BEN ASHAARI

Wednesday, April 29, 2009

SUP TAUHU & CENDAWAN

Sup Tauhu & Cendawan

Dalam cuaca tak menentu ni kan, makan sup2 memang sedap...Jadi hari ni mat masak sup tauhu dengan cendawan, makan dengan nasi hangat, sambal belacan dan goreng pulak ikan pekasam...adoiii, tak menoleh kiri dan kanan dahhh, tunduk jeee, mak mertua lalu pun tak perasan (yelah mana nak perasan, mak mertua pun tak daaa!!!...hehehehe)... Jadi kalau sesapa macam kering idea nak masak apa, boleh leer mencuba yea....

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 tube tauhu jepun, potong 8 setiap tube
250 g cendawan telinga tikus, jenis segar, dipotong kecil
100 g fucuk, potong kecil dan rendam hingga lembut, toskan
1 camca besar udang kering, rendam 10 minit dan tumbuk kasar
1 cekak soo hoon, potong dan rendam hingga lembut
1 biji bawang besar, dihiris halus
3 ulas bawang putih, diketuk
Garam secukup rasa
Secubit gula
Air secukupnya
Hirisan daun sup/daun bawang*
Bawang goreng*
Lada kicap*(*bahan sampingan)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan sedikit minyak dalam periuk, tumis bawang besar, bawang putih dan udang kering tumbuk hingga harum. Masukkan air secukupnya (anggaran 1200 ml). Biar mendidih.
  2. Masukkan tauhu kering (fucuk) dan cendawan tadi. Masak hingga fucuk lembut, masukkan soo hoon dan tambah garam secukup rasa dan secubit gula. Kacau rata. Biar mendidih perlahan dan masukkan tauhu.
  3. Masak 5 minit lagi dengan api kecil, rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun sup/daun bawang dan bawang goreng sebelum dihidangkan. Kalau nak pedas boleh tambah sedikit lada kicap....Selamat menjamu selera....
CATATAN MAT GEBU :- Cendawan telinga tikus tu kalau susah nak dapat yang segar, boleh guna jenis kering. Rendam dulu dengan air suam hingga cendawan kembang, buang bahagian kerasnya dan bersihkan. Boleh digunakan...

AWARD DARI MAMAFAMI.......

Malam tadi kita dapat award dari "MamaFami"...u all tak kenal ke mamafami?..Aiseyy rugi tau, dia tu "blogger femes uu!!!...sebelum mat ada blog, abg mat pernah cerita pasal mamafami (fotopages)...kita ni dengar2 gitu saja laaa...Lepas dah ada blog sendiri, baru tau mamafami ni femes seantaro blogger, tak kira leer koo blogger masak2 ke atau blogger ala2 diari kehidupan...Terima kasih yeaa mama, atas tanda ingatan nihh...dan juga resipi2 yang mama kongsi bersama kami semuaa....Allah lanjutkan usia "Mama Fami".....(sikit punya baik aku kempen untuk mama...boleh jadi calon ketua wanita bahagian!!!)..... Dengan ini mat berbagi2 juga lah award ni pada semua pengunjung tak kesah lah yang ada blog atau fotopage...dengan ikhlas hati nihh...jangan lupa ambik yeaa!!...

Tuesday, April 28, 2009

APPLE CAKE

Apple Cake

Jom makan kek epal....Sedap kek ni, tak manis sangat dan rasa masam2 manis epal hijau tu cukup mesra bila digandingkan dengan kek yang penuh dengan aroma mentega dan lemon. Mat rasa kalau sesiapa tak gemar epal hijau boleh saja guna epal merah, tak jadi masalah.....

Apple Cake

Resipi asal dari satu buku masakan "Australia" berjudul "Cakes & Slices"..memang seronok buku tu, tengok mereka memperagakan pelbagai jenis kek dan slices (ala2 bepang tuu...)..Sekali2 buat ok lahh kan... Jom tengok resipinya .....

BAHAN-BAHANNYA :-)
185 g mentega
1 camca teh parutan kulit lemon
2/3 cawan gula halus
3 biji telur gred A
1 cawan tepung naik sendiri (self-raising flour)
1/2 cawan tepung gandum
1/3 cawan susu segar (mat guna susu cair)
2 biji epal hijau

BAHAN GLIS (OPTIONAL) :-)
1 camca teh halal gelatin (jenama "nona" @ "nur")
2 camca besar air
2 camca besar jem apricot




CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satukan tepung naik sendiri dan tepung gandum, ayak rata. Kupas epal, belah 3 setiap biji, buang bahagian tengahnya dan kelar2 setiap bahagian epal tadi (seperti dalam gambar). Rendam dalam air yang diperah sedikit jus lemon. Ketepikan.
  2. Putar mentega, gula halus dan parutan kulit lemon hingga putih, masukkan telur satu persatu sambil terus memutar hingga kembang. Pada kelajuan perlahan, masukkan tepung berselang-seli dengan susu segar. Putar hingga rata.
  3. Tuang dalam tin bulat berukuran 8 inci yang telah disapu dengan mentega dan alas dasar tin dengan kertas minyak. Ratakan. Toskan epal tadi dan susun atas adunan kek seperti dalam gambar.
  4. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 175C selama 1 jam atau hingga masak. Sementara itu, satukan gelatin dengan air, kacau rata dan masak secara double boiler hingga gelatin cair, tambah jem apricot dan kacau rata. Bairkan suam.
  5. Bila kek sejuk sedikit, keluarkan dari tin dan sapukan bancuhan jem tadi atas kek. Tujuannya menjadikan permukaan kek berkilat dan lembap....
CATATAN MAT GEBU :- Jika menggunakan tin "spring foam" atau apa2 tin/dulang kek bewarna hitam, turunkan suhu menjadi 160C sahaja, ini kerana tin berwarna hitam mempunyai kadar resapan haba yang lebih tinggi..Lagi satu, pasal "glis" tu, mat tak buat, sebab tak de stok gelatin kat rumah.....

Sunday, April 26, 2009

IKAN MASAK CUKA

Ikan Masak Cuka

Dah mati idea nak masak apa, ni kira lauk main belasah ikut apa yang ada. Ikan masak cuka ni ala2 masak acar, cuma mat tak de stok timun dan lobak merah, yang ada cuma capsicum merah, hijau dan kuning dan tomato serta ikan.....Jadi apa mau bikin, gua belasah jee beb, janji boleh makan....

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 keping hirisan ikan tenggiri*
1/2 camca teh serbuk kunyit*
1/2 camca teh garam*(*disatukan dan perap 10 minit)
1/3 biji capsicum merah, didadu
1/3 biji capsicum kuning, didadu
1/3 biji capsicum hijau, didadu
1 biji tomato, didadu kasar
5 biji cili padi, diketuk
1 camca besar udang kering, rendam 10 minit, tos dan tumbuk kasar
3/4 cawan cuka makan
1 biji bawang besar, belah 4
5 ulas bawang putih, belah 2 setiap ulas
1/2 inci halia, dimayang halus
1 batang kayu manis*
1 kuntum bunga lawang*
2 biji buah pelaga*
4 kuntum bunga cengkih*(*rempah tumis)
4 camca besar gula
Garam secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan digoreng hingga garing, angkat dan toskan. Tinggalkan lebih kurang 1/4 cawan minyak. Tumis rempah tumis hingga harum, masukkan udang kering, halia dan bawang putih, masak hingga layu. Tuang cuka makan dan masukkan gula, masak hingga pekat.
  2. Tambah garam dan masukkan bawang besar, cili padi dan capsicum merah, hijau dan kuning. Gaul rata. Bila pekat, masukkan ikan dan tomato tadi, gaul rata. Rasa dan tambah garam jika perlu.
  3. Masak sekejap dan boleh angkat. Hidangkan bersama nasi hangat, sambal belacan dan ulam2man....Makan dengan nasi minyak pun sedap u!....

ROTI KENTANG

Roti Kentang

Salam sejahtera semua, syukur ke hadrat Illahi atas limpa kurnia nya, mat dah sihat cuma ada sikit2 lagi sakit di bahagian tekak...Hari ni teringin nak makan roti kentang, asalnya mat tengok kak "RinnChan" buat di fp dia...Mat pernah buat roti ni dulu dan hasil dia memang amat memuaskan hati......

Roti Kentang

Resipi asal dari"Onigiri" dari MyResipi. Resipi dah ada dulu, tapi tak pelah mat tulis lagi sekali...yang mula2 buat dulu kalau nak tengok, boleh klik sini.....

BAHAN DOH ROTI :-)
300 g tepung roti (high protein flour)
2 camca teh instant yeast
3/4 camca besar susu tepung
3/4 camca teh garam (mat letak 1/2 camca teh)
50-70 g gula halus (mat letak 60g)
60 g kentang lecek
1/2 biji telur (guna lagi 1/2 untuk sapu atas roti)
135 ml air sejuk (dari peti ais)
30 g mentega
1/2 camca teh bread improver*
1/2 camca teh bread softerner*(*resipi asal tak letak)

BAHAN KASTARD :-)
1 camca besar tepung gandum
1 camca besar tepung kastard
4 camca besar gula halus
1 cawan susu segar
1 biji telur saiz A
Secubit garam (mat tak letak)
1 camca besar mentega

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK DOH ROTI :-Satukan bahan untuk doh roti kecuali air dan mentega. Tuang air sedikit demi sedikit sambil digaul hingga menjadi doh. Tambah mentega dan terus menguli hingga mendapat doh yang kenyal dan lembut. Bulat2kan doh dan perap 1 jam hingga doh kembang. KAEDAH LAIN :- Masukkan semua bahan2 untuk doh roti dalam breadmaker, pilih setting untuk "doh" dan telan "on", tunggu hingga siap.
  2. UNTUK KASTARD :- Sementara menunggu doh naik, buat kastard. Satukan semua bahan2 kastard kecuali mentega dalam bekas tahan panas. Kacau rata dengan whisk. Masak secara double boiler sambil terus mengacau hingga pekat dan berkilat. Alihkan dari double boiler dan masukkan mentega, kacau hingga sebati. Tutup kastard dengan plastik cling untuk mengelakkan permukaannya keras.
  3. UNTUK ROTI KENTANG :- Keluarkan doh, tumbuk untuk membuang udara, bagi kan doh kepada 15 bahagian (resipi asal 16 bahagian), bulat2kan setiap bahagian dan susun dalam bekas yang telah disapu dengan mentega. Buat hingga siap. Biarkan 45 minit hingga doh mengembang. Sapu permukaan roti dengan baki 1/2 bahagian telur tadi. Isikan kastard dalam piping beg, dan paipkan secara bersilang atas roti tadi. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 180C selama 20 minit atau hingga masak. Sejukkan atas jaringan sebelum dihidang...

Saturday, April 25, 2009

IKAN SAMBAL KANTAN

Ikan Sambal Kantan

Tekak ni masih rasa tak tentu hala, tatau nak makan apa yang sedap, hari ni try masak sambal ikan, tapi sambal tu lain dari sambal biasa dan ikan pun mat guna ikan "sebelah"....Betul ke mengikut sejarah ikan sebelah ni terjadi semasa nabi Allah Musa membelah laut dan ikan tu turut terbelah dua?...wallah hualam, kalau sesapa tau boleh lah berkongsi yea....Selain ikan sebelah, ikan bawal pun sedap atau apa2 ikan yang banyak isi....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ikan sebelah saiz sederhana (nak guna ikan bawal pun ok)
1/2 camca teh serbuk kunyit
1/2 camca teh lada hitam serbuk
Sedikit garam
1 biji limau nipis, perah jusnya
2 camca besar sos cili
1 1/2 camca besar cili kisar
1 camca besar sos ikan (nampla)
1 camca besar gula
1 biji tomato, dicincaang
1 kuntuk bunga kantan, dihiris halus (utk ditabur)
Garam secukup rasa

A(tumbuh halus)...
1 kuntum bunga kantan, dihiris
1 batang serai hiris halus
1 biji bawang besar, potong kecil
3 biji cili merah
3 ulas bawang putih
1 hirisan nipis halia
1/2 inci belacan, dibakar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan disiang, cuci bersih dan kelar2 sedikit. Perap bersama serbuk kunyit, lada hitam tumbuk dan sedikit garam selama 5 minit, kemudian goreng hingga garing. Angkat, toskan minyak dan letak dalam pinggan sesuai.
  2. Panaskan minyak, tumis bahan2 tumbuk halus hingga harum, masukkan tomato dan kacau hingga tomato layu, tambah sos cili, cili kisar dan gula. Masak hingga garing dan terbit minyak.
  3. Perasankan dengan garam dan gula secukup rasa, tambah jus limau nipis dan gaul rata. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tuang sambal tadi atas ikan goreng, ratakan dan tabur hirisan bunga kantan. Hidangkan segera bersama nasi hangat.

Wednesday, April 22, 2009

ROTI KEJU OREGANO

Roti Keju Oregano

Sebelum buat nampak sedap sangattt...lepas dah buat tiba2 tekak tak lalu nak makan, tapi telan juga 2 hirisan....Mungkin tekak masih meragam dek batuk dan selsema, tapi anak2 buah makan laju jee....Sedap lah agaknya kan......

Roti Keju Oregano

Resipi asal dari buku Alex Goh, dia buat roti jadi putih melepak, tulis situ guna mentega, bila mat buat jadi kaler kekuningan (selalunya kalau doh roti jadi putih, kalau guna shortening)...tak kesah lah janji dah buat....ok lah kita tgk bahan2nya yeaa......

BAHAN DOH :-)
320 g tepung roti (high-protein flour)
80 g tepung gandum (plain flour)
20 g gula halus
1/2 camca teh garam
2 camca teh instant yeast
1 camca teh bread softerner
1 camca teh bread improver
220 ml susu segar
1 biji telur
30 g mentega

A...
30 g parutan keju cheddar
30 g cincangan kacang badam, dipanggang sedikit
Sedikit herba Oregano kering
Sedikit mentega

B...
3 keping keju chesdale, dikerat 2 setiap kepingan
Oregano kering
Sedikit cincangan badam
1 biji telur, untuk disapu



CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK DOH :- Satukan bahan2 doh dalam satu bekas, kecuali mentega, gaul hingga menjadi doh, masukkan mentega dan terus menguli hingga mendapat doh yang lembut, licin dan anjal. Letak dalam bekas, tutup bekas dengan plastik cling dan biar terperap selama 1 jam atau doh menjadi sekali ganda. KAEDAH LAIN :- Masukkan semua bahan2 doh dalam breadmaker, pilih setting untuk doh dan tekan "ON", tunggu hingga siap.
  2. UNTUK ROTI :- Keluarkan doh, tumbuk untuk membuang udara, bahagi kepada 2 bahagian, uli sekejap dan bulat2 kan, biar 10 minit. Ambil satu bahagian doh, canai membentuk 4 segi anggaran ketebalan 1/2 inci. Sapu dengan sedikit mentega, tabur keju, badam dan sedikit oregano kering (guna sebahagian dari bahan "A"). Gulung ketat seperti swissroll. Kerat kepada 3 bahagian sama besar, kelar setiap potongan seperti dalam gambar, alihkan ke dalam loaf tin yang telah disapu mentega. Buat kaedah sama utk satu lagi bahagian. Biar naik sekali ganda lagi (lebih kurang 45 minit).
  3. Sapu kuning telur dan tabur badam (dari bahan "B"). Bakar dalam oven pada suhu 190C selama 25 minit. Keluarkan roti, letak kepingan keju chessdale seperti dalam gambar, tabur oregano kering atas keju tadi dan sambung bakar selama 7 - 8 minit lagi hingga keju mencair. Keluarkan roti dan biar sejuk sedikit sebelum dikeluarkan dari tin

Monday, April 20, 2009

KERUTUP UDANG

Kerutup Udang

Pada satu hari tu mat cuma masak salah satu resipi dari buku masakan "Norzailina Nordin"..iaitu "kerutup udang galah"...sebab mat tak guna udang galah, kita letak saja lah kerutup udang. Walau pun tak boleh sangat makan udang, tarikan kuat dari si udang tidak boleh dielakkan.. Apa2 pun resipi ni sedap dan udang tu boleh ditukarganti dengan ayam atau pun daging...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg udang galah (atau udang bersaiz besar)
400 ml pati santan
160 ml sos tomato
2 camca besar kerisik
2 camca teh gula melaka
Garam secukup rasa

A...
4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
3 biji cili merah
1 camca besar cili kisar
1/2 biji bawang besar

B...
4 cm kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 biji buah pelaga

C...
3 cm kayu manis
2 kelopak bunga lawang
2 camca teh jintan manis
1 camca teh jintan putih
1 camca besar ketumbar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Udang dibersihkan, buang kotoran dikepala, cuci, toskan. Lumur dengan sedikit kunyit dan garam. Goreng hingga udang kemerahan. Angkat dan toskan. Kisar halus bahan2 "A". Masukkan bahan2 "C" ke dalam kuali dan goreng tanpa minyak hingga harum, kemudian kisar halus rempah tadi (gunakan pengisar kering). Ketepikan.
  2. Panaskan lebih kurang 100 ml minyak dalam kuali, tumis bahan "B" hingga wangi, masukkan bahan "A" (yang kisar halus) dan tumis hingga harum. Tambah bahan "C" (rempah kisar kering), kacau rata dan masak hingga naik bau.
  3. Tambah, sos tomato, gula melaka dan pati santan, kacau rata dan masak hingga mendidih, gunakan api sederhana. Tambah kerisik, masukkan udang, gaul rata. Masukkan garam secukup rasa dan masak hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh alih ke dalam bekas sesuai.
  4. Tabur hirisan daun bawang sebelum dihidangkan jika suka....Sedapppp!!, tak caya luu boleh try sendiri beb!!!!

AYAM LEMAK KUNING

Ayam Lemak Kuning

Salam sejahtera untuk semua, maaf sebab agak lama juga tak masukkan n3 baru, tenet di rumah mat ada sedikit masalah teknikal, setelah dibaik pulih sepenuhnya pada hari ini (Isnin, 20 April 2009), dapat lah mat ber"blog" kembali....Dan dalam masa itu juga, mat diserang demam + selsema + batuk tahap "gila2" punyaa!!!...Bila batuk tu, perasan kepala jadi kembang macam apam mekar, lepas tu biji mata macam nak gugur!!...aduhh, tak boleh tidur malam....Sekarang dah beransur pulih....Biasa lah sekali2 sakit....kita redha saja lahh....Ok lah jom tengok resipi (gulai ayam ni boleh makan ramai)...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ayam, potong 16
5 biji kentang
4 batang serai, dititik
1 inci lengkuas, dititik
300 ml pati santan
1000 ml santan cair
2 keping asam gelugor
5 - 6 biji cili padi, diketuk (jika suka)
Garam dan gula secukup rasa
10 biji bawang merah*
1 biji bawang besar (yang sederhana)*
5 ulas bawang putih*
2 inci halia*
1 inci kunyit hidup*
3 biji cili merah*
8 biji cili padi*
2 biji buah keras*(*dikisar halus)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ayam dibuang kulit, cuci bersih, lumur dengan jus limau nipis dan sedikit garam, gaul rata dan perap 10 minit, cuci kembali dan toskan. Kentang dikupas, belah 4 setiap biji dan rendam.
  2. Dalam periuk, masukkan ayam, serai titik, lengkuas, bahan2 kisar dan asam gelugor. Gaul rata dan didihkan hingga ayam kecut. Tuang santan cair dan masak hingga mendidih. Perlahankan api.
  3. Masukkan kentang dan masak hingga kentang empuk, tambah pati santan, perisakan dengan garam dan sedikit gula. Biar mendidih sambil dikacau sekali sekala. Akhir sekali masukkan cili padi yang diketuk. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api.
  4. Hidangkan segera bersama nasi hangat, sambal belacan dan ulam2man..

Sunday, April 12, 2009

MARBLE CHEESE BROWNIES

Marble Cheese Brownies

Sepatutnya semalam mat dah publish n3 "marble cheese brownies" ni, tapi kesibukkan melanda dengan kehadiran tetamu silih berganti...Ada 3 trip tetamu datang bersinggah ke teratak hamba semalam...Resipi mat dpt dari FP "RinnChan".....Oleh kerana mengejar masa, tak sempat nak tangkap gambar step by step...jadi kalau nak tengok dengan lebih jelas, silalah ke sini yeaa......

BAHAN BROWNIES :-)
250 g mentega
1 cawan serbuk koko
1/2 cawan susu cair
1 1/2 cawan gula halus
3 biji telur gred B
1 1/2 cawan tepung gandum*
1 camca teh baking powder*
1 camca teh soda bicarbonate*(*digaul rata dan diayak)
1 camca teh esen vanilla

BAHAN CHEESE :-)
250 g cream cheese
1 cawan gula halus (mat guna 3/4 cawan)
1 biji telur gred B

CARA MEMBUATNYA :-
  1. Lenser tin berukuran (10 x 10 x 2) inci dengan mentega, alas dengan kertas minyak, biar kertas minyak terlebih dari tin. Lenser juga kertas minyak dengan mentega. Panaskan oven pada suhu 175C.
  2. UNTUK BROWNIES :- Cairkan mentega (gunakan kaedah double-boiler) hingga cair, masukka serbuk koko dan kacau hingga rata. Kacau gula halus + telur dengan whisk hingga sebati. Masukkan ke dalam bancuhan koko + butter dan gaul rata. Masukkan susu cair, kacau rata. Tambah tepung sedikit demi sedikit sambil diadun hingga sekata. Tuang esen vanilla, gaul rata dan asingkan adunan ini lebih kurang 1 1/2 camca besar untuk dibuat corak atas cheese. Tuang selebihnya dalam loyang tadi, bakar 25 - 30 minit atau hingga brownies masak.
  3. UNTUK CHEESE TOPPING :- Putar cream cheese dan gula hingga sebati, masukkan telur dan putar lagi hingga berkrim. Tuang atas brownies tadi dan ratakan. Isikan adunan brownies yang diasingkan tadi dalam piping beg, dan buat beberapa garisan lurus, kemudian lorekkan untuk mendapat hasil seperti dalam gambar. Sambung membakar selama 15 - 20 minit lagi atau hingga masak, biarkan betul2 sejuk, baru dipotong untuk dihidangkan...
CATATAN MAT GEBU :- Mat simpan brownies ni dalam peti sejuk selama 45 minit hingga 1 jam, tujuannya, bila kita potong, ia akan menghasilkan potongan yang cantik dan licin...

Thursday, April 9, 2009

WILTON HALAL CERTIFICATE


Sijil halal dari "Wilton"..mat dapat dari "MyResipi", terima kasih pada "Jue Hussin" kerana sudi link kan blog asal yang meletak sijil halal tersebut. Blognya di sini...

UDANG DENGAN SOS PLUM

Udang Dengan Sos Plum

Rasanya lama juga tak masak udang galah....jadi hari ni kita masak lah sebagai tanda "ingatan" terhadap udang galah yang begitu manis, segar dan lemak (tak lupa kolestrol dia yg begituu kaya raya!!!)....Lagi satukan udang atau makanan laut yang segar2 ni kita masak paling mudah sudah memadai demi mengekalkan rasa makanan laut itu sendiri...Pendapat orang lain pulak macam mana?...ceQ tatau lahh nak kata apa, sebab tekak orang tak sama dengan tekak kitaa....

BAHAN-BAHANNYA :-)
10 ekor udang galag bersaiz sederhana
2 tiub tauhu jepun
2 biji bawang besar, dipotong bulat
2 ulas bawang putih, hiris halus
1/2 inci halia, dititik
1 camca besar sos tiram
1 camca besar sos cili
1 1/2 camca besar sos plum
Garam secukup rasa
1/2 cawan air
Hirisan daun bawang untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Udang dibersihkan, cuci dan tos. Lumur dengan sedikit garam dan serbuk kunyit. Goreng udang tadi 3/4 masak. Angkat dan toskan. Tauhu jepun dipotong 8 setiap tiub, goreng hingga kuning keemasan. Angkat dan toskan.
  2. Tinggalkan lebih kurang 2 camca besar minyak masak, tumis bawang besar, bawang putih dan halia hingga harum, masukkan sos tiram, sos cili dan sos plum, kacau rata dan tuang air.
  3. Bila mendidih, masukkan udang dan tauhu jepun, gaul dan tambah garam jika perlu. Masak hingga pekat, rasa dan jika ok boleh matikan api. Alih dalam bekas sesuai, tabur hirisan daun bawang sebelum dihidangkan.....

PERIA GORENG BERDAGING

Peria Goreng Daging

Tiba2 tekak macam nak makan benda yang "pahit2" sikit...tapi bukan lah aku nak telan pil tidur atau belasah ubat batuk!!!, cuma teragak nak makan peria kambas....Kali ni goreng dengan daging...sebab baki daging semalam ada sikit lagi tersimpan dalam freezer...Jadi kita layannnn je lahh yeaa.....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 biji peris kambas saiz sederhana
200 g daging batang pinang, hiris nipis*
1/2 inci halia*(*disatukan dan perap 30 minit)
1/2 camca teh serbuk kunyit
1 camca besar sos tiram
2 camca besar jus asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
1 cawan air

A...
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putij
6 biji cili padi @ 1 biji cili merah
1/2 kiub pati ayam "Maggi"

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Peria kambas dibelah dua, buang biji , potong serong dan rendam dalam air berisi garam. Tumbuk lumat semua bahan2 "A". Ketepikan..
  2. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan tumbuk lumat hingga harum, masukkan serbuk kunyit dan sos tiram, kacau rata dan masukkan daging. Tuang air, kacau dan masak hingga daging lembut.
  3. Toskan peris kambas dan masukkan dalam kuali tadi, tambah jus asam jawa dan sedikit garam dan gula. Kacau rata dan masak hingga peria lembut. Rasa dan jika ok boleh diangkat. Hidangkan segera....

Wednesday, April 8, 2009

DAGING MANIS

Daging Manis

Nama saja daging manis, tapi tak delah manis macam pengat, cuma manis "lite2" sajaaa.....Resipi ala2 masak kicap pun ada, stew pun ada, ala2 chinese pun ada. Budak2 suka makan ni, sebab tak pedas dan penggunaan halia yang sedikit lebih pun elok untuk buang angin di dalam badan.....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 biji bawang besar, dihiris
1 biji cili merah, dibelah 2
2 ulas bawang putih, dititik
1 inci halia tua, dititik
5 biji putik jagung, dibelah 2 setiap biji
Hirisan daun bawang, untuk hiasan
Minyak untuk menumis

A...
600 g daging lembu, hiris nipis, cuci dan toskan
1 1/2 inci halia, tumbuk lumat
3 ulas bawang putih, tumbuk lumat
1/2 camca teh lada hitam, ditumbuk

B...
1 camca besar sos tiram
1 1/2 camca besar sos hoisin
3 camca besar kicap cair
3 cawan air
1 pokok daun sup, kerat kasar
1/4 camca teh minyak bijan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satukan bahan "A", gaul rata dan perap 1 jam. Kemudian panaskan minyak masak dalam kuali, tumis halia dan bawang putih titik hingga harum, Masukkan daging, kacau rata dan masak hingga daging kecut.
  2. Masukkan semua bahan "B", kacau rata, kecilkan api dan renih hingga daging empuk. Masukkan belahan cili merah, jagung muda dan bawang besar hiris. Masak hingga jagung muda lembut.
  3. Rasa dan jika kurang masin, boleh tambah kicap cair atau garam. Alihkan ke dalam bekas sesuai dan hias dengan hirisan daun bawang sebelum dihidangkan panas....

Tuesday, April 7, 2009

KARIPAP LAPIS

Karipap Lapis

Selamat petang semua....Dengan izin dari "NYA"....maka digerakkan hati dan dipulihkan dari sifat2 ke"malasan".....Resipi yang dah tersimpan begitu lama akhirnya menghasilkan realitinya hari ini.....

Karipap Lapis

Karipap lapis atau karipap pusing, memang dah selalu mat tengok orang lain buat. Rasa2nya lebih setahun bercita2 hendak mencuba tapi semuanya tak tercapai. Akhirnya hari ni mat buat juga....Lega sungguh, sesuai untuk minum petang, resipi asal dari "Alex Goh"....kebanyakkan resipi dalam buku2 masakan beliau tidak menghampakan.....

BAHAN INTI :-)
300 g kentang, kupas, cuci dan dadu kecil dan rendam
1 tin ikan tuna, toskan
1 biji bawang besar, didadu
2 ulas bawang putih*
1/2 inci halia*(*tumbuk lumat)
1 camca besar sos tiram
5 - 6 helai daun kari, hiris halus
2 camca besar rempah kari
1 camca teh serbuk lada hitam
Sedikit gula
Kicap cair secukupnya
1 cawan air

BAHAN PASTRY :-)
A...
260 g tepung gandum
50 g margarine
20 g gula halus
1/4 camca teh garam
140 ml air (kurang lebih)

B...
180 g tepung gandum
80 g lemak sayur (shortening)



CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK INTI :- Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan tumbuk, daun kari dan bawang besar hingga harum, masukkan sos tiram dan sedikit air, tambah rempah kari, gaul rata dan tumis hingga garing. Masukkan tuna dan kentang. Tuang air dan biar hingga kentang empuk. Tambah sedikit gula, lada hitam dan kicap cair secukup rasa. Masak hingga kering. Alihkan dalam bekas lain dan biarkan sejuk..
  2. UNTUK PASTRY :- Satukan semua bahan2 "A" kecuali air, gaul rata dan tambah air sedikit demi sedikit sambil terus diadun hingga menjadi doh yang tidak melekat di mangkuk adunan. Ketepikan. (Jangan risau jika air tidak habis digunakan).
  3. Satukan pula bahan "B" dan adun hingga menjadi doh. Rehatkan doh "A" dan "B", selama 20 minit. Kemudian bagi dua setiap doh, biar sama besar. Bulat2kan. Ambil 1 bahagian doh "A", leperkan sedikit, letak atasnya doh "B", kemudian balut hingga menutupi doh "B" tadi. Buat kaedah yang sama untuk 1 bahagian doh lagi.
  4. Ambil satu bahagian doh, canai membentuk 4 segi, buat lipatan seperti gambar rajah. kemudian canai lagi dari arah depan hingga ke hujung, canai juga bahagian tepinya, hingga mendapat ketebalan lebih kurang 2mm. Gulung doh tadi dari depan hingga ke hujung seperti swiss roll.
  5. Rapikan gulungan tadi dan potong kepada 8 bahagian. Buat kaedah sama untuk bahagian doh yang satu lagi. Ambil 1 potongan. Leperkan sedikit dan canai lebih kurang 3mm, isi inti dan kelim seperti membuat karipap biasa. Buat hingga siap.
  6. Goreng hingga kuning keemasan, gunakan api sederhana sahaja. Jangan goreng banyak seentak, mat goreng 2 - 3 biji sekali goreng, berhati2 semasa membalikkan karipap. Angkat dan toskan minyaknya, letak atas paper towel dan biar minyak terserap. Boleh dihidangkan....
CATATAN MAT GEBU :- Mat rasa karipap ni agak besar...Jadi kalau nak kecilkan, pandai2 lah yea modifey....Makan sebiji je dah boleh sendawa (itu yang body saiz "balak" macam i niee, kalau yang keding lagi lah cepat kenyang kot..hehehehe)..Apa2 pun kalau ada seru boleh lah mencuba yeaa!!!

Sunday, April 5, 2009

APPLE AND PECAN MUFFIN

Apple And Pecan Muffin

Hari ni kan malas nak cakap apa2, nak tulis pun macam malas...dah lah tu, nak cerita punnnn "malass".......Sapa punya virus lah yang merebak kat aku nihh!!!!......Dah lah, jom makan muffin...tambah teh lagi yea!!!...

BAHAN - BAHANNYA :-)
180 g mentega
100 g gula perang (brown sugar)
40 g gula halus
2 biji telur saiz A
80 ml susu segar
200 g tepung gandum*
2 camca teh baking powder*
1/4 camca teh serbuk kayu manis (optional)*(*digaul rata dan ayak)
1 biji epal hijau, kupas kulit dan parut kasar
10 - 15 biji kacang pecan, cincang kasar
1 camca teh esen vanilla

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 180C, alas bekas muffin dengan paper cup atau guna muffin cup jenis keras. Putar mentega, gula perang dan gula halus hingga rata. Tambah telur satu persatu sambil terus memutar hingga kembang.
  2. Perlahankan kelajuan, masukkan tepung berselang seli dengan susu hingga habis, gaul rata. Masukkan esen vanilla, epal dan cincangan kacang pecan, gaul rata menggunakan spatula.
  3. Sudukan ke dalam bekas muffin tadi 3/4 penuh, buat hingga siap dan bakar 20 - 25 minit hingga kuning keemasan mengikut keadaan oven masing. Sejukkan sepenuhnya atas jaringan....Kuantiti mengikut saiz muffin cup masing.....

Saturday, April 4, 2009

ASAM REBUS PEDAS

Asam Rebus Pedas

Hari tu mat dapat kiriman barang2 dari "Dayang Kek Lapis"...ada macam2....dan paling istimewa mat dapat 2 biji terung asam dayak, punya lah besar, saiz dia macam mangga epal tuu, rasa dia pun ada manis2 sikit.

~: Terung Asam Dayak:~

Lagi satu terung tu kalau nak masak, kena kupas kulit, buang biji dan celur sekejap bagi lembut (Dayang bagi tau). Tadi mat masak asam rebus ikan kembung campur terung tu...Sedap laa, rasa dia manis2 lemak, ada masam2 sikit....Terima kasih pada "Dayang Kek Lapis"....

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 ekor ikan kembung saiz besar
1 biji terung asam dayak
2 helai daun kunyit, disiat2
2 keping asam gelugor
1 kiub ikan bilis "Maggi" (optional)
Garam dan gula secukup rasa
1 biji bawang besar*
2 ulas bawang putih*
1 biji cili merah*
10 biji cili padi*
3/4 inci kunyit hidup*(*ditumbuk lumat)
Air secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan disiang, bersihkan, cuci dan tos. Terung dikupas, belah 8, buang biji, cuci dan celur sekejap. Toskan.
  2. Dalam periuk masukkan air secukupnya (anggaran 750ml), bahan2 tumbuk lumat, asam gelugor dan kiun ikan bilis. Jerang atas api hingga mendidih.
  3. Masukkan ikan dan terung tadi. Tambah secubit gula dan garam secukup rasa. Biar mendidih perlahan hingga ikan masak. Hidangkan panas2 bersama nasi dan ulam-ulaman...

Friday, April 3, 2009

BAKWAN TIRAM PEDAS

Bakwan Tiram Pedas

2 - 3 hari lepas mat jalan2 ke blog "SupJagungManis" kepunyaa "Deetha", ternampak dia buat "Bakwan Tiram Pedas" atau di Malaysia boleh kita panggil "Cucur Cendawan Tiram Pedas", respi dia mudah dan yang penting cendawan tiram tu mesti segar....

Bakwa Tiram Pedas

Rasa sedap dan cucurnya tak berminyak sangat, walau pun menggunakan tepung berserbuk penaik, mungkin ada campuran tepung beras dalam adunannya. Jadi kalau macam tatau lah nak buat apa untuk minum petang, bolehlah mencuba....Terima kasih pada Deetha...



BAHAN-BAHANNYA :-)

A...
1 cawan tepung beserbuk penaik (self-raising flour)*
1/2 cawan tepung beras*(*disatukan dan diayak)
1 biji telur
3 ulas bawang putih, cincang halus
Garam secukup rasa
Serbuk lada sulah secukupnya
3/4 cawan air ( kurang lebih)

B...
2 biji cili padi, hiris halus (mat guna 1 biji cili merah)
80 g cendawan tiram, potong kecil
1 genggam hirisan kobis (mat ganti dengan 1 biji bawang besar)
1 pokok daun bawang, hiris halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satukan bahan2 "A" dan kacau hingga sebati. Masukkan bahan "B", gaul hingga rata. Ketepikan sebentar.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, rendam sudip leper dalam minyak tadi dan biar hingga panas. Tuang satu camca besar adunan no. 1 atas sudip panas dan rendam dalam minyak, biar hingga adunan timbul.
  3. Goreng hingga kuning keemasan, angkat dan toskan atas paper towel. Buat hingga siap. Hidangkan bersama sos cili atau tomato untuk minum petang.....

Wednesday, April 1, 2009

ASAM PEDAS MELAKA

Asam Pedas Melaka

Memang dah lama nak mencuba resipi "asam pedas melaka"....dari blog "Rozzan", rasa2nya seakan2 "asam kari"...tapi kurang sedikit rasa rempahnya, memandangkan hanya jintan manis dan lada hitam digunakan...Tapi pada pendapat peribadi mat lahh, asam pedas ni sedapp, sesuai juga kalau ikan tu diganti dengan ayam....Oh yea..sebelum lihat resipi, ada satu pantun maklumlah "Melaka" kann....

Kunang-kunang di balik awan,
Buah berangan di dalam raga,
Sedap rasa rupa menawan,
Itu lah asam pedas Melaka

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg ikan tenggiri (boleh guna apa2 ikan atau ayam)
2 biji terung
2 biji tomato
2 kuntum bunga kantan
1 cawan cili kisar
Garam dan gula secukup rasa
1 cawan jus asam jawa
750 ml air (lebih kurang)

A (KISAR HALUS)...
1 biji bawang besar
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
3 cm kunyit hidup
2 cm halia
1 camca besar jintan manis
1 camca teh lada hitam biji
1 cm belacan (resipi asal tak letak)

B...
1 biji bawang besar, dihiris
1/2 camca teh halba
1/2 camca teh biji sawi
3 - 4 tangkai daun kari

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan dibersihkan, cuci dan toskan.Terung dikerat 2, belah 2 setiap keratan dan hiris tapi tidak putus, rendam dalam air garam. Tomato dibelah 2 setiap biji. (boleh letak bendi, kalau suka)...Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan "B" hingga harum dan perang, masukkan bahan "A" dan juga cili kisar, goreng dengan api sederhana hingga terbit minyak. Tuang air dan biar mendidih.'
  3. Masukkan ikan, jus asam jawa dan tambah garam secukup rasa dan sedikit gula (nak guna serbuk perasa pun ok). Bila mendidih, masukkan terung (dan bendi, jika guna).
  4. Akhir sekali masukkan tomato, masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan hangat bersama nasi, sambal belacan dan ulam-ulaman....





Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.