BEN ASHAARI

Wednesday, July 29, 2009

NYONYA KERABU TELUR

Nyonya Kerabu Telur

Salam sejahtera untuk semua, dah makan tengah hari ke?...Macam dah lama kan tak masukkan n3 baru, selain masa tidak mengizinkan, menu pun jenis biasa saja, kalau letak pun semua jenis masakan ulang tayang....mana bess...betul tak, kang orang tengok balik2 masak singgang ikan, asam pedas, sambal tumis dan sayur2....boringggg!!!!...

Nyonya Kerabu Telur
Hari ni selain mat masak singgang ikan, sambal tumis (resipi ulangan lagii!!)..ada juga mat sediakan satu resipi ringkas dan mudah, tapi sedap u...tak caya nanti boleh cuba yeaa...Nyonya kerabu telur, ala2 resipi kerabu biasa tapi ada sentuhan nyonya peranakan, biasalah depa ni kan kaki mengubahsuai makanan....Kira hidangan ni kalau buat untuk pelengkap satu2 hidangkan pun elok benar...Ada kerabu ni, ikan goreng dan nasi hangat sudah memadai...jimat belanja kann!!!.... Ok sebelum tu nak pantun dulu....

BATIK DATANG DARI JAWA
ELOK DIPAKAI SI ANAK DARA
HIDANGAN ENAK MENGGUGAT JIWA
KERABU TELUR PEMBUKA SELERA

BAHAN - BAHANNYA :-)
4 biji telur
2 biji bawang besar
2 biji tomato
2 kuntum bunga kantan
5 - 6 biji cili padi
1 genggam pucuk kesom (laksa leaf)
4 - 5 biji limau kasturi
Garam dan gula secukup rasa
2 biji cili merah*
4 biji cili padi*
1 ulas bawang putih*
1 inci belacan, dibakar*(*ditumbuk halus)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Telur didadar satu persatu, kemudian gulung dan hiris, tomato, dibuang biji, dan hiris halus, bunga kantan dihiris halus, bawang besar dihiris halus, cili padi dihiris kecil begitu juga dengan pucuk kesum. Satukan semuanya dalam satu bekas.
  2. Masukkan bahan tumbuk ke dalam no 1 dan gaul rata2. Tambah garam dan gula secukup rasa. Perahkan jus limau kasturi secukupnya. Seimbangkan rasa, mesti ada rasa, masin, manis, masam dan pedas.
  3. Hidangkan segera bersama nasi hangat, ikan goreng dan ulam2, jika suka.....

Sunday, July 26, 2009

AL- FATIHAH UNTUK YASMIN AHMAD

Al - fatihah untuk arwah "Yasmin Ahmad"..... Moga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, mengampun kan segala dosa2 dan membalas segala kebaikkan.....aminnn....

Thursday, July 23, 2009

LEMAK CILI PADI REBUNG & UDANG

Lemak Cili Padi Rebung & UdangAlign Center
As'laikum dan selamat petang semua...Jom makan lemak cili padi rebung dengan udang. Kalau nak guna daging salai pun sedap, atau pun perut tuala. Rebung tu kalau nak lagi kick kena lah rebung jeruk yang bau "bacin" tuu...Amaran harus dikeluarkan yea, resipi ini tidak sesuai untuk kanak2 (dan segelintir orang dewasa) juga tidak sesuai jika hendak menghadiri majlis2 rasmi...Bukan apa, bau "kick" si rebung jeruk itu very the power rangers u!!..melekat kat celah2 kuku....sapa nak jawab kalau ada sesapa salam pastu cium tangan kita!, ada pulak yang pitam lepas tu....Ok jom semak resipi yang mudah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
400 g udang saiz besar, dibersihkan
700 g rebung jeruk, cuci dan toskan
5 batang serai, dititik
3 keping asam gelugor
300 ml pati santan
700 ml santan cair
Garam dan secubit gula
3/4 cawan cili padi kampung (cili yang warna hijau)*
1 inci kunyit hidup tua*
1/2 camca teh garam kasar*(*ditumbuk hingga halus)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Dalam belanga, satukan rebung, bahan2 tumbuk halus, serai titik, udang dan asam gelugor. Gaul rata dan tuang santan cair. Masak atas api hingga mendidih, kecilkan api.
  2. Kemudian tuang pati santan, kacau rata dan masak dengan api sederhana sambil dikacau selalu hingga mendidih. Tambah secubit gula dan garam (jika perlu) dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi hangat dan ulam2man....

Tuesday, July 21, 2009

UDANG SANTAN BERLADO

Udang Santan Berlado
Selamat petang semua, minta maaf sebab lambat masukkan n3 baru, waktu terasa begitu terhad sekarang ni....Hari ni mat masak "udang santan berlado", ala2 masak lemak juga, cuma ada sedikit perbezaan, kalau nak guna ayam pun boleh, dan sayur kacang tu kalau tak mo letak pun tak pe, boleh ganti dengan tomato, terung atau belimbing buluh. Ok jom kita semak resipi nya...

BAHAN - BAHANNYA :-)
500 g udang galah, dibersihkan
7 tangkai kacang panjang, dipatah 2 inci setiap satu
2 batang serai, dititik
6 biji belimbing buluh, dibelah dua
1 cawan pati santan
3 cawan santan cair
Garam dan sedikit gula
3 biji bawang merah, dihiris
2 ulas bawang putih, dihiris
1 inci halia, diketuk
6 biji bawang merah*
2 ulas bawang putih*
1/2 inci lengkuas*
3 biji buah keras*
1/2 inci belacan, dibakar*
3/4 camca besar udang kering*
15 tangkai cili kering (kerat dan rendam dalam air hangat, toskan)*(dikisar halus)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak, tumis bawang merah/putih hiris, halia dan serai titik hingga harum, masukkan bahan2 kisar dan tumis hingga terbit minyak. Guna api sederhana. Masukkan udang, gaul rata dan masak sekejap hingga udang kecut.
  2. Tuang santan cair dan biar mendidih, masukkan kacang panjang dan santan pekat. Biar mendidih perlahan, tambah garam dan sedikit gula. Masukkan asam belimbing dan masak hingga belimbing lembut.
  3. Bila kacang panjang sedikit lembut, matikan api. Rasa dan jika ok boleh hidangkan bersama nasi hangat, sambal belacan dan ulam sebagai pembuka selera.... Selamat mencuba..

Sunday, July 19, 2009

SWEET OATS BAGUETTE

Sweet Oats Baguette
Salam semua, mat tulis n3 ni dalam jam 12 + am....Sebab paginya ada urusan yang perlu dibereskan, tu pasal tulis juga n3 sebelum masuk tidur. Roti ni mat buat siang tadi untuk minum petang. Rasa dah lama tak buat roti. Rasa sedikit manis tapi kira roti sihat juga kerana adanya kandungan oats dalam doh. Boleh dibentuk macam bun saja, tapi hari ni mat buat ala2 baguette atau roti perancis, tapi kita punya roti perancis jenis kontot..ahaks!!....

Sweet Oats Baguette
Boleh dimakan begitu saja, atau dicicah dengan kopi, disapu seri kaya, jem atau apa2 saja. Pada yang tak suka manis sangat, boleh kurangkan kandungan gula dalam roti. Mat tabur sedikit bijan dan gula halus sebagai hiasan. Kalau tak suka abaikan saja benda2 tu, atau boleh tabur dengan keju parut...pun sedap!!!....Resipi asalnya mat adaptasi dari blog "Min BakingProject", wanita yang femes dengan cake bersalut fondant tu, tapi mat dah modifey sikit laa..Terima kasih yeaa Min...

BAHAN - BAHANNYA :-)
500 g tepung roti
50 g quaker oats
230 ml air sejuk (dari peti sejuk)
1 biji telur gred A*
1/2 camca teh vanilla esen*(*disatukan dan kacau rata)
15 g yeast segera
15 g susu tepung
125 g gula halus
10 g garam
1 camca teh bread improver
1 camca teh bread softerner
15 g mentega
15 g lemak sayur (shortening)



CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satukan semua bahan2 di atas kecuali, mentega, lemak sayur dan air. Gaul rata dan tuang air sedikit demi sedikit sambil terus menggaul hingga menjadi doh. Uli 10 minit. Masukkan mentega dan lemak sayur, dan terus menguli hingga adunan menjadi lembut dan anjal (kira 20 minit). Bulat2kan doh dan rehatkan 15 minit. KAEDAH LAIN :- Satukan semua bahan2 diatas ke dalam beread maker, pilih setting untuk doh dan tekan "ON". Biar hingga siap menguli dan perap 15 minit dalam breadmaker (selalunya BM perap 1 jam). Keluarkan doh untuk membentuk roti.
  2. Bahagi doh kepada 4 bahagian sama besar, bulat2kan kemudian gelek memanjang kurang lebih kurang 14 inci, letak dalam loyang yang telah disapu dengan mentega. Buat hingga siap, tutup dengan plastik dan biar naik selama 35 minit.
  3. Dengan pisau tajam, kelar 2 - 3 kelaran pada setiap roti tadi. Sapu dengan mentega dan tabur sedikit gula halus dan bijan. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 180C selama 25 - 30 minit hingga kuning keemasan, bergantung pada oven masing. Biarkan roti sejuk sebelum dipotong..

Saturday, July 18, 2009

NASI PORTUGIS

Nasi Portugis

As'laikum untuk semua, salam Sabtu, hari ni mat masak nasi portugis, masakkan dia agak ringkas dan mudah, makan dengan acar sudah memadai, kerana dalam nasi tu sendiri sudah ada hirisan daging. Nak kata macam nasi beriani, tapi bukan, macam nasi lemak pun bukan...Memang unik sedikit, tapi dari segi rasa tidak mengecewakan, sedap (tapi kenalah faham, tekak dan citarasa manusia ni kan berbeza2....jadi lu pikir lah sendiri!!!!).....

Nasi Portugis

Resipi asal mat dapat dari buku masakkan "Norzailina Nordin"...Apa2 pun terima kasih pada kak lina kerana berkongsi resipi yang mudah dan sedap nie...Harap ok yea jika mat kongsi pulak di blog masak2 nie ....Jom kita lihat resipinya......

BAHAN - BAHANNYA :-)
500 g beras basmathi, cuci dan rendam 25 minit, toskan
300 g daging batang pinang*
3 ulas bawang putih, diketuk*
1 inci halia, diketuk*(*rebus hingga daging empuk dan hiris nipis)
500 ml stok rebusan daging
500 ml santan
2 helai daun pandan, disimpul
2 camca besar minyak sapi
3 camca teh jintan manis*
1 camca teh jintan putih*
3 camca teh cili kisar*(*dikisar halus)
Garam secukup rasa

BAHAN TUMIS :-)
5 biji bawang merah, dihiris
2 ulas bawang putih, dihiris
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

BAHAN HIASAN :-)
Hirisan daun sup/daun bawang
Gajus goreng
Bawang goreng

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak sapi dalam kuali, masukkan bahan tumis dan masak hingga harum, masukkan daun pandan dan bahan kisar halus, masak hingga rempah garing. Masukkan beras tadi dan goreng hingg rempah rata dengan beras.
  2. Alih beras tadi ke dalam rice cooker, tuang santan dan stok daging, tambah garam secukup rasa dan masak nasi seperti biasa. Bila nasi kering, masukkan daging yang telah dihiris tadi. Terus memasak hingga nasi tanak.
  3. Balik2kan nasi dengan chop stick (cukup 3 - 4 kali gaul). Taburkan bahan hiasan sebelum dihidangkan bersama acar atau lauk2 lain yang anda gemari....

Tuesday, July 14, 2009

ASARI SPAGHETTI TOMATO

Asari Spaghetti Tomato
As'laikum semuaaa...sebelum apa berlaku, mat nak minta maaf sebab, aku salah ngeja "spaghetti" kooo...adehhh, nak edit balas dah malas..minta amponn yea semua.. Resipi mudah ni kutip kat blog Hana yang dok tercampak kat Jepun tuuu...Hana..ko kalau nak beli "noritake" jgn lupa seru nama "mat gebu"...ahaks...Nama asal "asari spaghetti tomato", tapi asari tu menatang apa pun pakcik tatau (rupa macam kepah jee)...jadi mat belasah guna kupang segar, tapi kat dalam gambar tu, mat dah lucut kan kulit dia dari isi. Tapi sedap lahh, kupang segar kan manis..Apa2 pun boleh semak resipi....

BAHAN-BAHANNYA :-)
Spaghetti, direbus hingga lembut, tos dan gaul dengan sedikit minyak zaitun
300 g asari@lala@kupang
285 g sos spaghetti (mat guna perisan tomato asli)
1 tin cendawan butang, toskan, separuh cincang, separuh hiris
5 camca besar minyak zaitun
2 biji tomato, didadu
Garam dan sedikit gula
Keju parmesan, diparut*
Hirisan daun parsley*(*untuk ditabur)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak zaitun,tumiskan bwg putih hingga kekuningan. Masukkan tomato yg dipotong dadu.masak sampai tomato hancur.
  2. Masukkan asari. tutup kuali@periuk sehingga asari terbuka.
  3. Masukkan sos spagethi n cendawan butang. Perasakan dengan skit garam dan sedikit gula. *jika perlu masukkan air sedikit. Didihkan.
  4. Hidangkan sos bersama spagetthi dan taburkan dengan daun parsley dan parutan keju parmesan jika suka.

Sunday, July 12, 2009

LEMAK PISANG MUDA & CENDAWAN

Lemak Pisang Muda & Cendawan
Salam Ahad untuk semua....dah masak ke?...Hujung2 minggu ni mesti ada yang masak sedap untuk dijamu bersama keluarga. Hari ni mat masak lemak pisang muda dengan cendawan, cendawan pulah guna cendawan terkukur atau kulat sisir. Kali terakhir mat masak gulai pisang, kalau tak silap bukan December tahun lepas masa kehadiran Mama Zieza, Kak RinnChan and the suku sakat, lama juga kan. Tau tak, kampung yang mat diami sekarang ni dikeliling dengan estet getah satu masa dahulu (20 lebih tahun dahulu), jadi satu ketika masak pokok getah ditebang untuk diganti dengan pokok kelapa sawit, maka tumbuhlah cendawan terkukur ni dengan banyaknya pada batang2 pokok getah tu. Bonda mat, Mat dan sorang jiran ni pi kutip u cendawan tu...Punya lah dapat banyak, sampai boleh buat jual. Itu tak masuk yang dikeringkan untuk digunakan jika perlu. Tapi tu cerita 20+ tahun dahulu, sekarang ni payah dah nak jumpa, kalau ada orang jual pun harga dia mahal....Tapi pada mat lah, kalau nak makan sangat, apa salah beli sikit, duit pun bukan boleh bawak mati....Uikk...terpanjang menjela pulak story hari ni kan...hehehe...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 sisir pisang muda (mat guna pisang kapas)
1 cawan cendawan terkukur kering (atau kulat sisir)
3 batang serai, dititik
2 keping asam gelugor
5 ketul tulang ikan masin kurau, rendam 25 minit
1 liter santan cair
300 ml pati santan
Garam dan secubit gula
2 biji bawang besar*
3 ulas bawang putih*
1 inci kunyit hidup*
1 genggan ikan bilis, rendam 10 minit dan toskan*
3 biji cili merah*
10 biji cili padi (boleh kurang atau tambah)*
1/2 inci belacan, dibakar*(*dikisar halus)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pisang dikupas sedikit kulitnya , potong serong dan rendam dalam air yang dicampur dengan asam gelugor. Buat hingga siap (kalau nak tumbuk sedikit pisang tu pun ok, tapi tak payah potong kecik sangat). Cendawan terkukur direndam hingga kembang, bersihkan dari kulit2 kayu, tos dan perah, tumbuk sedikit dan ketepikan.
  2. Dalam periuk, masukkan pisang muda tadi (toskan dulu), cendawan terkukur, serai titik dan asam gelugor. Gaul rata dan tuang santan cair. Masak hingga mendidih dan sederhanakan api dan terus masak hingga pisang lembut sedikit.
  3. Tambah pati santan, masukkan garam secukup rasa dan secubit gula. Biar mendidih perlahan sambil dikacau sekali sekala hingga pisang lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi hangat, sambal belacan dan ikan goreng.
CATATAN MAT GEBU :- Berhati2 dalam penggunaan garam, kerana dalam gulai tu dah ada ikan masin dan ikan bilis, walaupun dah rendam benda2 tu tetap menambah sedikit rasa masin dalam masakan....

Thursday, July 9, 2009

MEE REBUS MUDAH

Mee Rebus Mudah
Inilah juadah yang mat masak untuk minum petang (dan juga berbuka puasa untuk bonda)...Sebenarnya dah plan 2 - 3 hari lepas, siap berborak2 dengan sis - linn lagi pasal mee rebus, dia plan nak buat mee hailam, tapi terbantut, sebab demam. Jadi hari ni tak kira, malas macam mana pun paksa juga jadi rajin.. Rasa2nya kat blog ni dah berkali2 juga mat buat mee rebus. Pada asasnya bahan hampir sama, jadi bila dah ada 3 - 4 resipi, kita boleh lah mengolah atau menggabungkan yang mana rasa sesuai untuk resipi sendiri. Pstt..cun tak mangkuk dengan piring kekwa merah tu...Hidang makanan guna pinggan mangkuk lama ni kan, sungguh nostalgia.... ala2 zaman nenek guaa masa dia anak dara duluuu!!!..hehehe....

BAHAN KUAH :-)
500 g daging tetel, kerat2, cuci bersih dan toskan*
1 inci halia, dititik*
3 ulas bawang putih, dititik*(*rebus hingga tetel lembut)
300 g keledek, kupas, rebus hingga lembut dan lecek halus
1/2 cawan kacang tanah, goreng dan kisar halus
1 camca besar tomato puree
3 camca besar tauco, cuci dan tumbuk halus
2 camca besar rempah kari daging
1 inci lengkuas, diketuk
1 biji tomato, belah 4
Garam dan gula secukup rasa
1 biji bawang besar*
5 biji bawang merah*
5 ulas bawang putih*
1 inci halia*
2 batang serai, hiris halus*
1/3 cawan udang kering, rendam 10 minit, toskan*
1 cm kunyit hidup*(*dikisar halus)
Air secukupnya (anggaran 1 liter)

BAHAN LAIN :-)
Mee kuning, cuci dan celur sekejap, toskan
Taugeh, buang ekor, cuci dan celur sekejap, toskan
Tauhu, goreng dan hiris
Hirisan cili hijau dan merah
Hirisan daun bawang dan daun sup
Bawang goreng
Belahan limau kasturi
Telur rebus, dibelah dua

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH :- Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan kisar bersama lengkuas hingga harum, masukkan rempah kari dan tomato puree. Masak hingga garing, gunakan api kecil. Masukkan tetel bersama2 air rebusannya dan tauco tumbuk. Biar mendidih dan tambah keledek lecek (masukkan sekali air rebusan keledek), kacang tanah kisar dan tomato, kecilkan api dan masak hingga pekat (tambah air jika perlu) . Tambah garam secukup rasa dan juga gula (biasanya kuah mee rebus memang sedikit manis). Masak 4 - 5 minit lagi dan sesuaikan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama mee kuning dan bahan2 lain.
  2. UNTUK MEE REBUS MUDAH :- Ambil mee secukupnya dan isi dalam mangkuk sesuai, letak taugeh dan tuang kuah bersama isi2nya. Hias dengan bahan lain dan perahkan limau kasturi sebelum dimakan.....Selamat mencuba dan selamat menjamu selera....

KIMA DAGING

Kima
Salam untuk semua...Pernah dengar hidangan "kima daging"?...Ianya salah satu hidangan timur tengah yang sesuai dimakan dengan roti arab, capati, roti benggali atau roti canai...pstt lempeng pekak pun sedap u makan dengan kima daging ni. Kiranya kima daging ni adik beradik kacang phool jugak....Kalau kat belah Johor ni kan ramai juga orang2 berketurunan arab, tu pasal masakan Johor ni ada macam2 pengaruh..... Ok jom lihat bahan2nya...

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 biji kentang, kupas, potong dadu sederhana besar, dan rendam
200 g daging kisar
1/2 batang lobak merah, kupas dan potong dadu sederhana besar
2 biji tomato (sederhana besar), didadu kasar
2 biji bawang besar, didadu
1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
2 camca besar rempah kari
1 biji cili merah, potong kasar2
1 biji cili hijau, potong kasar2
2 camca besar tomato puree
Garam dan gula secukup rasa
2 camca besar minyak sapi
2 camca besar minyak masak
500 ml air (atau secukupnya)
2 biji cili hijau*
3 ulas bawang putih*
3 cm halia*
1 camca teh lada hitam biji*(*dikisar halus)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dan minyak sapi, tumis bawang besar, kulit kayu manis dan bunga lawang hingga harum, masukkan bahan kisar, tomato puree bersama rempah kari. Kacau rata dan masak hingga terbit minyak (gunakan api kecil).
  2. Masukkan daging, kentang dan lobak merah, kacau rata dan tuang air. Masak hingga mendidih dan kecilkan api. Terus memasak hingga kentang/lobak merah lembut (tambah sedikit air panas, jika masih belum empuk).
  3. Tambah tomato, cili merah, cili hijau dan perasakan dengan garam dan sedikit gula. Kacau rata dan masak hingga sedikit kering. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan panas bersama roti arab, atau roti putih biasa....

Wednesday, July 8, 2009

LEMAK PUCUK UBI BERKUPANG

Lemak Pucuk Ubi Berkupang
Sedapnya lauk2 kampung...selain mendatangkan kesan nostalgia, ianya menunjukkan betapa kreatifnya orang dulu2 dalam mempelbagaikan benda2 alami sebagai bahan makanan...Contoh senang macam pucuk ubi...benda yang mudah dapat tapi boleh dimasak dengan bermacam2 cara dan ragam. Tapi paling femes mesti lah pucuk ubi masak lemak, tak kesah lah masak lemak putih atau lemak dengan kupang macam resipi ni...pstt..ini pun ulang tayang juga...mesti dah ada yang jemu kan..tapi aku peduli hapa!!!!....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cekak pucuk ubi
1 cawan isi kupang
2 batang serai, dititik
1/2 inci lengkuas, dititik
1 cawan pati santan
3 cawan santan cair
1 keping asam gelugor
Garam dan sedikit gula
1 biji bawang besar*
3 ulas bawang putih*
4 biji cili merah*
1/2 inci kunyit hidup*
1/2 camca besar udang kering*(*dikisar halus)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pucuk ubi diasing tangkai dan daunnya, celur hingga lembut, toskan, perah dan hiris kasar. Masukkan ke dalam periuk bersama serai, lengkuas, asam gelugor, kupang dan juga bahan2 kisar. Gaul rata.
  2. Masukkan santan cair dan masak atas api sederhana hingga mendidih, kacau rata. Tambah pati santan, garam secukup rasa dan secubit gula. Biar mendidih perlahan sambil dikacau sekali sekal.
  3. Sesuaikan rasa dan jika ok, boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi hangat, sambal belacan dan ikan goreng atau ikan masin....

ASAM BATANG KELADI

Asam Batang Keladi
Salam sejahtera semua...selamat petang, hari ni mat masak asam batang keladi...Mesti dah pernah tengok dalam n3-n3 yang lepas kan...Ni memang lauk ulang tayang, tapi itu lah yang mat masak hari ni...Jadi samalah kita menikmati pemandangannya yeaa..hehehe.. Ok kita tengok resipi yea, walau pun dulu2 dah ada kan, tapi tak pe nak tuliss jugak!!..

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 keping ikan merah (kalau nak guna ikan masin pun boleh)
1 bungkus batang keladi (yang siap bersiang, ada jual kat pasar tani)
1 ketul ubi keladi sederhana besar
2 helai daun kunyit
3 keping asam gelugor
1 liter air
Garam dan sedikit gula
5 biji cili merah*
10 biji cili padi*
1 biji bawang besar*
4 biji bawang merah*
3 ulas bawang putih*
1/2 inci kunyit hidup*
1 camca besar ikan bilis*(*dikisar halus)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Keladi dikupas, potong kiun sederhana besar, cuci dan rebus hingga lembut. Toskan. Dalam air rebusan yang sama, masukkan 1 keping asam gelugor dan celur batang keladi hingga lembut. Tos dan ketepikan.
  2. Dalam periuk, panaskan sedikit minyak, tumis bahan kisar halus hingga harum dan pecah minyak, tuang air dan masukkan asam gelugor. Bila mendidih, tambah ikan dan keladi. Biar mendidih.
  3. Masukkan batang keladi, daun kunyit dan perisakan dengan garam secukup rasa serta sedikit gula. Masak 1 - 2 minit dengan api sederhana. Rasa dan jika semua ok, boleh matikan api. Hidangkan segera....

Saturday, July 4, 2009

LEMAK CILI PADI IKAN KELI

Lemak Cili Padi Ikan Keli
As'laikum, salam sejahtera untuk semua....Kadang2kan, mat macam malas lah nak letak N3 resipi "ulangan", tapi tak kesah lah. Contohnya macam masak lemak cili padi ikan keli nie, rasa dah banyak dan banyak dan banyak kali dah letak dalam n3...betul tak?...Hmmm, biasalah kita ni pun ada masak otak blurr tau nak masak, jadi masak ikut "permintaan"...kalau ikut tekak sendiri, lebih suka singgang ikan jeee.....Ok lah, resipi mat letak lah juga, walaupun dah ada dalam resipi2 lepas....Nak pesan, sesiapa tak makan ikan keli, boleh guna ikan kembong, ikan merah, ikan tenggiri, ikan bawal dan apa2 ikan berdaging....

BAHAN-BAHANNYA :-)
5 ekor ikan keli
10 - 15 biji belimbing buluh, belah tapi tak putus untuk setiap biji
1 cawan pati santan
3 1/2 cawan santan cair
3 helai dain kunyit, disiat2
5 biji limau kasturi, ambil jusnya
Garam dan secubit gula
1 genggam cili padi hijau*
3/4 inci kunyit hidup*
1 camca teh garam kasar*(*ditumbuk halus)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan keli disiang, cuci bersih dan perap dengan asam jawa + garam = 15 minit. Cuci kembali dan toskan. Lumur dengan sedikit serbuk kunyit + garam + sedikit minyak makan. Panggang hingga ikan masak (biar kulit ikan garing sikit). Ketepikan.
  2. Dalam periuk, satukan bahan2 tumbuk halus dan santan cair, kacau rata dan jerang atas api hingga mendidih. Masukkan ikan dan biar mendidih 2 - 3 minit. Tambah santan pekat dan masukkan daun kunyit. Biar mendidih dengan api perlahan.
  3. Masukkan asam belimbing dan jus limau kasturi. Kacau rata dan rasa, tambah garam (jika perlu) dan secubit gula. Masak untuk 1 - 2 minit lagi dan boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi hangat dan ulam-ulaman.....

Thursday, July 2, 2009

MUFFIN PANDAN KELAPA

Muffin Pandan Kelapa
As'alikum semua, selamat petang...dah minum petang ke?...Rasa2nya dah lama tak buat muffin, hari tu terbaca kata2 "kak ct delima" kat chatbox, kalau tak silap mat pasal mat dah lama tak buat muffin...Jadi hari ni dengan gagah perkasanya, patik membuat muffin untuk minum petang. Muffin hari ni adalah hasil olahan dari resipi2 lepas, tapi dijamin tidak mengecewakan......

P1140035
Hari ni mat buat "muffin pandan kelapa"....sedap, lemak dan harum dengan gandingan bau pandan dan kelapa kering. Teksturnya lembut dan bila makan ada rasa lemak2 kelapa, tapi tak delah berhampas...Kalau plan nak buat muffin apa kata cuba yang ni......Ok jom kita skodeng bahan2nya dan cara membuatnya..... Eh!, lupa nak habaQ, resipi ni dapat 18 ketui muffin comeyy..kalau hang pa guna muffin cup yang besaQ, dapat sikit laaa.....

BAHAN-BAHANNYA :-)
125 g mentega
2 biji telur gred A
80 g gula halus
150 g tepung berserbuk penaik (self-raising flour)
30 g kelapa kering
1 camca besar serbuk santan
1/4 cawan susu segar (mat guna susu cair)
1 camca teh pandan paste
Secubit garam
Sedikit kelapa kering untuk ditabur

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 175C, alas acuan muffin dengan paper cup atau guna muffin cup jenis keras. Satukan tepung berserbuk penaik dengan kelapa kering, serbuk santan dan secubit garam, gaul rata. Ketepikan.
  2. Putar mentega dengan gula hingga kembang, masukkan telur satu persatu sambil terus memutar hingga putih. Masukkan pandan paste dan kacau rata.
  3. Perlahankan speed dan masuk tepung berselang seli dengan susu cair hingga selesai. Kacau rata. Sudukan 3/4 penuh ke dalam muffin cup tadi dan tabur sedikit kelapa kering atasnya. Bakar 25 - 30 minit atau hingga masak. Sejukkan atas jaringan sepenuhnya sebelum dihidang.....

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.