BEN ASHAARI

Tuesday, December 30, 2008

PIZZA GEBU

Pizza Gebu

Apa yang penting kerjaasama!!!!!....Petang tadi, mat dan anak buah bergotong-royong buat pizza, inti dia main belasah apa yang ada. Tapikan benda2 makan ni kalau kita buat dan ada orang memakannya, rasa seronok tau, tak delah rupa macam tak "laku" jeee....Resipi dibawah ni boleh buat 2 keping pizza...

BAHAN DOH :-)
500 g tepung roti
250 ml air suam
10 g yis segera
1 camca besar gula halus
1 camca teh garam halus
4 camca besar mentega
1 camca teh bread softerner
1 camca teh bread improver

BAHAN ISIAN :-)
1 1/2 cawan sos tomato
6 batang sosej ayamas, hiris bulat
10 kuntum cendawan butang, dihiris
1/2 biji red capsicum
1/2 biji yellow capsicum
1/2 biji green capsicum
10 biji buah zaitun, belah 2 setiap biji
Keju Mozarella secukupnya
1 camca teh lada hitam yang baru dikisar



CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK DOH :- Bancuh yis dengan gula dan 1/2 bahagian air suam, kacau rata dan tunggu berbuih. Sementara itu, gaul garam, bread improver/softerner dengan tepung hingga rata, lambakkan atas meja bersih dan buat lubang dibahagian tengah tepung, tuang bancuhan yis dan baki air suam sedikit demi sedikit sambil menggaul tepung hingga menjadi doh. Uli hingga lembut. Masukkan mentega dan uli hingga doh licin dan kenyal (kena uli lama sikit). Bulat2kan doh dan alih ke dalam bekas, tutup dengan kitchen towel yang besih dan biarkan 1 jam hingga naik sekali ganda. KAEDAH LAIN :- Masukkan semua bahan untuk doh ke dalam bread maker, pilih setting untuk doh dan tekan on, tunggu hingga siap.
  2. UNTUK PIZZA :- Panaskan oven pada suhu 200C, lenser dulang pizza dengan sedikit mentega, bagi 2 doh, ambil satu bahagian, bulat2kan dan canai, alih doh ke dalam dulang tadi dan tekan supaya rata dan bulat. Masukkan ke dalam oven dan bakar kosong selama 5 minit. Keluarkan dan sapu dengan sos tomato dan tabur bahan2 inti ikut suka dan akhir sekali tabur parutan keju mozarella dan lada hitam. Bakar kembali selama 20 - 25 minit hingga keju cair dan roti pizza kelihatan kekuningan. Boleh dihidangkan.....

SAWI IKAN MASIN

Sawi Ikan Masin

Masakan ni palinggg sedap dan menyelerakan, tapi syaratnya kena makan selagi hangat bersama nasi hangat dan juga sambal belacan....tak yah lauk lain dahhh!!!

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 g sawi cina jenis pendek @ bok choy
50 g daging ikan masin tenggiri
1 biji bawang besar, hiris halus
4 ulas bawang putih, diketuk
2 biji cili merah, hiris serong
2 1/2 camca besar sos tiram
1 camca besar kicap cair
Sedikit air
Minyak untuk menumis

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Sawi cina @ bok choy, dicuci bersih, asingkan tangkai dan daunnya, siang berasingan. Daging ikan masin tenggiri, dicuci, keringkan dan dadu kecil. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, goreng ikan masin hingga kekuningan, tolak ke tepi kuali, masukkan hirisan bawang besar, bawang putih dan cili hiris, tumis hingga harum, gaul bersama ikan masin tadi.
  3. Masukkan sos tiram, kacau rata dan tuang sedikit air. Masukkan batang sawi cina dan masak hingga lembut, masukkan pula daunnya, kacau dan tuang kicap cair. Kacau pantas dan masak dengan api yang besar.
  4. Bila nampak layu sedikit, matikan api dan rasa, jika ok, boleh dihidangkan segera bersama nasi....

ASAM PEDAS MUDAH

Asam Pedas Mudah

Tadi pagi mat beli ikan pari kecil atau lebih dikenali sebagai "tuka", selain dibakar, sedap juga kalau dimasak asam pedas. Walaupun rasanya mat dah letak banyak resipi asam pedas, tapi kali ni mat masak asam pedas paling mudah dan senang....Tak percaya kaa?..

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 - 4 ekor anak ikan pari@tuka
3 kuntum bunga kantan
1/2 cawan jus asam jawa
1 cawan cili kisar
3/4 camca teh serbuk kunyit
7 - 8 biji tomato ceri
Garam dan secubit gula
8 ulas bawang merah*
3 ulas bawang putih*
1 inci belacan*(*tumbuk lumat)
700 ml air (atau secukupnya)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan pari disiang dan belah 4 setiap ekor (ikut saiz ikan masing2), cuci bersih dan perap dengan jus limau kasturi dan garam selamar 10 minit, cuci lagi dan toskan. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan tumbuk lumat hingga harum, masukkan serbuk kunyit dan masak sekejap. Tambah cili kisar dan sedikit garam, masak hingga terbit minyak. Guna api sederhana.
  3. Tuang air dan masukkan bunga kantan. Bila mendidih, masukkan ikan pari dan juga jus asam jawa. Tambah tomato dan secubit gula, masak hingga ikan masak. Rasa jika perlu tambah garam. Hidangkan bersama nasi hangat.
  4. Kalau suka boleh juga letak terung, bendi atau sawi jeruk...

MENERIMA KUNJUNGAN TETAMU.....

Pada 29hb Disember 2008, mat menerima kunjungan "Mama Zieza" dari R-Net dan rakan2 yang lain, pada masa yang sama juga mat menerima kunjugan CT Delima dan Cik Mat serta Kasawari dan Linda.Apa2 pun kita tegok gambar2 dulu yeaa, maaf gambar mereka yang hadir, mat tak sempat u nak tangkap......





Sejak 25 hb hari tu, anak sedara mat balik bercuti, jadi bila dah ada, apa yang kita masak dan buat dengan sukarela dia menjadi model. Tapi dia banyak membantu, biasalah anak dara, mana leh malas2.....Sweetkan anak dara aku tuu!!! Berbalik cerita pasal Mama Zieza dari R-Net dan rakan2 beliau (psttt...RinChan pun ada uu!) sudi bertandang ke rumah mat. Perancangan mama Zieza tu dah lama dan mat sedia maklum lah. Persiapan pun mat buat cuma ala kadar sahaja...Harap mama zieza, rinchan dan yang lain tak serik lah, kalau lalu2 ke selatan tu singgah lah yea, terima kasih juga untuk buah tangan tuu!!....Mat hidangkan lauk ala2 kampung sahaja, ada gulai pisang muda dengan tulang ikan kurau masin, ayam kalasan (resipi Norzailina Nordin), sambal belacan dan mix vege with beef. Di samping tu, mat buat juga dadih strawberry, blueberry muffin dan strawberry celup coklat. Buah2an segar sebagai pencuci mulut dan kek marble sebagai buah tangan. Tak lupa nak ucapkan ribuan terima kasih pada CT Delima, Cik Mat dan anak2 beliau yang sudi singgah, depa ni nak balik KL, tapi luangkan juga masa singgah rumah mat, terharu niee...Dan juga pada Kasawari dan Linda kerana sudi meluangkan masa sebagai jurupandu CT dan CM ke rumah mat, kasawari dia okk, jenis tak banyak karenah, maklumlah "burung"...burung apa?.....burung kasawari!!!..

Saturday, December 27, 2008

AL-FATIHAH BUAT ALMARHUM TUANKU JA'AFAR OF NEGERI SEMBILAN

AL - FATIHAH

Al-Fatihah untuk Almaruhum Tuanku Ja'afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, yang diPertuan Besar Negeri Sembilan, moga Allah mengampunkan dosa2 dan mencucuri rahmat ke atas roh "Tuanku". Takziah juga untuk seluruh kerabat2 di raja, pembesar2 dan juga rakyat Negeri Sembilan.....

Thursday, December 25, 2008

MIX VEGE WITH BEEF

Mix Vege With Beef

Salam untuk semua, payah betul nak update n3 sejak2 ni, tetamu datang silih berganti, jadi waktu agak terbatas nak mentenet. Walaupun memasak, tapi tak dann laa nak tangkap gambar, segan u, i nak ber"aksi", sebab ada tetamukan, buat nya kita tengah tonggeng2 semua, depa nampak...Habis kanggg rahsia i..ahaks...Apa2 pun hari ni sempat masukkan satu resipi yang biasa2 saja. Guna sayur yang ada dalam simpanan dan daging.....Jom tengok resipi.

BAHAN-BAHANNYA :-)
300 g daging batang pinang
1/2 biji capsicum merah, didadu
1/2 biji capsicum hijau, didadu
5 putik jagung potong serong
10 kuntum cendawan butang, potong 2
150 g brokoli, potong sekuntum2
10 biji telur puyuh, rebus keras, kupas dan goreng
1 tiub tauhu jepun, potong dan goreng
1 biji bawang besar, hiris
3 ulas bawang putih, cincang halus
1/2 inci halia*
2 ulas bawang putih*(*tumbuk lumat)
2 camca besar sos tiram
1 camca besar sos lada hitam
2 camca besar kicap cair
1/2 cawan air
Garam jika perlu
Hirisan daun bawang untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Daging dihirs nipis, cuci, toskan dan gaul dengan bahan tumbuk lumat, perap 20 minit. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bawang putih dan bawang besar hingga harum, masukkan sos tiram dan sos lada hitam. Gaul rata dan masuk daging tadi, kacau dan tuang air. Masak hingga daging lembut.
  3. Masukkan brokoli, capsicum merah/hijau dan putik jagung. Kacau rata, tambah kicap cair dan masukkan bahan2 selebihnya kecuali daun bawang dan garam.
  4. Masak hingga kuah pekat dan sayur masak, rasa dan jika perlu tambah garam. Tabur hirisan daun bawang dan hidangkan panas bersama nasi hangat dan sambal belacan..

KAD UCAPAN TAHUN BARU DARI "FARAH"

Terima kasih mat ucapkan pada "Farah" dari blog "Mommy Otai", atas tanda ingatan beliau, selamat tahun baru juga pada semua yeaa.....

Sunday, December 21, 2008

MATCHA MARBLE CAKE

Matcha Marble Cake

Matcha Marble Cake atau Kek Marble Teh Hijau. Resipi mat dapat dari fotopage "Muna" yang sentiasa awet muda tuuu, psttt, nak gossip sikit, dia tu kan bukan pandai masak2 jee u, gubah bunga pandai, clay modeling pandai, melukis pandai, gardening punn pandaiii, serba serbi pandai lah pendek kata..

Matcha Marble Cake

Terima kasih yea kongsi resipi ni, sedap leerr...Nak tau tak, ni lah 1st time mat rasa kek yang dicampur dengan serbuk teh hijau, kesiann kan aku..hehehe...

BAHAN-BAHANNYA :-)
140 g mentega
2 biji telur gred A
120 g gula halus
120 g tepung gandum*
1/2 camca teh baking powder*(*digaul dan diayak)
60 g serbuk badam
2 camca besar serbuk teh hijau (mat guna 1 camca besar je..hehehe, jimat u!)
2 camca besar air panas

Contoh Green Tea Powder yang mat guna, ianya dikisar halus bak tepung dari teh hijau asli :-)



CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satukan serbuk teh hijau dengan air panas dan kacau rata hingga menjadi paste. Satukan tepung yang diayak bersama serbuk badam, gaul rata. Ketepikan.
  2. Putar mentega dan gula halus hingga putih, masukkan telur satu persatu dan terus memutar hingga adunan kembang.
  3. Pada speed perlahan, masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga habis. Gaul rata. Cedok keluar 1/3 adunan dan bancuh dengan paste teh hijau, kacau hingga sebati.
  4. Dalam tin yang telah disapu mentega dan alas dasarnya dengan kertas, tuang adunan kosong dan diikuti adunan teh hijau, pusing dengan chopstick untuk mendapat kesan marble.
  5. Bakar 180C selama 40 minit atau hingga masak bergantung pada oven masing2. Sejukkan atas jaringan sepenuhnya sebelum dihidangkan...

COLEK TENGGIRI

Colek Tenggiri

Ini resipi belah2 pantai timur, memang kena sangat pada tekak mat, makan dengan nasi hangat yang dimasak lembut sedikit, aduhhhh...sedappp!!!!, buat dia amat mudah...Resipi asal dari "Zaliana", mat ambik kat MyResipi....

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 kepingan ikan tenggiri
1/3 cawan air masak
2 camca besar gula (mat guna 1 camca besar jee)
2 camca teh garam (mat guna 1 camca teh lebih sikit)
5 biji cili padi (mat guna 10 biji),
2 - 3 biji limau nipis, ambil jusnya
1 inci belacan, dibakar sedikit
1 biji tomato, didadu
1 biji bawang besar, didadu
Sedikit daun ketumbar, dihiris

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan tenggiri dibersihkan, lumur dengan sedikit garam dan panggang hingga masak. Susun dalam pinggan sesuai.
  2. Tumbuk cili, gula garam dan belacan hingga hancur. Campur dengan semua bahan2 lain dan gaul rata. Tuang atas ikan tadi dan hidangkan segera bersama nasi hangat....ishh sedapp nihhh!!!

SUP GEAR BOX

Sup Gear Box

Ini sup kalau makan, body baik jadi berbahang, panas dan kejap lagi boleh keluar asap!!!...Sup ni biasa orang makan siap dengan straw, bukan untuk sedut kuah, tapi sedut sum-sum tulang dia yang lemak berkrim tuu (tapi maaf, mat tak makan u benda tu...alergi!!!)....Kuah dia pulak kalau dibuat mee sup, atau untuk stok mee rebus ke, hai yooo waa cakap sama luu beb...meletopsss!!!...

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 ketul tulang yang ada daging
4 - 5 liter air (atau secukupnya)
5 inci halia tua*
10 biji bawang merah*
6 ulas bawang putih*
1 inci lengkuas*
1 1/2 camca besar lada hitam biji*
2 camca besar ketumbar*
1 camca teh jintan halus*
1 camca teh jintan manis*
1/2 inci kunyit hidup*
1 biji pala*(*dikisar halus)
2 batang kayu manis
2 kuntum bunga lawang
5 biji buah pelaga
8 kutum bunga cengkih
1 pokok daun ketumbar, potong kasar2
1/3 cawan bawang goreng
Garam secukup rasa

BAHAN SAMPINGAN :-)
Hirisan daun bawang
Hirisan dan sup
Bawang goreng
Sambal kicap

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Bersihkan tulang lembu, cuci, toskan dan masukkan ke dalam periuk yang sesuai. Tuang air dan masukkan bahan2 kisar halus, sedikit garam, kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang, buah pelaga, daun ketumbar dan bawang goreng.
  2. Masak dengan api besar hingga mendidih, kemudian kecil kan api dan renih hingga daging2 pada tulang lembut dan empuk. Masa merebus lebih kurang 4 jam bergantung pada jenis lembu, kalau lembu tua kenalah rebus lama, kalau lembu muda cepat sikit laaaa...
  3. Bila empuk, rasa kuah dan tambah garam jika perlu. Hidangkan bersama bahan2 sampingan dan terpulang pada masing2 cara mana untuk menikmati sup gea box nie, nak makan dengan mee punn sedapp.....

Friday, December 19, 2008

MEE REBUS CIK ANI

Mee Rebus Cik Ani

Petang ni tadi masa ke hulu, ke hilir kat dapur, bukak peti sejuk semua, selongkar apa yang ada, dan terus teringat nak buat mee rebus. Linn hari tu tayang dia makan mee rebus Haji Wahid yang femes kat Johor Baharu tu....

Mee Rebus Cik Ani

Tapi ini bukan Haji Wahid punya, ini mee rebus "Cik Ani" yang punyaaaa....HAHAHAHAHA!!!, sapa Cik Ani tu?...Dia tu bonda pada Chef Wan leerr, resipi pun Chef Wan punya...Tapi buatnya ringkas dan rasa dia sedap. Resipi kat bawah ni mat dah "kecut" dari resipi asal, kalau ikut dalam buku, resipi untuk 2kg mee kuning!!!!!.....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg mee kuning
150 g taugeh, buang ekor
2 keping tauhu, goreng terendam, hiris nipis
2 biji cili hijau, hiris
1 biji cili merah, hiris
1 pokok daun sup, hiris
1 pokok daun bawang, hiris
4- 5 biji telur rebus, kupas dan belah 2
6 biji limau kasturi, belah 2
Bawang goreng secukupnya
Kuah mee rebus*

BAHAN KUAH MEE REBUS* :-)
1/4 cawan minyak masak
2 camca besar rempah kari daging
2 1/2 camca besar tauco, tumbuk lumat
500 g daging lembu (sedap yang ada lemak sikit)
5 - 6 cawan air
500 g keledek
1 cm lengkuas, dititik
1/3 cawan kacang tanah, goreng tanpa minyak dan kisar halus
1 biji tomato, belah 4
7 biji bawang merah kecil*
3 ulas bawang putih*
1 cm halia*(*tumbuk halus)
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH MEE REBUS :- Daging dihiris nipis dan rebus hingga lembut (kalau guna daging batang pinang tak perlu rebus dulu). Keledek direbus hingga lembut dan kisar halus. Panaskan minyak, tumis bahan tumbuk halus hingga harum, tambah taucho dan rempah kari, kacau rata. Tambah sedikit air jika perlu. Masukkan daging (kalau daging rebus, masukkan sekali air rebusannya), air, keledek dan lengkuas. Masak perlahan selama 20 minit. Tambah kacang tanah kisar dan tomato, perasakan dengan garam dan gula. Masak hingga kuah pekat. (selalunya kuah mee rebus perlu manis sedikit).
  2. PENYEDIAAN MEE REBUS :- Celur mee dan taugeh mengikut kuantiti yang diperlukan. Letak dalam bekas sesuai. Kacau kuah dan tuang atas mee. Letak telur rebus dan taburkan cili hijau/merah, tauhu, hirisan daun sup/daun bawang, bawang goreng dan diakhiri dengan perahan jus limau kasturi. Hidangkan segera....

GULAI NANGKA BEREMPAH

Gulai Nangka Berempah

Hari ni masak gulai nangka, campur dengan tulang ikan kurau masin dan sedikitttt isinya. Juga diperisakan dengan rempah ratus dan herba. Baunya cukup mengasyikkan. Kadang2 terfikir jugak, tentang kebijaksanaan orang2 dahulu kala dalam mengimbangkan rasa dalam sesuatu masakan, yelah kalau main lebur semacam mesti rasa pelik...Apa2 pun citarasa semua bergantung pada tekak dan selera masing2...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg nangka muda yang siap dikupas
7 ketul tulang ikan kurau masin*
1 keping kecil isi ikan kurau*(*direndam 10 - 15 minit dan toskan)
2 batang serai, dititik
1 keping asam gelugor
700 ml santan cair
300 ml pati santan
Garam dan sedikit gula
15 biji bawang merah*
4 ulas bawang putih*
1/2 inci lengkuas*
1 inci kunyit hidup*
3 biji buah keras*
1 camca besar ketumbar biji*
1 camca teh jintan manis*
1 camca teh jintan halus*
1/2 inci belacan*
5 biji cili merah*
3/4 camca teh lada hitam biji*(*dikisar halus)
Sedikit minyak untuk menumis

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Nangka muda dipotong sederhana besar, cuci dan rebus dengan sedikit garam hingga nangka lembut sedikit. Toskan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan2 kisar hingga harum dan terbit minyak, masukkan serai, tulang dan isi ikan kurau masin tadi, kacau rata. Masukkan nangka, gaul hingga nangka bersalut dengan rempah.
  3. Tuang santan cair dan masak hingga mendidih, masukkan asam gelugor, sedikit gula dan garam secukup rasa. Biar mendidih perlahan hingga nangka masak. Akhir sekali tuang santan pekat, kacau rata dan didihkan 1 - 2 minit.
  4. Rasa dan jika ok boleh matikan api, hidangkan bersama sambal belacan dan nasi hangat, kalau ada ikan goreng pun sedappp!!!!

Wednesday, December 17, 2008

TOM YAM LEMAK

Tom Yam Lemak

Mat perasandah lama dulu, ada satu rancangan masak2 di TV Suria (siaran TV Singapura), depa masak tom yam tapi campur susu cair....Nampak macam aneh kan, hari ni mat cuba buat tapi guna santan...Rasa dia memang berbeza...berkrim sungguh (kalau letak susu tu pun sedap juga!!)...Memandangkan stok udang galah dan ketam ada lagi dalam simpanan, apa salahnyakan, alergi ke, gatal ke, miang ke, buat2 lupa sekejap laaa....Lepas makan baru fikir laaaa!!!

BAHAN-BAHANNYA :-)
400 g udang sederhana besar, buang kotoran dikepalanya cuci dan toskan
6 - 8 ekor ketam, kupas, potong kakinya dan bersihkan
1/2 batang lobak merah, kupas, belah 4 dan potong serong setiap belahan
100 g bunga kubis, potong sekuntum2
2 biji tomato, belah 4 setiap biji
5 batang putik jagung, belah dua setiap 1 dan kerat 2
8 kuntum cendawan butang, belah dua setiap satu
2 kiub stok ayam 'MAGGI"
2 camca besar penuh pes tomyam
1200 ml air (atau secukupnya)
5 biji limau kasturi, perah jusnya
3/4 cawan santan
3 helai daun limau purut
2 batang serai, dititik
1 inci lengkuas, dititik
1 biji bawang besar, belah 4
1 pokok daun ketumbar
2 - 3 camca besar sos ikan
10 - 15 biji cili padi, dititik
1/2 camca teh serbuk lada hitam
Secubit gula
Hirisan daun bawang untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Didihkan air, masukkan kiub ayam, pes tomyam, serai, lengkuas dan bawang besar. Biar mendidih, kemudian kecilkan sedikit api. Masukkan lobak merah, cendawan dan sos ikan.
  2. Kemudian masukkan, putik jagung dan bunga kubis, kacau rata dan letak daun limau purut dan daun ketumbar. Masukkan serbuk lada hitam dan cili padi. Bila mendidih, masukkan udang dan ketam.
  3. Tambah secubit gula dan jus limau kasturi. Rasa dan jika perlu tambah garam. Tuang santan dan masukkan tomato, masak dengan api kecil sehingga mendidih, kacau selalu.
  4. Hidangkan segera dan hias dengan hirisan daun bawang. Jika menggunakan susu cair, didihkan sekejap saja....

Monday, December 15, 2008

TAUHU GORENG SINGAPURA

Tauhu Goreng Singapura

Cuaca hujan sepanjang hari, nak masak pun rasa malas...Tapi yang ni orang malas pun boleh buat, senang, sedap dan sihat. Resipi "Tauhu Goreng Singapura", mat dapat dari buku masakan "Chef Wan". Ianya ala2 rojak tapi lebih simple, yang buatkannya lebih kick ialah sos kacang yang pedas!!!!.....

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 keping tahu biasa
1 biji timun, dihiris nipis dan dimayang
100 g taugeh, buang ekor dan celur sekejap (mat tak celur punnn)
1/2 biji sengkuang, kupas, hiris nipis dan dimayang
4 ulas bawang putih*
5 - 6 biji cili padi*
200 g kacang tanah*
3 - 4 camca besar gula melaka*
3 camca besar kicap pekat*
1 1/2 - 2 camca besar cuka makan @ jus asam jawa*
Sedikit air*(*bahan sos kacang)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kacang tanah digoreng tanpa minyak hingga perang, buang kulit dan tumbuk separuh halus. Kisar cili padi dan bawang putih. Campurkan semua bahan2 sos kacang dan kacau hingga rata. Tambah sedikit air jika perlu, jangan terlalu cair atau pekat, sesuaikan rasa dan tambah gula@garam@asam jika perlu. Ketepikan.
  2. Tauhu dilumur dengan sedikit garam, goreng terendam hingga kuning keemasan, jangan goreng lama sangat. Keluarkan dan tos.
  3. Ambil sekeping tauhu goreng tadi. Potong kepada 9 bahagian (bergantung pada saiz tauhu masing2), alihkan ke dalam pinggan, tabur atas tauhu tadi dengan hirisan timun, sengkuang dan taugeh. Tuang sos kacang secukupnya dan hidangkan segera...Makan macam tu pun sedap!!!!!

Sunday, December 14, 2008

AYAM PONGTEH

Ayam Pongteh

Ayam Pongteh ni, ialah ayam yang dimasak secara merenih perlahan dengan pes taucho, kalau makan keesokkan harinya lagi leer sedap u, rempah semua dah sebati dengan ayam...

Ayam Pongteh

Selalunya mereka masak sempena Tahun Baru Cina atau hari2 kebesaran lain. Rasanya ala2 masak kicap pun ada. Tapi pada mat rasa dia sedap dan unik (sumpah!!! tak pingsan lepas makan!!)...

BAHAN-BAHANNYA :-)
800 g ayam, dipotong ikut suka, cuci bersih dan toskan
1 inci halia, tumbuk halus
1 camca teh serbuk kunyit
1/2 camca teh garam
20 biji bawang merah*
8 ulas bawang putih*(*dikisar halus)
1/3 cawan jus asam jawa
1 inci halia, dititik
3 - 4 biji kentang, kupas dan belah 4 setiap biji, rendam dalam air
10 kuntum cendawan butang (mat guna yg dalam tin jee)
3 biji cili merah, dibelah tapi tak putus, rendam dalam air
1/2 cawan taucho, dihancurkan
1 pokok daun sup, potong kasar2
1 liter air
2 camca besar kicap cair
2 camca teh kicap pekat
Sedikit gula
Hirisan daun bawang untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Gaul ayam tadi dengan 1/2 camca teh garam, serbuk kunyit dan halia tumbuk hingga rata, perap 1 - 2 jam. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan kisar halus dan halia titik hingga harum, masukkan taucho dan tumis hingga terbit minyak. Masukkan ayam dan gaul, biar ayam kecut sedikit.
  3. Tuang air, jus asam jawa dan masukkan kicap pekat, kicap cair, kentang dan cendawan butang. Kacau rata dan biar mendidih. Masukkan daun sup dan kecilkan api. Renih 25 - 30 minit hingga ayam dan kentang empuk.
  4. Masukkan sedikit gula dan belahan cili merah. Rasa dan jika perlu tambah sedikit garam. Hias dengan hirisan daun bawang sebelum dihidangkan bersama nasi hangat dan sambal belacan....

NYONYA CHAP CHAI

Nyonya Chap Chai

Jom makan masakan nyonya...sat lagi mesti ada yang pening, sambil garu2 pala..ye lah skit2 masakan nyonya...Biasa lahh benda ni kan salah satu hidangan "fusion" yang femes ciptaan kaum peranakan...

Nyonya Chap Chai

Lagi satu benda2 yang digunakan bukannya "HARAM"..semua kita boleh makan. Kat dalam dunia ni ramai lagi manusia yang makan benda yang dilarang...Macam dah tak cukup makanan "HALAL"....

BAHAN-BAHANNYA :-)
250 g udang kecil (mat guna udang "kertas", jadi tak buang kulit)
4 ulas bawang putih, cincang halus
1 biji bawang besar, hiris nipis
1 biji cili merah, hiris halus
2 camca besar tauco
2 camca besar kicap cair
Secubit gula dan garam
4 keping cendawan telinga tikus (black fungus)
1/2 cawan kincam, disimpul, rendam 10 minit dan toskan
30 g fucuk, dipotong kecil dan rendam
300 g kobis, hiris (mat ganti dengan bunga kobis)
30 g soo hoon, rendam dan potong pendek
1/2 cawan air
2 tangkai daun bawang, dihiris untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bawang putihm dan bawang besar hiris hingga layu, masukka tauchu dan masak hingga harum, masukkan udang, kacau rata dan tuang air. Biar mendidih.
  2. Masukkan kicap cair, fucuk, kincam dan cili hiris, kacau rata dan kecilkan api. Masukkan soo hoon, kacau rata dan masak hingga fucuk lembut, tambah secubit gula dan garam (jika perlu). Kacau dan rasa, jika ok boleh angkat dan hidangkan..

Thursday, December 11, 2008

KEK MARBLE TRIO AGAIN!!!!

Kek Marble Trio

Ini kek marble yang paling kerap mat buat, bukan saja lembut dan gebu tapi lembap. Cara nak mencorak marble tu terpulang pada individu. Mat rasakan, kalau buat plain je pun sedap, ala2 butter cake gitu...Cubalah kalau tak caya...mesti tak nyesal waa cakap sama luuu beb!!!...Tak lupa, jutaan terima kasih mat ucapkan pada Linn (wajah dia kan ada iras "Farah Fauzana" HOT FM), Kasawari+Linda dan anak2 mereka, kerana sudi bertandang ke teratak hamba yang nun jauh di pendalaman....hehehe!!!

BAHAN-BAHANNYA :-)
300 g mentega (guna unsalted butter lagi sedap)
280 g tepung gandum*
1 camca besar susu tepung*
1 camca teh baking powder*(*digaul rata dan ayak)
5 biji telur gred A
1 camca besar ovallate
250 g gula halus
30 g gliserin*
20 ml air*(*disatukan)
1 1/2 camca teh coklat emulco
1 camca teh strawberry emulco
1 /2 camca teh rose essence


CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Lenser tin berukuran 8 x 8 x 3 inci dengan mentega, alas dasar tin dengan kertas minyak, lenser kertas tadi dengan sedikit mentega. Ketepikan.
  2. Putar mentega hingga pucat, pada speed sederhana, masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga habis, putar rata dan alihkan ke dalam mangkuk lain.
  3. Dalam mixing bowl yang bersih dan kering, masukkan gula halus dan ovallate, putar hingga rata. Masukkan kelima2 biji telur, dan putar pada kelajuan tinggi hingga telur kembang dan kental seperti adunan baulu (macam dalam gambar).
  4. Perlahankan sedikit speed dan masukkan adunan no. 2 sedikit demi sedikit hingga habis, putar rata dan masukkan bancuhan air + gliserin, gaul rata.
  5. Bahagikan adunan kepada 3 bahagian. 1 bahagian + coklat emulco, 1 bahagian + strawberry emulco dan 1 bahagian + rose essence (yang ini biar plain). Tuang aduan secara berselang seli dalam tin tadi. Lorekkan dengan hujung pisau atau chopstik, pastikan hujung pisau/chopstik sampai ke dasar adunan.
  6. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 175C selama 55 minit hingga 1 jam, bergantung pada oven masing2. Sejukkan atas jaringan sepenuhnya sebelum dihidangkan.
CATATAN MAT GEBU :- Kalau tak de gliserin, abaikan gliserin dan air, ganti dengan 50 ml susu cair atau whipping cream. Pasal perisa dan pewarna untuk marble tu boleh ikut citarasa masing2. Oven perlu dipanaskan 10 minit sebelum membakar kek.



Tuesday, December 9, 2008

MOIST CHOCOLATE CAKE

Moist Chocolate Cake

Semalam menerima kehadiran tetamu, tak lain tak bukan Mr "Kasawari17 dan "Linda" (isteri kasawari)....Plan sebenarnya ada sorang lagi blogger "vouge (Sis_Linn)" nak datang, tapi dia ada hal yang tak dapat dielakkan...Jamu benda yang biasa2 saja...Cuma buat kek coklat lembap. Resipi pernah letak kat sini dulu...tak pelah, mat kopipaste balik, boleh lihat kat bawah ni yeaa....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cawan tepung kek/tepung gandum*
1 camca teh serbuk penaik*(*digaul dan diayak 3 kali)
1 cawan gula halus (castor sugar)
2 biji telur gred A
125 g mentega
1 camca teh esen vanilla
1/2 cawan serbuk koko*
1/2 camca teh nescafe*
1/4 cawan gula halus*
1/2 cawan air panas*
1/4 cawan susu cair*(*disatukan hingga menjadi pes coklat)

BAHAN COKLAT GANACHE :-)
100 g coklat masakkan
50 ml UHT Whipping Cream (boleg ganti dengan susu 100 ml susu cair)
1 camca teh mentega

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 175C. Lenser tin berukuran ( 5 x 8 x 3 ) inci dengan mentega dan alas dasarnya dengan kertas minyak. Ketepikan.
  2. Pukul mentega dan gula halus hingga putih. Masukkan esen vanilla dan telur satu persatu sambil terus memutar hingga adunan kembang dan gula hancur.
  3. Perlahankan speed, masukkan tepung berelang seli dengan pes coklat hingga habis. Gaul hingga rata dan sebati.
  4. Tuang adunan tadi dalam tin. Bakar dalam oven selama 45 - 50 minit. Sejukkan sebelum dihias dengan chocolate ganache jika suka...
  5. UNTUK GANACHE:- Satukan coklat dan UHT Whipping Cream dalam mangkuk tahan panas. Cairkan secara double-boiler, bila semua larut, matikan api dan masukkan mentega dan gaul rata. Biarkan suam dan boleh tuang atas kek coklat tadi.

Monday, December 8, 2008

KAD HARI RAYA DARI "NOORSHA"


Minta maaf pada "Noorsha" sebab lewat ambil kat hari raya ni..Apa2 pun terima kasih atas tanda ingatan ini yeaa...Kesian tengok ayam tu kan, macam dah tau je nasib dia kalau time2 nak raya.......

Sunday, December 7, 2008

UDANG NENAS ALA THAI

Udang Nenas Ala Thai

Letih woo hari ni..mata pun macam dah blur2....berkelip je nampak "bantal" u.....ahaks, apa2 pun kita tengok resipi masakan ni dulu....

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 g udang galah
1 cawan kiub nenas berkaleng dalam tin
1/2 cawan sirap nenas (dari dalam tin tadi)
1 genggam daun selasih (sweet thai basil)
1 biji bawang besar, hiris bulat
2 ulas bawang putih, hiris nipis
1/2 inci belacan
2 camca besar cili kisar
1/2 cawan sos cili thai
1 camca teh sos ikan (nampla)
Brokoli secukupnya (jika suka), potong sekuntum2 dan celur 2 minit dalam air mendidih bergaram, toskan.

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Udang galah disiang, buang kotoran dibahagian kepalanya, cuci kembali, gaul dengan sedikit kunyit serbuk dan garam hingga rata. Goreng hingga kuning keemasan, angkat dan toskan.
  2. Tinggalkan lebih kurang 1/3 cawan minyak dalam kuali, tumis bawang putih dan bawang besar hingga layu, masukkan belacan, pecah2kan dan goreng hingga harum, tuang cili kisar, gaul rata dan tumis hingga cili garing.
  3. Masukkan sos cili thai, jus nenas dan sos ikan, kacau rata dan masukkan udang dan kuib nenas, gaul hingga rata dan masak hingga pekat.
  4. Akhir sekali masukkan daun selasih, kacau rata dan matikan api. Rasa dan jika ok boleh angkat dan hias tepinya dengan brokoli tadi. Hidangkan segera...

Saturday, December 6, 2008

BISKUT OATS RANGUP

Biskut Oats Rangup

Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha , maaf zahir dan batin untuk semua.....Sempena hari raya haji ni, mat buat lah 1 jenis biskut...cuma 1 jenisss jeee!!!....Resipi pun tak ingat lah ambik kat mana, sebab dah lama sangat simpan, kot2 ini biskut era 80-an, maklumlah aku ni kan jenis ketinggalan zaman sikit...tapi kalau tak de yang dahulu, mana ada yang sekarang...betull takk?..

BAHAN-BAHANNYA :-)
200 g mentega
80 g gula aising
1 camca teh esen vanilla
125 g tepung gandum*
60 g tepung beras*(*disatukan dan diayak)
130 g "rolled oats", seperti gambar dibawah
150 g coklat masakan
1 camca teh lemak sayur (shortening)



CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satukan mentega, esen vanilla dan gula aising dalam mangkuk, pukul hingga rata, tak perlu kembang. Gaul rolled oats dan tepung hingga rata, masukkan sedikit demi sedikit ke dalam adunan mentega, gaul hingga menjadi doh. Bulat2kan doh, bungkus dengan plastik dan sejukkan dalam peti sejuk selama 30 minit.
  2. Keluarkan doh, kemudian ambil secubit, bulat2 kan sebesar ibu jari, susun atas dulang pembakar yang telah disapu sedikit mentega dan tekan sedikit doh tadi dengan garfu. Buat hingga siap dan bakar dalam oven pada suhu 175C selama 20 - 25 minit. Sejukkan biskut atas jaringan.
  3. Cairkan coklat masakan bersama lemak sayur secara double-boiler hingga coklat cair, kacau rata. Celup sebahagian biskut tadi dan letakkan atas jaringan dan biar coklat mengeras. Simpan dalam bekas kedap udara...

IKAN KUAH LADA

Ikan Kuah Lada

Masakan ni saling tak tumpah macam masakan asam pedas kita, tapi orang2 nyonya panggil "ikan kuah lada"....Rasa sedap dan kuah pun sedang elok, tak pekat sangat dan tak cair sangat...ngam ngam saja!!!...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg ikan pari
1 biji terung panjang
2 - 3 kuntum bunga kantan, belah 2
1/2 cawan jus asam jawa
Garam dan secubit gula
1 camca teh serbuk kunyit
7 biji cili merah
5 tangkai cili kering
1/2 camca teh lada hitam biji*
7 biji bawang merah*
3 ulas bawang putih*
1 hirisan nipis lengkuas*
1 hirisan nipis halia*
1/2 inci belacan*(*ditumbuk halus)
Air secukupnya
3 biji bawang merah#
2 ulas bawang putih#(#dihiris halus)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan pari dicuci bersih, potong sederhana besar, perap dengan asam jawa dan garam selama 15 minit, cuci kembali dan toskan. Terung dipotong 4, belah 2 setiap potongan dan belah 2 tapi tak putus untuk setiap belahan tadi, rendam dalam air berisi garam. Cili merah dan cili kering dikisar dengan sedikit air hingga lumat. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (nak sedap masak dalam belanga tanah), masukkan bawang hiris dan goreng hingga perang, masukkan bahan tumbuk lumat dan serbuk kunyit, tumis hingga wangi, tuang cili kisar dan masak hingga terbit minyak.
  3. Tuang air (anggaran 800 ml), kacau rata dan biar mendidih. Masukkan ikan dan jus asam jawa, kacau perlahan. Bila mendidih, masukkan terung dan perasankan dengan garam dan secubit gula. Masak hingga ikan masak dan terung lembut, sesuaikan rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi hangat, sambal belacan dan ulam2man....

Friday, December 5, 2008

IKAN KELI BERLADO

Ikan Keli Berlado

Masakan ni mat suka banget, sedap kalau dimakan bersama nasi yang lembut2 dan masih hangat...ada pulak ulam pegaga atau petai, lagi lah sedapp uu!!...Sesiapa yang tak makan ikan keli (sebab ikan air tawar), boleh guna ikan air masin.

BAHAN-BAHANNYA :-)
5 ekor ikan keli sederhana besar
1 keping asam gelugor
2 - 3 biji limau kasturi
1/4 cawan air
Garam dan sedikit gula
7 biji bawang merah*
3 ulas bawang putih*
1/2 inci kunyit hidup*
1/2 inci belacan*
6 biji cili merah*
5 - 6 biji cili padi*(*ditumbuk hingga hancur, tak perlu terlalu lumat)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan keli dicuci bersih, siang dan kelar2 ikan tadi, perap dengan garam dan jus limau 10 - 15 minit, kemudian cuci kembali hingga hilang lendir dan hanyirnya. Lumur dengan 3/4 camca teh serbuk kunyit dan 1/2 camca teh garam, gaul rata.
  2. Goreng ikan tadi hingga kuning keemasan dan garing, angkat dan toskan. Tumis bahan2 tumbuk hingga garing, tuang air dan masukkan asam gelugor, tambah garam secukup rasa dan secubit gula. Biar mendidih.
  3. Bila hampir kering, masukkan ikan dan gaul rata. Perahkan jus limau kasturi dan rasa, jika perlu tambah lagi jus limau kasturi. Gaul rata dan angkat. Hidangkan segera....

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.