. Masukkan telur satu persatu sambil terus memutar hingga kembang. Jarak waktu untuk satu telur = 1 minit. Masukkan parutan kulit oren, putar rata.
  2. Pada kelajuan perlahan, masukkan tepung tadi berselang seli dengan jus oren, hingga habis. Macam biasa kalau masuk berselang seli, mesti diakhiri dengan tepung. Putar hingga semua sebati.
  3. Kaup adunan dengan spatula untuk meratakan mana2 bahagian dalam mangkuk adunan yang kurang rata. Sudukan adunan 3/4 penuh dalam muffin cup. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 190C selama 25 minit atau hingga masak.
  4. Sejukkan atas jaringan sebelum dihidang. Kalau suka boleh juga disapu cream dan hias ikut kreativiti masing2....

Thursday, October 1, 2009

NYONYA MOONCAKE

Nyonya Mooncake
Salam sejahtera semua....Mesti ramai masih menghadiri rumah2 terbuka...Pernah makan kuih bulan?....Kalau dulu, orang2 kita (Muslim) begitu fobia nak makan kuih bulan, yelah takut dengan ramuan yang terlarang di dalam kuih tu. Tapi zaman sekarang ni, perubahan telah berlaku dan banyak kuih2 bulan halal telah dikeluarkan. Ada satu ketika tu mat teruja sangat tengok acuan kuih bulan yang pelbagai corak menarik, jadi kita pun beli satu. Lepas setahun baru semalam tergerak hati nak mencuba, memandangkan bahan2 pun dah ada, kita pun mulakan operasi membuatnya. Ini lah percubaan pertama, dan hasilnya pun ok lah untuk yang pertama kali membuat....Tapi memang teruja tau tengok corak2 yang terhasil lepas dicetak....

Nyonya Mooncake
Yang mat buat ni saiz dia comey, dan tak letak telur merah asin, sebab tak muat. Inti pulak mat beli sedia terjual, lepas tu digaul bersama kuaci (tanpa kulit), yang dipanggang hingga kuning keemasa. Lagi satu kan, dari buku yang mat baca, kuih ni lepas buat kena biarkan 2 - 3 hari baru lah rasa dia lagi ngancam dan kulit dia jadi lembap... Ada pelbagai versi kuih bulan, ada tu jenis agar2 dan ais - cream. Resipi kulit mat dapat dari satu buku cina ni yang berjudul "Mooncakes" oleh "Alan Ooi"......Jomm kita lihat resipi...

BAHAN KULIT :-)
300 g tepung berprotein rendah (boleh beli kat kedai baking)
220 g sirap kencana (golden syrup)
60 g minyak kacang tanah (mat guna minyak cap helang)
1/2 camca teh alkaline water ( air abu)

BAHAN LAIN :-)
Inti kuih bulan secukupnya (mat guna perisa pandan)
30 g kuaci (tanpa kulit) dipanggang hingga kekuningan
1 kuning telur + 3 titik kicap pekat, kacau rata



CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KULIT :- Satukan sirap kencana, minyak kacang tanah dan alkaline water, kacau hingga semua sebati. Ayak tepung atas papan pencanai, buat lubang di tengah2 tepung tadi dan tuang bancuhan sirap kencana. Gaul rata dengan tepung sehingga menjadi doh yang lembut dan tidah melekat di tangan. Tabur sedikit tepung, jika perlu. Tutup doh tadi dengan tuala lembap dan biar 30 minit.
  2. UNTUK INTI :- Gaul inti tadi bersama dengan kuaci panggang hingga rata. Kemudian bahagikan inti tadi kepada 24 bahagian sama besar (30 g setiap bahagian), bulat2 kan.
  3. UNTUK KUIH BULAN :- Doh tadi dibahagi kepada 24 bahagian sama besar (kurang lebih 25 - 30 g, setiap bahagian). Tabur sedikit tepung pada tapak tangan, ambil 1 bahagian kulit, leparkan dan letak 1 bahagian inti, kemudian balut inti tadi dengan kulit, kemaskan. Tabur sedikit tepung pada kuih bulan dan masukkan ke dalam acuan khas. Tekan perlahan acuan tadi sehingga kuih bulan padat dan menghasilkan bentuk sekata. Alih ke dalam dulang pembakar yang telah diatas kertas minyak. Buat hingga siap.
  4. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 190C, selama 10 minit. Keluarkan kuih dan sapu permukaannya dengan bancuhan kuning telur + kicap pekat tadi. Sambung membakar selama 8 - 10 minit lagi. Bila kuih bertukar kuning keemasan, keluarkan dari oven. Sejukkan atas jaringan sepenuhnya. Biarkan kuih 2 - 3 hari untuk mendapatkan kulit yang lembap (masa baru2 keluar dari oven, kulitnya sedikit keras).....