BEN ASHAARI

Saturday, May 30, 2009

SELAMAT PENGANTIN BARU....

Nasi Minyak Dan Suku Sakat

Selamat pengantin baru untuk semua bakal2 pengantin...Maklumlah kalau dah mula cuti sekolah, maka dengan rasminya banyak lah peneroka2 akan membuka "ladang" baru (amponnn!!!)....Jadi bermula lah musim "nasi minyak"..Oleh yang demikian secara simboliknya, mat masak juga lah nasi minyak sebagai tanda permulaan majlis2 perkahwinan untuk penggal ini....(tapi bukan ceQ yang nak menikah pulakk!!!)..

Nasi Minyak Dan Suku Sakat

Mat doakan pada semua bakal2 pengantin, mak ayah pengantin semua moga berbahagia selalu. Dan berhati2 yea masa mengira hasil sumbangan, tau sajalah zaman sekarang ni pencuri ramai, kang kita yang bersusah payah, depa pulak yang bersenang lenang. Nak juga pesan pada kakak, makcik dan datin2 sekelian, handbag tu jaga2 noo, jangan ingat nak bergaya, nanti hang pa yang merana!!!....

NASI MINYAK LAGI!!!

Nasi Minyak

Hari ni cuaca mendung, pagi2 dah hujan....Tiba2 rasa nak masak nasi minyak, tapi yang mat masak ni nasi minyak paling simple dalam duniaaa!!!....Tapi rasa boleh tahan u!!!......tak caya, nanti kalau ada masa cuba try masak sendiri yeaa....Moh leer kita ramai2 tengok resipinya!!...
BAHAN-BAHANNYA :-)
500 g beras basmathi, rendam 20 minit dan toskan
2 camca besar minyak sapi
1 pokok daun ketumbar, kerat kasar2
1 biji bawang besar, hiris halus
2 inci halia, dititik
3 ulas bawang putih, dititik
3 helai daun pandan, disimpul
700 ml stok ayam (kalau tak de, guna 700 ml air + 1 kiub ayam "maggi")
300 ml susu cair
Garam secukup rasa
1 batang kayu manis*
1 kuntum bunga lawang*
3 biji buah pelaga*
5 kuntum bunga cengkih*(*rempah tumis)
1/2 cawan kismis
BAHAN HIAS :-)
Hirisan daun sup/daun bawang
Bawang goreng
Kacang pis
Kacang gajus yang digoreng

CARAMEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak sapi dalam kuali, masukkan rempah tumis, bawang besar, halia, bawang putih dan daun pandan, tumis hingga harum, masukkan beras dan goreng sekejap. Matikan api. Tuang beras tadi dalam periuk nasi elektrik.
  2. Tambah susu cair, daun ketumbar dan juga stok ayam. Masukkan garam secukup rasa dan masak seperti biasa. Bila nasi kering, tabur kismis dan biar betul2 tanak. Gemburkan nasi menggunakan chop stick (cukup sekadar 3 - 4 kali gembur, kalau banyak kali nanti nasi patah2).
  3. Hias dengan bahan2 tabur dan hidangkan bersama juadah2 lain seperti di bawah....Selamat mencuba untuk semua!!..

AYAM MASAK MERAH

Ayam Masak Merah

Ayam masak merah sungguh sinonim dengan nasi minyak..dan nasi minyak pulak sinonim dengan orang kawin....Betul tak semua...ada macam2 cara kan orang masak ayam ni, tapi kali ni mat buat ikut beberapa cara, aku adun sendiri.....

BAHAN-BAHANNYA :-)
800 g ayam, potong ikut sederhana besar*
1 1/2 camca teh serbuk kunyit*
1 camca teh garam*(*digaul rata dan perap 20 minit)
1 genggam kacang gajus, goreng garing dan toskan
1/2 cawan susu cair
1/2 cawan tomato puree
2 camca besar tomato sos
2 camca besar cili kisar
Garam dan gula secukup rasa
2 biji bawang besar*
4 ulas bawang putih*
1/4 cawan kismis*
1 inci halia*(*dikisar halus)
2 cawan air
Kacang pis, untuk hiasan
CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ayam digoreng, tapi jangan sampai garing, angkat dan toskan. Tinggalkan kurang lebih 3/4 cawan minyak. Tumis bahan kisar hingga harum, masukkan cili dan tumis hingga terbit minyak. Masukkan tomato puree dan tomato sos, kacau rata dan masak sekejap.
  2. Tuang air dan juga susu. Bila mendidih,masukkan ayam tadi, masukkan sedikit gula dan garam. Masak dengan api perlahan sehingga kuah pekat dan pecah minyak.
  3. Tambah gajus goreng, kacau rata dan rasa. Jika ok boleh matikan api. Alih ke dalam bekas sesuai dan tabur kacang pis sebelum menghidang, jika suka...

DALCA....

P1130229

Untuk resipi dalca mat tak letak lah..sebab malas nak menaipnyaa....Tapi secara amnya, bahan2nya semua serupa dan boleh ditambah mengikut selera masing2. Ada orang campur pisang muda..pun sedap. Dan dalca kalau dimasak menggunakan daging "tetel" lagi leer sedap, tapi bab lemak dan kolestrol tu saja yang tak sedap di dengar...jadi tepuk dada tanya selera teaa...Untuk resipi dalca boleh rujuk disini....

ACAR MENTAH..

Acar Mentah

Dah banyak kali buat dan letak kat sini, tapi mat letak juga....kot2 lah ada yang malas nek menyelak2 n3 yang terdahulu....tapi yang ni rasanya semua orang tau buat...senang teramat sangat!!!.....
BAHAN-BAHANNYA :-)
1 biji nenas masak dikupas bersih dan hirirs kecil
1 biji timun, dihiris nipis2
1 biji bawang besar, hiris halus2
2 biji cili merah, hiris halus
1 1/2 camca besar cuka makan
3/4 camca besar gula
Garam secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satukan bahan2 di atas kecuali garam, dalam satu bekas, gaul rata dan tambah garam secukup rasa. Dinginkan dalam peti sejuk 15 - 20 minit, untuk bahan2 bergaul mesra.
  2. Hidangkan bersama nasi minyak atau apa2 jenis nasi sekali pun....Sungguh menyegarkan!!..

Thursday, May 28, 2009

SINGGANG BEREMPAH

Singgang Berempah

Harum dengan bau rempah ratus, pedas berangin dengan gabungan cili padi dan lada hitam, masam2 manis dari asam gelugor dan tomato dan berperisa dari campuran bahan2 rencah...lauk2 biasa bagi kebanyakkan orang melayu kita...Sungguh sedap dihidangkan kala masih panas bersama nasi...walaupun pedas, sambal belacan jangan di lupa dan juga disulam dengan ulam-ulaman segar..sungguh memikat selera....Ikan tu terpulang, tapi kali ni mat guna ikan kembong....

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 ekor ikan kembong besar, siang, cuci bersih dan kerat 2 setiap ekor
1 biji tomato, dibelah 4
1 batang serai, dititik
2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap kuntum
2 - 3 keping asam gelugor
1 kiub ikan bilis "Maggi"
Garam secukup rasa
Air secukupnya
7 biji bawang merah*
3 ulas bawang putih*
1/2 inci halia*
1/2 inci lengkuas*
1 inci kunyit hidup*
10 biji cili padi*
3/4 camca teh lada hitam biji*
1 1/2 camca teh ketumbar biji*
1/2 camca teh jintan halus*(*ditumbuk hingga halus)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan sedikit minyak dalam periuk, tumis bahan2 tumbuk halus hingga harum, masukkan serai dan tuang air secukupnya (anggaran 800 ml). Masukkan juga asam gelugor dan kiub ikan bilis. Biar mendidih.
  2. Masukkan ikan dan juga bunga kantan. Perasakan dengan garam secukupnya, kalau nak letak sedikit serbuk perasa pun ok (tapi mat tak guna, sebab dah ada kiub ikan bilis).
  3. Akhir sekali masukkan belahan tomato dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan hangat bersama nasi...Boleh ber"asap" telinga waa cakap sama luuu!!!!

Monday, May 25, 2009

ASAM TUMIS SULUR KELADI

Asam Tumis Sulur Keladi

Ini lauk yang mat makan tengah hari tadi...Sedapnyaa kooo!!!!...Tapi awas yea, sulur keladi ni ada kala "gatal", jadi mat tak jamin lah kalau ada yang mencuba akan mendapat hasil yang sama..Yelah kot2 kang lepas makan tekak, bibir semua gatal..sapa nak jawab bebb!!!. Mat pun beli yang dah siap disiang kat pasar malam.. Dalam tu mat campur ikan pari masin dan alhamdulillah, tak pulak men"gatal" sulur keladi tu tadi....hehehe..

BAHAN-BAHANNYA :-)
700 g sulur keladi yang siap disiang dan dibersihkan (boleh beli kat pasat tani)
2 keping ikan pari masin, potong sederhana besar dan rendam
2 helai daun kunyit, disiat
2 keping asam gelugor
1/2 camca teh serbuk kunyit
Garam dan sedikit gula
8 biji bawang merah*
3 ulas bawang putih*
1 camca besar ikan bilis, rendam sekejap dan toskan*
1/2 inci belacan, dibakar*
5 biji cili merah*
6 biji cili padi (jika suka)*(*dikisar halus)
Air secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Sulur keladi tadi dicuci bersih dan celur dalam air panas bercampur asam gelugor dan sedikit garam. Bila sulur lembut sedikit, angkat dan toskan.
  2. Dalam periuk, panaskan sedikit minyak. Tumis bahan kisar halus hingga harum, masukkan serbuk kunyit dan asam gelugor. Tambah air secukupnya (ikut lah byk mana kuah yang u all nak). Bila mendidih, masukkan ikan pari masin dan daun kunyit (toskan dulu ikan tadi).
  3. Tambah sulur keladi dan masukkan garam secukup rasa dan secubit gula (kalau sesapa nak guna ajinomoto pun boleh..ikut suka masing2 yeaa!!!). Biar mendidih sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan panas...

CARROT POUND CAKE

Carrot Pound Cake

Lama juga rasanya tak buat kek...Sebenarnya mat ada juga buat kek, tapi masa buat dah petang, jadi nak tangkap gambar pun nanti tak cun, oleh yang demikian, habis lah kek tu dimakan oleh sekelian penduduk rumah yang ada...

Carrot Pound Cake

Kek ni agak mudah dibuat dan yang bagusnya, kita boleh pelbagaikan rasanya mengikut citarasa masing2. Contohnya kalau tak suka carrot, boleh letak blueberry (beli yg untuk buat pie filling tuu..)...kalau nak letak strawberry pun boleh, nak buat marble pun boleh dan macam2 lagi lahh...ok, tak mo cerita banyak..jom tengok resipi...

BAHAN-BAHANNYA :-)
125 g mentega
2/4 cawan gula halus
1/4 cawan gula perang (brown sugar)
1 1/2 cawan tepung naik sendiri (self-raising flour)
2 biji telur gred A
1/2 cawan whipping cream (kalau tak de boleh ganti dgn susu cair)
1 camca teh esen vanilla
3/4 cawan parutan lobak merah
1 genggam isi kacang pistachio, cincang kasar (jika suka)



CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 175C. Lenser loaf tin berukuran (9 x 4 x 3.5) inci dengan mentega, alas dasar tin dengan kertas minyak, lenser kertas minyak tadi. Ambil 2 camca besar tepung dalam resipi tadi dan gaul dengan lobak parut hingga rata. Ketepikan.
  2. Putar mentega bersama gula halus dan gula perang hingga putih, masukkan telur satu persatu dan terus memutar hingga kembang dan gebu. Pada kelajuan sederhana, masukkan esen vanilla diikuti terpung berselang seli dengan whipping cream (atau susu cair), hingga habis, kacau rata.
  3. Tambah lobak merah dan cincangan kacang pistachio. Gaul sebati. Tuang dalam tin tadi dan bakar 1 jam atau hingga masak. Uji kek dengan mencucuk lidi sate di bahagian tengahnya, jika lidi tadi keluar bersih, tandanya kek anda telah masak.
  4. Keluarkan kek dari tin dan sejukkan sepenuhnya atas jaring sebelum dipotong. Sesuai untuk minum petang.

Sunday, May 24, 2009

ASAM PEDAS SEMBILANG

Asam Pedas Sembilang

Sedapnyaaa asam pedas...Alahh, mesti ada yg tengok n3 ni, komen..."Sikit2 masak asam pedas, tak de resipi lain agaknya"..atau..."Yang ni dah masak dulu, ni masak lagi, sah2 resipi ulang tayang...dia ni otak dah kering idea ke"...Biasalah manusia..so what, guaa punya suka lah bebb!!!....Jadi kita pasrah jee lahh...Tapi kan jangan komen dulu, sila tengok resipi, kot2 lain lah dari yang selalu anda masak....Tapi ingat yeaa, rasa masakan tu berbeza utk setiap individu...sebab apa?...sebab "air tangan" masing2 tak sama...betul tak?...Lupa nak bagi tau..dalam gambar yang nampak seketul berbiji2 dekat dengan bendi, tu sebenarnya telur ikan sembilang...

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 ekor ikan sembilang segar (sederhana besar)
7- 8 biji bendi muda (mat guna yg pendek2)
2 genggan daun kesom
3/4 cawan jus asam jawa
1 1/2 cawan cili kisar
1/2 camca teh serbuk kunyit
1 inci halia, diketuk
Garam dan sedikit gula
9 biji bawang merah*
3 ulas bawang putih*
1 camca besar udang kering, rendam 10 minit dan toskan*
1/2 inci belacan, dibakar*
1/2 camca teh lada hitam biji*(*dikisar halus)
Air secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan sembilang dicuci bersih, siang dan potong ikut suka, cuci kembali kemudian perap dengan garam dan jus limau nipis untuk 10 - 15 minit. Cuci kembali dan toskan. Bendi dicuci dan toskan (mat tak kerat sebab bendi tu jenis yang kontot2)..
  2. Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan kisar halus hingga harum, tambah serbuk kunyit dan kacau rata. Masukkan cili kisar dan masak hingga terbit minyak. Tuang air secukupnya (anggaran 700 ml). Bila mendidih, masukkan ikan sembilang dan daun kesum, gaul rata dan biar mendidih perlahan.
  3. Tambah bendi dan juga jus asam jawa. Perasakan dengan garam dan secubit gula. Biar masak dengan api sederhana sehingga bendi lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan segera bersama dengan nasi hangat....
CATATAM MET GEBU :- Kalau ikan tu ada telur, mat selalu masak dalam periuk lain, ceduk kuah asam pedas tadi dan masukkan ke dalam periuk kecil, masukkan telur ikan dan masak dengan api kecil sehingga telur ikan bertukar menjadi keputihan, kacau sekali sekala. Tambah air jika perlu. Bila dan masak, boleh tuang kuah tadi bersama telur ikan ke dalam periuk asam pedas. Kalau nak masak sekali dengan ikan pun boleh cuma kena ambil masa lama, sebab telur ikan ni kalau pecah dalam masakkan asam pedas kita, kuah dia jadi tak lawa..berjerebu!!!!....

Friday, May 22, 2009

FIRST BLOOMING!!!!

Sacred Pink Lotus

Ini lah yang mat nantikan setelah lebih 3 bulan menanam pokok "Lotus" dalam pasu. Beberapa hari lepas masa bagi ikan kecil yang dok diam dalam pasu lotus ni, mat ternampak kuntuman kecil setoet je, baru muncul dari permukaan air...Punya lah suka....tak sabar nak tunggu dia jadi besar dan kembang...Dann pagi hari Jumaat yang mulia ini, dengan izin darinya maka kembang mekar lah bunga Lotus warna merah jambu...Kira 1st blooming. Sebelum ni mat ada tanam dalam pasu juga, tapi bila berbunga, warnanya bukan merah jambu, tapi putih. Mungkin lotus putih tu sudah di hybrid kerana rupa bunga pun seakan2 "kobis"....Kurang menarik nak dibandingkan lotus merah jambu ini. Mat pernah baca satu artikel yang mengatakan, pokok lotus antara tumbuhan terawal yang tumbuh di muka bumi ini...wallahualam!!!!

Wednesday, May 20, 2009

LEMAK CILI PADI IKAN SALAI

Lemak Cili Padi Ikan Salai

N3 masak lemak cili padi ni ni rasanya dah banyak kali masuk blog..Tapi dah blog kita sendiri kan..jadi berapa kali pun koo nak letak..sapa ada kesahhh...Macam biasa ikan tu, ikan "haruan"..sejenis ikan air tawar yang mempunyai unsur2 perubatan baik untuk wanita atau lelaki. Sangat elok untuk mempercepatkan proses pembaikkan sel pada mereka yang baru lepas mejalankan operation. Kalau arwah nenek mat dulu, masa dia duduk di Rembau, lepas balik dari sawah, dia pi menjala dan dpt ikan haruan atau keli, terus siang, cuci bersih dan salai. Then masak lemak cili padi. Bahan2 mentah semua kutip kat sekitar rumah je, macam kelapa, kunyit dan daunnya@serai, cili padi dan limau kasturi....Senang kan macam tu...tak stress!!!

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ikan haruan sederhana besar
7 - 8 biji belimbing buluh
2 helai daun kunyit, disiat
300 ml pati santan
800 ml santan kemancar (santan cair)
Garam dan secubit gula
7 - 8 biji limau kasturi, ambik jusnya
1/2 cawan cili padi*
1.5 inci kunyit hidup*(ditumbuk halus)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Siang ikan haruan, potong sederhana besar, cuci bersih2 dan lumurkan dengan sedikit garam dan serbuk kunyit, hingga rata. Panggang ikan tadi atas api bara hingga masak pada kedua2 bahagian (mat panggang hingga garing)...
  2. Dalam periuk, masukkan bahan tumbuk halus dan tuang santan kemancar (santan cair), kacau dan didihkan. Masukkan ikan dan juga daun kunyit. Tambah santan pekat dan perasakan dengan garam secukupnya dan secubit gula.
  3. Kacau sekali sekala. Akhir sekali masukkan jus limau kasturi dan juga belimbing buluh tadi. Masak sekejap dan rasa, jika ok beleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain...

SAMBAL TERUNG BAKAR

Sambal Terung Bakar

Sedap nihhh...makan dengan nasi hangat, ulam2 dan ikan goreng atau kan masin....Resipi mat dapat dari blog "kak cik" yang dok diam di Finland (ye ke koo dok Finland, kak cik?...aku lupa laaa)....Resipi kat blog dia main agak2 jee, tapi mat letak lah yea sukatan mcm mat masak tu..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 biji terung biru
1 biji tomato
1 camca udang kering, rendam 10 minit dan toskan
1 biji bawang besar*
2 ulas bawang putih*
5-6 biji cili merah*
8 - 10 biji cili padi*(*dikisar halus)
Garam dan gula secukup rasa
2 biji limau kasturi (resipi asal tak letak)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Terung dicuci , lap kering da bakar hingga lembut. Udang kering ditumbuk halus. Sejukkan dan potong dadu. Tomato didadu kecil. Ketpikan kedua2 bahan tadi.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan kisar hingga harum, masukkan udang kering dan masak hingga terbit minyak. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Masukkan terung dan tomato dadu tadi, gaul rata, masak sekejap dan matikan api.
  3. Jika kurang masam boleh tambah jus dari 2 biji limau kasturi. Hidangkan segera bersama nasi hangat....Boleh pingsan bebb!!!!

Tuesday, May 19, 2009

SINGGANG IKAN BAWAL

Singgang Ikan Bawal

Hari ni jom makan, makanan yang mudah dimasak, sedap dan sihat....Yelah mat faham masak "singgang" sapa yang tatau, budak sekolah rendah pun reti buat...Tapi mengikut kata orang2 tua....Masakkan ni, walau pun resipi nya sama, tapi rasa akan berbeza mengikut "air tangan" masing2....Adakah anda percaya?......

BAHAN-BAHANNYA :-)
6 ekor ikan bawal saiz kecil (kurang lebih 600g)
5 - 6 biji kacang bendi muda
2 keping asam gelugor
3/4 camca teh serbuk kunyit
1 kiub pati ikan bilis "Maggi"
2 biji cili hijau, belah 2 tapi jgn putus
1 biji bawang besar, hiris halus
4 ulas bawang putih, dititik
Garam secukup rasa
Air secukupnya (anggaran 800 ml)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan disiang, cuci bersih dan perap dengan sedikit garam + jus limau kasturi = 10 minit. Cuci kembali dan toskan. Bendi dicuci dan toskan, tak payah kerat.
  2. Dalam periuk, masukkan air, bawang besar, bawang putih, asam gelugor, serbuk kunyit dan kiub ikan bilis, masak atas api sederhana hingga mendidih.
  3. Tambah ikan dan masukkan kacang bendi. Bila mendidih, masukkan garam secukup rasa (dan secubit gula jika suka) serta belahan cili hijau. Masak hingga ikan masak dan bendi lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan segera...Sedappp u, kuah dia boleh hirup2!!!!

SOTONG GORENG KUNYIT

Sotong Goreng Kunyit

Masakkan ni rasa mat pernah buat dulu...Tapi tak kira, mat letak juga. Masakkan ni sedikit mencabar pada diri mat, walaupun mudah dan ringkas...TETAPI...nak memakannya harus berhati2, kena pulak orang yang alergi macam mat...frust tauu...tapi tadi aku belasah juga..lepas tu terus telan pil (bukan pil perancang keluarga yeaa!!).....nasib lah lepas tu kalau gatal....

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 g sotong, dibersihkan, potong ikut suka, cuci dan toskan
1 biji bawang besar, dihiris
1 - 2 biji cili hijau@merah, dihiris
1/2 camca besar sos tiram
1.5 inci kunyit hidup*
3 ulas bawang putih*(*tumbuh halus)
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Gaul sotong yang telah dibersihkan tadi dengan bahan2 tumbuk halus dan juga sos tiram. Biar perap 25 - 30 minit (masukkan dalam peti sejuk).
  2. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bawang besar hingga harum, masukkan sotong dan goreng hingga sotong masak dan airnya kering, tambah hirisan cili hijau@merah. Gaul rata.
  3. Tambah garam secukuprasa (nak masukkan secubit gula pun ok). Angkat dan tabur dengan bawang goreng dan hirisan daun sup sebelum menghidang, jika suka...Hidangkan selagi hangat!!!

DAUN KELEDEK GORENG BELACAN

Daun Keledek Goreng Belacan

Pernah tak makan daun keledek?...Mungkin ada yang pernah dan mungkin ada yang belum pernah. Tapi bukan semua jenis pokok keledek kita boleh goreng daun dia. Ada sejenis pokok keledek sayur, yang memang daunnya kita boleh goreng...ala2 macam kangkung...Tapi rasa dia lain sikit. Hari ni mat goreng daun keledek ni sebagai salah satu lauk makan tengah hari. Orang cina pun suka makan benda nihh...

Tuu dia contoh daun keledek sayur yang mat gunakan. Rasa2nya kan kalau masak lemak dengan ubi keledek pun sedap juga...Tapi cuaca hangat2 ni tak lalu laah masak2 lemak...betul tak?..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cekak daun keledek sayur yang muda (boleh beli kat pasar)
1 camca besar ikan bilis
Garam dan sedikit gula
1 camca besar sos tiram
Minyak untuk menumis
1/2 cawan air

BAHAN TUMBUK :-)
1 biji bawang besar
1/2 inci belacan
1 camca besar ikan bilis, rendam 10 minit dan toskan
3 ulas bawang putih
2 biji cili hijau (nak pedas boleh tambah cili padi)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Asingkan daun dari batangnya, jika daun besar kerat 2, dan kerat2 batangnya (yang bahagian lembut sahaja). Cuci kedua2 bahagian dan toskan. Letak dalam tapis berasingan. Ikan bilis dicuci sekejap, toskan dan goreng hingga kuning keemasan, angkat dan toskan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan tumbuk hingga harum, masukkan sos tiram, masak sekejap dan tuang air. Bila mendidih, masukkan batang keledek dan masak hingga lembut.
  3. Tambah daunnya, gaul rata dan perisakan dengan garam secukup rasa dan secubit gula. Kacau rata dan bila daun nampak layu sedikit, matikan api, angkat dan tabur dengan ikan bilis goreng tadi, hidangkan segera bersama nasi hangat dan sambal belacan.

Sunday, May 17, 2009

GULAI UDANG LAGI!!!

Gulai Udang

Sekarang ni di negeri Johor macam musim udang galah (tapi bukan mancing kat kolam berbayar yeaa!!)...Semalam abah dan abg mat yang sulung pi mancing di Kota Tinggi...dapat juga lah kurang lebih 1 kg...Dann abang mat yg no 3 and his wife (penganyir koo bini dia nihh!!) pi juga mancing dapat 1.2 kg!!....Lagi seronok kalau dapat "jongkong" (udang galah jenis BESAR!)...Jadi untuk mengekalkan rasa kemanisan udang tu, elok lah kita masak dengan segera...Tapi seperti biasa, atas permintaan kenalah masak lemak, ikut selera si penangkap..kalau mat lebih suka sweet sour atau tom yam (walaupun alergi udang....sedeyy nihh!)...Oh yea.."penganyir" tu bermakna....kalau dia pi mancing selalu dapat hasil tangkapan yang lumayan....kira aura dia ni ikan suka leer gamaknyaa!!!

BAHAN-BAHANNYA :-)
800 g - 1 kg udang galah
2 keping tempe
7 - 8 tangkai kacang panjang
3 helai daun kunyit, disiat2
300 ml pati santan
1 liter santan cair
1 keping asam gelugor
Garam dan sedikit gula

BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
10 tangkai cili kering, kerat2 dan rendam dalam air panas, toskan
1 camca besar ikan bilis
1/2 inci belacan
3 biji buah keras
1 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Uang di kerat kaki, dan juga bahagian tajam, buang kotoran di kepala udang, cuci hingga bersih dan toskan. Tempe dipotong kiub sederhana besar. Kacang panjang, dikerat 2 inci panjang, cuci dan toskan. Ketepikan.
  2. Dalam periuk, tuang sedikit minyak masak dan tumis bahan kisar hingga wangi dan terbit minyak. Masukkan udang dan asam gelugor, gaul rata dan masak hingga udang kecut. Tuang santan cair, biar mendidih.
  3. Masukkan tempe dan pati santan, bila mendidih tambah kacang panjang. Perasakan dengan garam dan sedikit gula. Biar mendidih perlahan sambil dikacau sekali sekala.
  4. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan panas bersama nasi hangat disamping, sambal belacan, ikan masin/ikan goreng dan ulam2man.....hmmm....sedapnyaaa udang galahh!!!!

Friday, May 15, 2009

MARIAH KARI

Mariah Kari

Mesti ada yang hairan, sambil geleng2 pala..lepas tu angguk2 pulak...Pelik kan, nama kari ni ala2 nama penyanyi barat yang seksi tuu, "Mariah Carey"...tapi hakikatnya ia sejenis kari tanpa santan...Mat dapat resipi ni dalam majalah Jelita dulu2...tak perasan tahun bila. Tapi sedap dan sesuai dimakan bersama nasi, roti dan sebagainya..Mat guna kepala ikan jenahak, kalau nak guna ikan tenggiri boleh, udang boleh, sotong punn boleh..ikut suka tekak memasaing yeaa...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kepala ikan jenahak (kurang lebih 1 kg)
1 biji terung bulat
6 - 8 biji kacang bendi muda, cuci dan toskan (jgn kerat)
2 biji tomato
2 biji cili merah
1 cawan jus asam jawa
Air secukupnya
2 camca besar cili kisar*
3 camca besar rempah kari ikan*
1/2 cawan air*(*disatukan dan kacau rata)
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
1 inci belacan, dibakar
1 inci kunyit hidup

BAHAN TUMIS :-)
1 biji bawang besar, hiris halus
2 ulas bawang putih, hiris halus
2 tangkai daun kari

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kepala ikan dibersihkan, dan potong sederhana besar, cuci lagi dan toskan. Terung dibelah 2 dan potong 4 bagi setiap belahan, rendam dalam air yang ditambah disedikit garam. Tomato dibelah 2 untuk setiap biji. Cili merah dibelah dua tapi tak putus untuk setiap biji. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk tumis bahan tumis hingga layu, masukkan bahan kisar dan kacau rata. Tambah bancuhan rempah kari (*)...dan tumis hingga terbit minyak. Tuang air secukupnya (anggaran 800 ml) dan biar mendidih.
  3. Masukkan kepala ikan dan terung. Tuang jus asam jawa, kacau dan biar mendidih. Tambah garam dan sedikit gula. Masak hingga ikan masak dan terung lembut sedikit. Masukkan belahan cili merah, bendi dan tomato tadi. Biar mendidih.
  4. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi atau apa sahaja makanan kegemaran anda, resipi asal dia ada tulis, kari ni boleh dimakan bersama mee hoon...

LEMAK LABU BERKACANG

Lemak Labu Berkacang

As'laikum untuk semua....hari ni mat masak lemak labu dengan kacang panjang. Tau tak labu tu kita petik kat belakang rumah (bonda mat yang tanam) dan kacang panjang pulak pemberian jiran, kelapa dari kebun sendiri...Tu lah senang kalau duduk di kawasan kampung....tapi jangan tatau, kawasan kampung pun ada masalah, terutama jiran yang ala2 "Mami Jarum" atau lebih popular dengan gelaran "Mami J"..ahakss..tak nak cerita banyak, jemput makan semuaa...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 biji labu (kurang lebih 800g - 1 kg)
6 - 7 tangkai kacang panjang, dikerat 2 inci
2 batang serai, dititik (nak guna daun kunyit pun boleh)
1 liter santan cair
300 ml pati santan
1/2 camca teh serbuk kunyit
1 camca besar udang kering, rendam 1o minit, toskan dan tumbuk kasar
3/4 camca teh lada hitam biji, ditumbuk
1 biji bawang besar, hiris halus
4 - 5 ulas bawang putih, diketuk
Garam dan sedikit gula

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kupas labu, potong kiub sederhana besar, cuci dan toskan. Masukkan dalam periuk bersama serai titik, udang kering tumbuk, bawang putih, serbuk kunyit, bawang besar dan lada hitam, gaul rata.
  2. Tuang santan cair dan didihkan atas api dan masak hingga labu sedikit lembut. Masukkan kacang panjang dan tuang pati santan, tambah garam secukp rasa dan secubit gula. Biar mendidih perlahan.
  3. Kacau sekali sekala dan masak hingga labu lembut tetapi tidah hancur. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi hangat, ikan masin/ikan goreng dan sambal belacan....

Wednesday, May 13, 2009

BUN PANDAN BERKAYA

Bun Pandan Kaya

As'laikum dan selamat petang semua, dah minum petang ke?...Hari ni mat minum petang sambil makan roti....Roti bukan sebarang roti u, tapi ban pandan berkaya....bukan kaya duit leeer...tapi seri kaya!!!....Resipi dari FP Kak Rincchan yang femes dengan kamera dia tu.....

Bun Pandan Kaya

Bun ni memang lembuttt dan gebu (macam "mat gebu" gitu...)...Lu tak caya, cuba tengok teksture roti yang baru saja mat rabak kan dari sedara mara dia tuu...nampak bersarang dan lembut kannn....tu belum dimakan lagi tuu...kena pulak dengan kopi atau teh, aduhh boleh pingsann!!!!...Tapi sebelum tu nak minta maaf dengan kak rin sebab mat dah tukar nama dan bentuknya...kalau nak tengok yang "genuine" from kak rin, u can click here.....

BAHAN-BAHANNYA :-)
350 g tepung roti (high protein flour)
200 ml air sejuk (dari peti sejuk)
50 g gula halus
1/2 camca teh garam halus
3 camca teh instant yeast
1 camca teh bread improver
20 g serbuk santan
1 camca besar susu tepung
1 biji telur kecil (mat guna telur biasa, kacau sedikit dan timbang 40g)
30 g mentega
1 camca teh pandan paste

BAHAN HIAS :-)
Kelapa kering secukupnya
Seri kaya secukupnya



CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK DOH :- Satukan semua bahan2 diatas kecuali mentega dan bahan hias ke dalam mangkuk adunan. Gunakan hook dan putar pada kelajuan sederhana hingga menjadi doh. Tambah mentega dan terus memutar hingga mendapat doh yang kenyal dan elastik (doh memang agak lembut), tutup dengan plastik cling dan biarkan 1 jam. KAEDAH LAIN :- Masukkan semua bahan2 diatas kecuali bahan hias ke dalam Bread Maker dan pilih setting untuk doh, tekan "on" dan tunggu hingga siap...
  2. Tumbuk dok untuk membuang udara. Bahagikan kan doh kepada 16 bahagian yang sama besar, bulat2kan doh dan susun dalam loyang (mat guna loyang bersaiz 11 x 11 x 2 inci). Tutup dengan kitchen towel bersih dan biar naik selama 45 minit - 1 jam.
  3. Spray sedikit air atas permukaan roti, tabur kelapa kering dan paipkan serikaya (masukkan seri kaya dalam plastik bersih, dan gunting sedikit muncungnya) atas roti tadi...ikut lah style memasing yeaa...
  4. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 180C selama 20 - 25 minit (mat bakar 30 minit)...Bila masak, keluar dari tin dan sejukkan sepenuhnya atas jaringan....Lepas tu boleh lah makan. Air kopi/teh jgn lupa yeaa...

Tuesday, May 12, 2009

BENDI GORENG TELUR

Bendi Goreng Telur

Hari ni mat masukkan resipi yang mudah saja yeaa (tah2 u all semua dah biasa masa style gini!!)...Saja nak menghabiskan stok kacang bendi, tau sajalah bendi ni kalau tak masak, dia akan mula menjadi "tua" secara semulajadi..masa tu bukan je keras tapi bersabuttt!!!...ok ok jom tengok resipi, tak kesah lah kalau yang biasa2 pun....

BAHAN-BAHANNYA :-)
10-15 biji kacang bendi, redam dan toskan
1 cawan hirisan nipis daging ayam
2 biji telur, dipukul sedikit
1 camca besar sos tiram
1 keping asam gelugor
1/2 camca besar sos ikan (nampla)
Garam dan sedikit gula
1 biji bawang besar*
3 ulas bawang putih*
1 camca besar udang kering, rendam, toskan*
2 biji cili merah*
5 biji cili padi*(*ditumbuk lumat)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Bendi ditoskan, hiris serong2 sederhana tebal. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan tumbuk lumat hingga harum, masukkan sos tiram, daging ayam dan sos ikan, kacau rata. Tambah asam gelugor (masukkan sedikit air). Biar ayam masak.
  2. Kemudian masukkan bendi tadi dan gaul rata. Curah telur tadi sekeliling kuali, bila telur sedikit mengeras, gaul rata bersama bendi tadi. Masak hingga kering sedikit. Masukkan sedikit gula dan garam (jika perlu).
  3. Hias dengan hirisan cili dan daun sup sebelum dihidangkan panas2. Sedap dimakan bersama nasi hangat, sambal belacan dan ikan goreng.....

MEMO HARI IBU DARI WAWA

Sebelum tu mat nak mohon maaf pada "wawa" sebab terlewat mengangkut award yang dia beri khas sempena hari ibu (of couse lah to my beloved mother!!!)...Terima kasih yea wawa...tak terlambat juga selamat hari ibu pada anda juga...sebenarnya selagi kita bernafas hingga nafas terakhir, ibu sentiasa tersemat abadi di hati kita...

Saturday, May 9, 2009

SELAMAT HARI IBU SEDUNIA!!!

Terima kasih untuk Linn atas tanda ingatan untuk ibu2 sedunia ini....Mat juga dengan ini mengucapkan selamat hari ibu pada bonda tercinta Puan Jamaliah Hassan, moga sihat dan sentiasa di dalam jagaan yang maha esa....insya Allahh.....Dan tak lupa untuk semua ibu, dan juga yang bakal bergelar ibu...sudi2 kan lah yea ambik "memo" diatas, khas untuk anda....

Wednesday, May 6, 2009

ASAM TUMIS BATANG KELADI

Asam Tumis Batang Keladi

Hari ni makan asam tumis batang keladi dengan ikan sepat masin, adoii sedap u..siap hirup2 lagi kuah dia. Tapikan batang keladi ni nasib2 juga, ada masak elok, ada masa gatal...jadi mat tak boleh nak jamin lah...tapi selalunya yang kita beli di pasar atau pasar tani yang jenis siap disiang dan di bungkus, tidak menerbitkan rasa gatal lepas dimasak....Ada sesiapa lagi yang ada petua menghilangkan gatal batang keladi?....Boleh lah kongsi bersama mat..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 bungkus batang keladi (siap bersiang, ada jual dipasar @ pasar tani)
3 ekor ikan masin sepat, bersihkan dan rendam
2 helai daun kunyit, disiat2
2 keping asam gelugor @ 1/2 cawan jus asam jawa
3/4 camca teh serbuk kunyit
Garam dan secubit gula
1/2 kiub ikan bilis "Maggi"
1 biji bawang besar*
3 - 4 biji cili merah*
1 camca besar ikan bilis, cuci dan toskan*
3 ulas bawang putih*(*dikisar halus)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Cuci batang keladi, toskan. Didihkan air, masukkan sedikit garam dan 1 keping asam gelugor, masukkan batang keladi dan celur 2 - 3 minit atau hingga 1/2 lembut. Toskan.
  2. Dalam periuk, panaskan sedikit minyak, tumis bahan2 kisar, masukkan serbuk kunyit dan masak hingga terbit minyak. Tuang air secukupnya (anggaran 700 ml). Biar mendidih.
  3. Masukkan kiub ikan bilis, ikan masin (toskan terlebih dahulu) dan juga batang keladi. Tambah asam gelugor atau jus asam jawa. Perisakan dengan sedikit gula dan garam secukupnya.
  4. Masukkan daun kunyit dan masak hingga batang keladi lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi hangat...

Tuesday, May 5, 2009

CUCI MATA DENGAN CIK "ROSE"....



Hari ni cuti masak sekejap yeaa....Jadi marilah kita mencuci mata dengan keindahan ciptaan Ilahi. Bunga2 rose atau mawar memang cantik kan...Juga dikenali "Queen Of Flowers", lambang keagungan cinta sejak berkurun lamanya. Kita kat Malaysia ni boleh tanam pokok rose yang agak 'lasak" sahaja (kecuali yang duduk di tanah tinggi) dan dah tentu musuh2nya pun ramai (serangga, kulat dan lain2...)...Gambar2 tu mat baru je tangkap sat tadi, konon2nya menanam pokok rose, tapi jangka hayatnya tatau lah sampai bila, tu pasal gambar bunga tu harus diabadikan sebelum ianya layu dimamah waktu....Psttt....kalau nak tengok lah gambar pelbagai bunga yang cantik2, u all pi lah jalan2 ke fotopage "Muna" yang dok diam di tanah Belanda, gambar bunga kat FP dia memang mengasyikkan....boleh menenangkan jiwa dan perasaan.....

Monday, May 4, 2009

AWARD LAGI!!!...DARI "VG"....

Pertama kali mat nak minta maaf banyak2 pada "VG", sebab terlewat ambil "Friendship Award" ni...Terima kasih mat ucapkan atas tanda ingatan ini....Ingat award dikalangan blogger tak penting ke....sapa kata dan berperasaan begitu, mereka silap sebenarnya....

Sunday, May 3, 2009

PANDAN CHEESE CAKE

Pandan Cheese Cake

Hari ni macam terajin nak mencuba "Pandan Cheese Cake"..kutip kat blog Hana dari Jepun tuu (boleh tengok kat sini)..dia tu kelas leer, masak apa2 semua nampak sedap dan mengiurkan...jeles pakcik...Hana aku tau lahh ko orang jawa...tapi bahasa jawa yg ko tulis dalam satu n3 kat blog ko duluuu..sepatah haremmm pakcik tatau....hehehehe.

Pandan Cheese Cake

Resipi asal dai "Onigiri"....yang bestnya kek ni tak guna cream cheese yang harga very the cekik darah tu (untuk orang yang duduk Malaysia, harga cis memang cekik darah!!!)...Pastu modal kek ni pun tak de lah besar mana, setakat sederhana je, rasa pun sedap, tak manis dan tak muak...Hana buat dalam tin bulat 20 cm, mat guna tin bulat 23 cm...tu pasal tak tinggi sangat....

BAHAN-BAHANNYA :-)
200 ml susu segar
4 keping slice cheese (cheesedale)
70 g mentega
70 g gula halus
70 g tepung gandum, diayak
4 biji telur gred "B"
1 camca teh pandan paste
Sedikit pewarna hijau
Beberapa titik esen vanilla



CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Siat2 slice cheese dan masukkan ke dalam susu segar, panaskan susu dan kacau hingga keju larut, masukkan mentega, pandan paste dan sedikit pewarna hijau, kacau rata dan sejukkan (mat guna kaedah double-boiler)...
  2. Asingkan putih dan kuning telur, pukul kuning telur hingga pucat dan masukkan no. 1, kacau rata. Masukkan tepung dan gaul hingga sebati. Ketepikan.
  3. Putar putih telur hingga berbuih, masukkan gula halus dan putar hingga menjadi meringue. Kaup balik meringue ke dalam no.2 dan masukkan esen vanilla, gaul hingga rata.
  4. Tuang dalam tin yang telah disapu mentega, letak tin dalam bekas lain dan tuang sedikit air hangat (kalau guna tin spring foam, balut bawah tin dengan aluminium foil, utk mengelakkan air masuk).
  5. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 170C selama 20 minit, kemudian turunkan suhu kepada 140C dan bakar lagi selama 40 minit. Bila masak, keluarkan kek dari tin dan sejukkan sebelum dipotong...Memang sedap u!!!